SISTEM sokongan yang kukuh amat diperlukan bagi seseorang yang diuji dengan kesakitan termasuk pejuang kanser. Begitulah kisahnya untuk dua sahabat karib ini yang erat bertaut antara satu sama lain walaupun dihujani ujian tanpa henti. Dikenali sebagai Kak Long, 40, wanita ini menghidap kanser dinding rahim tahap 4 manakala sahabatnya Kay Rashid, 30, menghidap penyakit kemurungan major (MDD). Kay setia di samping Kak Long menjalani rutin harian. Kisah Kak Long dan Kay pernah dikongsikan mStar pada Oktober tahun lalu selepas saluran TikTok mereka iaitu @kaklongkay tular kerana keakraban mereka menempuh susah senang bersama menarik perhatian ramai. Namun baru-baru ini pengikut media sosial mereka menyedari nama akaun TikTok itu berubah kepada @iamkayrashid. Justeru timbul tanda tanya dalam kalangan netizen tentang status hubungan mereka dan khabar berita Kak Long. ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit kanser tenat... sahabat nekad jaga, beri layanan terbaik hingga nafas terakhir - “Kalaulah saya boleh pinjam sakitnya” ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tunggal hidap 2 jenis kanser ‘confess’ depan doktor, angkat bendera putih... Dua anak kecil punca enggan terus rawatan Enggan membiarkan netizen terus berteka-teki, Kay tampil menjelaskan tentang situasi terkini antara mereka. Kata Kay, sejak sekitar Disember lalu dia sudah tidak lagi berada bersama Kak Long berikutan keadaan sahabatnya itu yang semakin uzur. Jelas Kay dia memberi laluan kepada keluarga rakannya yang mahukan masa bersendiri dengan anak mereka. Kay memberikan privacy kepada keluarga Kak Long untuk menjaga Kak Long dalam saat-saat begini. KAY RASHID "Kay sudah tidak menjaga Kak Long dan tidak apa-apa yang berlaku di antara Kay dan Kak Long. Kami sudah bincangkan dengan baik di antara saya dan keluarga Kak Long. "Kay memberikan privacy kepada keluarga Kak Long untuk menjaga Kak Long dalam saat-saat begini. Jadi Kay akan teruskan kehidupan Kay untuk mencari pekerjaan dan pendapatan. "Kay pun masih muda, umur baru 30 tahun dan nak explore banyak benda lagi. Kay rasa Kay dah jaga Kak Long dengan sebaiknya. Kay tidak pernah meninggalkan Kak Long, harap jangan ada yang salah faham. “Kay masih berhubungan dengan Kak Long, tanya khabar dia, korang tak perlu risau. Jangan buat apa-apa tanggapan melulu kepada keluarga Kak Long. Tolong jangan bersangka buruk," jelas Kay dalam live di TikTok baru-baru ini. Kay (kanan) sentiasa menemani Kak Long untuk temu janji di hospital. Pada masa sama Kay juga menjelaskan keputusannya untuk mengubah nama akaun TikTok daripada @kaklongkay kepada @iamkayrashid. "Akaun TikTok ni Kay yang bangunkan sendiri pada awalnya. Inisiatif Kay, content yang dalam TikTok ni Kay yang buat, post dan edit. "Jadi bila nak meneruskan kehidupan Kay ini, Kay nak share rutin kehidupan harian Kay dan share mengenai mental illness dan kanser. Jadi Kay akan menukar nama akaun TikTok ni kepada Kay Rashid. "Saya harap netizen jangan buat apa-apa spekulasi. Saya hormati keputusan keluarga Kak Long untuk ada privacy dengan Kak Long buat masa ini. Saya share sampai sini sahaja dulu, yang lain adalah lebih baik saya simpan," terang Kay. Menjengah ke muka hadapan akaun TikTok Kay, rata-rata video bersama Kak Long juga telah disimpan di dalam arkib dan hanya beberapa video sahaja yang tinggal. Difahamkan segala rawatan terhadap Kak Long sudah dihentikan dan kini wanita itu dibenarkan pulang ke rumah untuk memberi ruang kepada keluarganya menghabiskan masa bersama. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube