suria

“Tempat viral paling tak best dalam sejarah keluarga” - Famous tapi kotor teruk, staf sombong! Gerai roti canai saranan ‘Google’ tak layak dapat walau 1 bintang

Seorang lelaki berkongsi pengalaman buruk ketika menikmati roti canai di sebuah gerai viral, baru-baru ini. Gambar hiasan

BERCAKAP bab kebersihan di gerai atau restoran, semestinya ia menjadi salah satu elemen penarik untuk memikat hati pelanggan selain hidangan yang enak.

Jika kedua-dua elemen ini dititikberatkan, pastinya ramai pelanggan tidak kisah untuk beratur panjang asalkan dapat merasai makanan di premis tersebut.

Namun perkongsian seorang lelaki ini mengenai pengalamannya di sebuah gerai sedikit sebanyak boleh dijadikan pengajaran oleh orang ramai sebelum memilih untuk menjamu selera di sesebuah premis.

Menurut lelaki bernama Fauzul Naim Ishak, insiden tersebut terjadi minggu lalu ketika dia dan keluarganya bercuti di Pulau Pinang.

Memandangkan kurang arif mengenai lokasi makan di Georgetown, dia cuba membuat carian menerusi Google.

"Bertanyalah dengan 'Pak Cik Google' mana tempat sarapan viral. Terkeluar satu nama Roti Canai ***** yang tular baru-baru ini.

Maka kami sekeluarga bertolaklah ke tempat cadangan 'pakcik tersayang' dengan hati berbunga bunga. Kenapa? Sebab ini tempat makan yang kami tidak pernah jejakkan kaki ke sana dan kami anak beranak memang 'hantu roti canai'.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ingatkan daging dalam kuah, rupanya tali mop!” - Dua beradik rasa nak muntah makan roti canai banjir, selepas mengadu tetap kena bayar!

ARTIKEL BERKAITAN: Najis dikesan pada telur ayam, gerai roti canai Jalan Transfer diarah tutup 2 minggu

"Berjalan dari jauh sudah nampak orang beratur. Tentu sedap ni, berkata dalam hati," kongsinya dalam satu hantaran di Facebook.

Namun sebaik sahaja kaki menghampiri gerai berkenaan, Fauzul sejujurnya mengakui perasaannya yang teruja sebentar tadi bertukar 'tidak sedap hati'.

roti 1

Sebuah gerai di Jalan Transfer diarahkan ditutup baru-baru ini kerana isu kebersihan.

"Melihat suasana tempat makan yang kurang kondusif. Meja yang berlumut tidak diselenggara dengan baik, bau yang tidak berapa sedap di kawasan makan dan para pekerjanya yang tidak memakai penutup muka dan kepala.

"Tengok muka isteri pun macam berfikir perkara sama. Terdengar bunyi orang memekik 'roti canai ayam... roti canai daging tak ada. Daging tunggu sat. Mana yang order ka yang tak order ka mai ambik sendiri'.

"Macam pelik SOPnya. Macam panggil ayam makan. Saya masih bersangka baik lagi, mungkin cara mereka begitu. Saya pun pergi jugalah ambil sebab anak-anak kelaparan," kongsinya.

Ketika itu, sekali lagi dia menyaksikan suasana yang agak kurang berkenan di mata iaitu pinggan yang sudah diisi dengan roti canai dan ketulan ayam, diletakkan secara bertindan.

Kalau nak cari makan sedap, tanyalah orang Penang.

NETIZEN

Mujurlah tiba agak awal, Fauzul sempat mengambil pinggan makanan yang paling atas dan tidak bertindan dengan pinggan lain.

"Isteri pergi ambil sudu dan garfu, tengok-tengok kelihatan masih berdaki dengan kesan makanan lepas, padahal itu yang dikatakan sudu dan garfu sudah basuh. Isteri mencari sinki untuk basuh semula," kongsinya.

Bukan sekadar isu kebersihan yang tidak dijaga, bahkan Fauzul turut berkongsi rasa kecewa dengan layanan kurang mesra pekerja gerai berkenaan.

Menurutnya, dia mahu memesan roti canai kosong tanpa kuah buat anak kecilnya, namun dilayan seperti acuh tidak acuh oleh pekerja dengan wajah yang masam.

"Saya dan keluarga cepat-cepat makan tanpa banyak fikir. Tidak hayati pun makanan. Apa yang terfikir mahu makan dan cepat keluar.

"Habis sahaja terus bayar dan 'blah' sahaja. Puteri tunggal saya 'pot pet pot pet' mengomen tempat makan dengan nada tidak puas hati. Si anak keempat pun sama.

komen

Antara komen pelanggan terhadap perkongsian Fauzul.

"Memang pengalaman sarapan pagi di tempat viral paling 'tidak best' dalam sejarah keluarga kami. Tidak tahu apa yang menyebabkan orang ramai, apa 'mandrem' dipakainya.

"Tapi kalau tanya berapa bintang tiada bintang boleh diberikan. Ini bukan mahu kutuk tapi apa realiti depan mata," kongsinya lagi.

Bagaimanapun, Fauzul tidak menyatakan lokasi gerai roti canai viral yang dikunjungi bersama keluarganya itu.

Namun, menerusi ruangan komen, ramai yang dapat meneka lokasi gerai yang dimaksudkan sambil menambah, lokasi berkenaan hanya dikunjungi orang luar dan bukan pilihan orang tempatan.

Malah ada juga yang berkongsi pengalaman hampir serupa ketika menjamu selera di gerai tersebut.

restoran

Gerai atau restoran yang bersih sudah pasti memikat hati pelanggan. Gambar hiasan

"Kalau ramai depa (mereka) mulalah sombong. Kami orang local memang tak pi (pergi).

"Sejak terkena dulu, memang tak pergi dah. Minta roti canai kosong, dia pandai-pandai letak daging tanpa tanya apa-apa. Lepas tu buat muka.

"Memang tahu dah. Pengotor, sombong, ketegaq (degil). Mintalah apa pun depa lawan balik lepas tu paksa makan apa yang ada.

"Kalau nak cari makan sedap, tanyalah orang Penang," demikian antara komen netizen.

Untuk rekod, sebuah gerai roti canai yang terkenal di bandaraya itu diarahkan tutup selama 14 hari, baru-baru ini gara-gara gagal mematuhi piawaian kebersihan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain