SETIAP anak yang dilahirkan adalah rezeki dikurniakan oleh Allah. Justeru, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menjaga amanah yang telah diberikan ini. Bagaimanapun, adakalanya berlaku perkara-perkara tidak diingini atau di luar kawalan yang berlaku terhadap anak-anak. Sepertimana dikongsikan Wahyu Nurain, 29, dia menceritakan semula bagaimana anaknya, Muhammad Hail Waliudin Muhamad Helmi yang berusia lapan bulan terjatuh dari katil setinggi 62 sentimeter pada 12 Disember 2022. Ketika dihubungi mStar, dia yang lebih mesra disapa Ain menceritakan semula bagaimana kemalangan ini berlaku sehingga bayinya terpaksa dikejarkan ke hospital. Antara paparan perkongsian Ain di TikTok. “Selepas saya dan suami bersarapan, baba (suami Ain) mandikan dan siapkan Wali. Biasanya kami memang siapkan dia atas katil. Lepas dah siap tu dia tertidur. “Baba buat keputusan untuk biarkan saja dia tidur atas katil. Di sekeliling Wali, kami susun dua buah bantal dengan harapan dia tak terjatuh atau tergolek. “Kami pun keluar dan bersembang di ruang tamu berhadapan bilik di mana kami boleh nampak dia atas katil. Tak lama lepas tu kami nampak Wali panjat bantal. Masa tu baba terus berlari nak selamatkan Wali tapi tak sempat,” katanya. Ain yang merupakan ibu kepada seorang cahaya mata menggambarkan keadaan Wali jatuh tersembam seperti atlet terjun papan anjal. Tambahnya lagi, tiada sebarang bunyi hentakan kuat disebabkan kejadian tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa cuak terima gambar kepala anak berdarah hari pertama ke tadika... kecewa guru hanya minta maaf di WhatsApp, langsung tak tanya khabar ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Mata dia sampai naik ke atas” - Ibu tak kuat, hampir rebah tengok anak penghidap tumor otak kena bius depan mata Bagaimanapun, ketika suami mendapatkan Wali, terdapat kesan lebam di bahagian dahi dan hidungnya menjadi kemerah-merahan. “Masa kejadian pukul 11 pagi tu Wali menangis sekuat-kuatnya tapi lepas kami pujuk, dia terus aktif bermain macam biasa. “Tapi keesokan harinya pada 13 Disember, Wali demam. Kami terus ke klinik. Lepas buat pemeriksaan, doktor berikan surat suruh kami rujuk ke Hospital Al-Sultan Abdullah. Malam tu juga Wali kena buat X-ray. “Mujurlah doktor maklumkan tiada sebarang keretakan pada anak saya. Doktor cuma nasihatkan supaya kami teruskan tuam Wali,” ujar Ain yang ketika itu menarik nafas lega dan pulang ke rumah. Benjolan di kepala anaknya bagaimanapun menjadi semakin besar pada hari ketiga selepas insiden itu. Malah, benjolan yang asalnya berada di sebelah kiri kini mula merebak (membengkak) di sebelah kanan. Wali terpaksa dibawa ke hospital setelah benjolan semakin membesar. Ikhtiarnya melumur kepala anak menggunakan air asam jawa tidak memberi kesan positif atau semakin pulih. “Kami tuam kepala Wali macam biasa tapi pada hari kelapan, benjolan tu semakin membesar. Ibarat dua biji bola golf sebelah kiri dan kanan kepala. Lilitan kepala anak saya dah jadi 46 sentimeter. “Wali demam dan muntah-muntah jadi kami terus bawa dia ke bahagian kecemasan Hospital Al Sultan Abdullah untuk pemeriksaan lanjut. “Anak saya terpaksa berpuasa pagi tu untuk buat imbasan bahagian kepala. Saya tak kuat sangat sebab risau memikirkan keadaan anak masa tu. “Selepas dua kali buat CT scan brain, doktor dapati tiada sebarang pendarahan berlaku dalam otak tapi terdapat darah beku di bawah lapisan kulit,” ujarnya lagi. Alhamdulillah benjolan kepala Wali surut sepenuhnya. Tiada sebarang ubatan makan atau sapu. Benjolan surut dengan sendirinya. WAHYU NURAIN Menurut Ain, gumpalan darah di bahagian kepala Wali yang membesar berkemungkinan akan menghalang aliran darah dalam tubuhnya. Dia yang sudah berumah tangga lebih empat tahun berkata, bagaimanapun pihak hospital sedaya upaya mengelakkan untuk melakukan pembedahan kerana usia Wali yang masih muda Setelah beberapa hari berada di hospital, Wali dibenarkan pulang ke rumah kerana dia sudah kembali stabil. Hantaran Ain di TikTok meraih lebih 1.1 juta jumlah tontonan setelah dimuat naik. Rata-ratanya mendoakan kesembuhan Wali serta memberikan beberapa cadangan kepada si ibu kerana pernah mengalami nasib sama sebelum ini. Keadaan Wali sudah pulih sepenuhnya pada 4 Januari. Ujar Ain, Wali telah pulih sepenuhnya pada 1 Januari lalu, menjadikan ia pembuka tahun baharu yang menggembirakan buat pasangan ini. “Alhamdulillah benjolan kepala Wali surut sepenuhnya. Tiada sebarang ubatan makan atau sapu. Benjolan surut dengan sendirinya. “Saya tak sangka video tu boleh jadi viral. Apa-apa pun semoga perkongsian saya sedikit sebanyak dapat dijadikan pengajaran buat ibu bapa dekat luar sana,” kata Ain. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI