suria

[V] Rezeki jual ayam! Video pertama dapat lebih 40 juta views, pemuda Terengganu viral satu dunia selepas 15 tahun bantu ibu berniaga

Faris terkejut videonya tular sehinga ke luar negara.

REZEKI tak pernah salah alamat!

Selama 15 tahun mengabdikan diri dalam dunia perniagaan, pemuda ini sama sekali tidak menyangka video dia memotong ayam di kedainya akan menjadi perhatian dunia.

Menurut Faris Zakwan, 30, video-video bersahaja yang dihasilkan sejak tahun lalu bukan sahaja tular di Malaysia, malah turut dibanjiri komen netizen dari luar negara.

"Saya aktif buat video TikTok ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pada waktu itu saya rasa bosan, jadi saya buat video potong ayam di kedai. Tak sangka video saya akan ditonton oleh orang dari seluruh dunia.

"Selain orang Malaysia, video saya turut dihujani komen netizen dari Indonesia, Vietnam, China, Hong Kong, Sepanyol, Brazil dan Thailand. Memang rasa terkejut video pertama dah dapat lebih 42 juta tontonan.

"Saya pula masih 'newbie' (baharu) di TikTok, nak buat live pun tak reti. Pada masa sama, saya risau orang bosan tonton video potong ayam je, jadi saya juga ada buat video siang ikan," ujarnya.

Saya berniaga ayam sejak umur 15 tahun, sejak tingkatan tiga. Dulu, balik sekolah je saya akan tolong mak di kedai.

FARIS ZAKWAN

Berkongsi petua yang diamalkannya, dia yang senang disapa Faris berkata pisau yang digunakan haruslah tajam di samping latihan berterusan bagi memastikan ayam dapat dipotong dengan lebih kemas.

"Pisau kena tajam, tapi kita kena berhati-hati dengan pisau. Alhamdulillah, selama 15 tahun berniaga, saya tak pernah kena pisau, cuma pernah terluka kena gunting. Kalau cedera pun, hanya luka biasa.

"Paling penting kalau nak berniaga, kena jaga kebersihan. Kita kan berniaga bahan makanan, bukan baiki kereta. Bahan makanan kenalah bersih. Saya potong ayam lambat sikit sebab nak pastikan kebersihan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Murah sampai pelanggan takut! Peniaga warung jual makanan harga tak masuk akal, kesian dekat pelajar maahad

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga rindu nak berniaga di pasar, jual online serba tak kena... TikTok kena sekat, pelanggan pula main-main - “Nak simpan duit sambut baby”

Bercerita mengenai perjalanannya sebagai peniaga, pemuda dari Kuala Nerus, Terengganu itu mula membantu ibunya di kedai mereka sejak berusia 15 tahun.

Selepas tamat persekolahan, dia tidak pernah mencari pekerjaan lain, sebaliknya fokus untuk meneruskan legasi perniagaan ibunya.

"Saya berniaga ayam sejak umur 15 tahun, sejak tingkatan tiga. Dulu, balik sekolah je saya akan tolong mak di kedai. Mak berniaga barang basah. Selain ayam, ada juga ikan, sayur dan barang lain.

faris4

Faris mula aktif di TikTok ketika PKP pada tahun lalu.

"Selepas habis sekolah, saya berniaga secara sepenuh masa. Sekarang saya yang uruskan kedai, mak pula hanya uruskan bab pembelian barang. Saya berniaga bermula 7 pagi sehingga 6 petang.

"Selain itu, saya juga dibantu oleh seorang adik yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU). Dia berusia 21 tahun. Luaran nampak normal, tapi dia OKU pembelajaran," ujar anak sulung daripada lima beradik itu.

Menurut Faris lagi, dia juga berdepan banyak cabaran dalam perniagaan, namun menganggap ia sebagai lumrah dalam mencari rezeki.

faris2

Sebagai anak sulung, Faris mengambil tanggungjawab membantu ibunya berniaga sejak tingkatan tiga.

"Cabaran utama adalah pelanggan buat perbandingan harga. Kadang-kadang mereka persoalkan, kenapa kedai lain lebih murah? Macam saya ni jual mahal sikit sebab barang berkualiti. Mak saya pilih satu persatu barang-barang dengan teliti.

"Kemudian berniaga ni ada pasang surutnya. Ada hari ayam habis, ada juga hari ayam tak habis. Berniaga tak boleh fikir untung semata-mata. Tapi kena fikir juga tentang rugi. Sebab tak semestinya orang akan cari kedai kita, ia berbalik kepada rezeki.

"Berniaga barang basah ni cepat rosak, jadi kena jaga cerewet sikit. Orang fikir kita untung beribu, sedangkan untung kita ambil seringgit je," ujarnya panjang lebar.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain