SEBELUM ini kontroversi mengenai pelancong dari Rusia yang secara haram menceroboh dan mendaki puncak menara Merdeka 118 hangat diperkatakan. Siapa sangka perkara itu menarik perhatian apabila bangunan kedua tertinggi di dunia itu kini menarik lebih ramai pendaki dari luar negara melakukan hal sama. Seorang bekas anggota tentera Amerika, Isaac ‘Drift’ Wright, menggunakan akaun YouTube Driftershoots menunjukkan bagaimana dia dan rakan-rakan berjaya menjejak kaki ke puncak menara Merdeka 118. Dalam video yang disiarkan pada 30 Disember 2022, lelaki ini menjelaskan bahawa dia berjaya memanjat bangunan tersebut. “Sebentar tadi, saya dan tiga rakan yang lain telah pergi ke Kuala Lumpur untuk mendaki dan mengambil gambar Merdeka 118, bangunan kedua tertinggi di dunia dengan ketinggian 679 meter. Perjalanan itu panjang dan sukar serta penuh cabaran. Tangkap layar video tular warga Amerika memanjat menara Merdeka 118. “Perjalanan itu berakhir dengan jayanya dan merupakan hadiah untuk mengakhiri tahun dengan menunjukkan rakaman ini. “Video ini adalah ekspresi artistik kebebasan, saya tidak menggalakkan sesiapa untuk mencipta semula aksi yang ditunjukkan dalam video ini,” tulisnya pada video. Isaac menjelaskan bahawa perjalanan ke Kuala Lumpur ini menjadi perjalanan antarabangsa pertama mereka menerusi video dimuat naik. Dia dan rakan-rakan kemudian dilihat memakai jaket pembinaan dan topi keledar, mungkin untuk nampak sebahagian dari pekerja semasa menyelinap masuk ke Merdeka 118. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Rakaman warga Rusia panjat Menara Merdeka 118 tak original? Polis minta SKMM siasat ketulenan video ARTIKEL BERKAITAN: [V] Penceroboh Rusia menyamar pakai tudung, sanggup berbogel atas lantai konkrit demi nak ceroboh Menara Merdeka 118 Jika diteliti rakaman, mereka membolosi halangan dengan membuka penghadang yang menghalang mereka daripada memasuki tangga bangunan dan memanjat. Akhirnya mereka berempat berjaya mendaki ke puncak Merdeka 118. Menurut laman New York Times, Isaac telah meninggalkan ketenteraan selepas enam tahun berkhidmat. Selepas itu dia berasa kecewa dan hilang arah, berjuang dengan gangguan tekanan kesan daripada pasca-trauma malah pernah berfikir untuk bunuh diri. Tangkap layar video menunjukkan perjalanan lelaki ini memanjat menara. Dengan melakukan pendakian, sedikit sebanyak dapat membantu masalah yang dialaminya. Menurut Isaac, dia mula memanjat bangunan untuk menikmati pemandangan yang berbeza, dan menyedari bahawa itu juga menawarkan perspektif baru tentang kehidupan. Semakan mStar mendapati lelaki ini menghasilkan gambar yang menakjubkan dan berkongsi di media sosial, di mana dia menarik beribu-ribu pengikut. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI