suria

Agensi umrah aniaya jemaah, pakej RM9,500 tapi dapat hotel 1km dari Masjidil Haram... Wanita ini berjalan 30 minit tolak kerusi roda ibu

Pengalaman umrah baru-baru ini menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Surya.

PENGALAMAN umrah yang tidak dapat dilupakan.

Itulah kata-kata yang sesuai diungkapkan mengenai kisah wanita ini apabila dia menjadi mangsa 'janji manis' sebuah agensi pelancongan.

Bukan sahaja terpaksa menambah wang sehingga ribuan ringgit, malah apa yang lebih teruk, pakej yang dijanjikan pula hanya indah khabar daripada rupa.

Berkongsi cerita mengenai pengalaman pahitnya, wanita bernama Surya Jamlus ini berkata, dia mengambil pakej umrah dengan sebuah agensi pelancongan dengan harga asal RM6,520.

Pakej tersebut merangkumi Hotel Safwah yang terletak 50 meter dari Masjidil Haram atau setaraf di Mekah, Hotel Dar al Naem yang terletak 150 meter dari Masjid Nabawi dan setaraf di Madinah, Hotel Rajan di Thaif, full board di Madinah dan Thaif, manakala sarapan pagi di Mekah.

"Penerbangan asal sepatutnya pada 7 hingga 18 Disember 2022. Kami dimaklumkan ketika itu cuti sekolah di sana jadi perlu bayar tambahan RM500... maknanya pakej menjadi RM7,020.

UMRAH 1

Keadaan bilik hotel yang agak sempit.

"Tapi ditunda kepada 13 hingga 24 Januari 2023. Bukan cuti sekolah, tapi tiada pemulangan RM500 kerana kos meningkat kata mereka.

"Lima hari sebelum penerbangan, agensi itu melalui zoom meeting dan hanya one way communication, memaklumkan penambahan RM2500 dan perlu diselesaikan sebelum 9 Januari.

"Kata mereka tiada pilihan untuk refund kerana tiket penerbangan dan visa sudah dibuat. Selepas habis zoom meeting, kami tanya dekat grup Whatsapp yang dibuat khas, tapi tiada respons," ujar wanita berusi 40 tahun ini ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kesian jemaah! Pak Arab urus hotel Makkah, Madinah main harga... batal booking ambil offer lebih lumayan

ARTIKEL BERKAITAN: Buat hal la! Pengkid selamba tunai umrah pakai ihram, siap buat video latar belakang Kaabah... ramai marah sampai harap kena panah petir

Mengakui ketika itu sudah timbul perasaan tidak sedap hati, Surya berkata dia mengambil keputusan untuk pergi ke pejabat agensi pelancongan berkenaan bagi mendapatkan penjelasan, namun pulang dengan hampa.

"Saya cuma nak tanya kenapa bayaran terlalu mahal. Travel agency lain pun paling tinggi RM800 kenaikan. Bayangkan masa saya ke situ, lagi dua hari nak berangkat ke Tanah Suci. Tapi saya diberitahu hotel di sana pun tak confirm lagi.

"Sehari sebelum berangkat, kami dapat pemberitahuan untuk selesaikan baki bayaran. Ramai jemaah lain selesaikan sebab ingatkan dapat pakej yang sama, tapi pakej telah berubah sepenuhya," luahnya kesal.

Akhirnya, segala perasaan tidak sedap hati yang membelenggu fikiran wanita ini terjawab sebaik sahaja rombongan jemaah umrah yang disertainya tiba di Madinah.

UMRAH 3

(Kiri) Bilik yang bertaraf hotel bajet, (kanan) tong sampah berhampiran bilik hotel menjadi punca bau kurang menyenangkan.

"Kami dapat hotel yang terletak lebih kurang dalam 200 meter dari masjid. Hotel yang kami duduk bercampur dengan jemaah Indonesia. Kami sahaja 40 orang jemaah Malaysia.

"Pakej full board tapi amat mengecewakan daripada segi makanan, layanan dan bilik hotel. Tapi reda sajalah ketika itu.

"Ingatkan pengalaman ini habis dekat Madinah saja, rupa-rupanya berterusan hingga ke Makkah," cerita wanita yang menetap di Seri Kembangan, Selangor ini.

Tambah Surya, mereka hanya dimaklumkan tentang penginapan di Makkah beberapa jam sebelum berangkat ke sana.

Hotel penginapan mereka pula terletak kira-kira satu kilometer dari Masjidil Haram atau mengambil masa 30 minit berjalan kaki.

Saya share sebab terkilan, bukan sebab duit semata-mata. Sebab saya bawa ibu bersama tapi pengalaman yang kami rasai sangat menyedihkan.

SURYA JAMLUS

"Bayangkan yang dijanjikan sebelum ini Hotel Safwah jarak 50 meter atau setaraf... dan apa kami dapat berganda jauh. Saya pula bawa bersama ibu yang berusia 75 tahun dan menggunakan kerusi roda.

"Betapa struggle kudrat seorang wanita untuk menolak kerusi roda dari hotel ke masjid setiap hari.

"Selain itu, keadaan bilik hotel kami sangat tidak selesa. Bilik dipenuhi lalat, permaidani berkulat dan kotor, comforter kotor hingga ada alami gatal kulit, dan tiada sarapan pagi seperti dijanjikan dalam pakej.

"Ziarah ke Thaif yang sepatutnya ada seperti dijanjikan dalam pakej juga, langsung tiada.

"Memang dah tak boleh nak buat apa, melainkan reda dan pendam saja sepanjang di sana," kongsinya lagi.

Wanita ini menambah, tujuan dia membuat perkongsian di laman sosial adalah kerana tidak mahu bakal jemaah lain menerima nasib yang sama seperti yang dialami mereka.

UMRAH 2

Hotel dipenuhi dengan jemaah dari negara jiran.

"Sebenarnya saya share sebab terkilan, bukan sebab duit semata-mata. Sebab saya bawa ibu bersama tapi pengalaman yang kami rasai sangat menyedihkan.

"Saya siap buat research dahulu sebelum ambil agensi ini... baca review dan tengok pakej yang ditawarkan pun bagus. Saya ke Tanah Suci pada 2019 menerusi muassasah, dah kira puas hati. Jadi saya fikir agensi ini sepatutnya lagi okay perkhidmatannya tapi sebaliknya pula.

"Kalau penambahan yang diminta sama dengan pakej, saya boleh terima. Tapi bila jadi macam ni, nampak agensi ini tak efisien. Sudahlah sekepala bayar tambahan RM3,000. Kiranya seorang keseluruhan RM9,520.

"Saya akan ambil tindakan dengan laporkan kepada tribunal pengguna. Sampai sekarang belum ada kata-kata maaf atau penjelasan daripada pihak sana mengenai apa yang berlaku.

"Apa yang boleh saya kongsikan, bakal jemaah hati-hati pilih agensi. Dan sepatutnya pihak berwajib ambil perhatian supaya agensi juga tak ambil kesempatan. Akhir sekali, saya nak berterima kasih kepada kawan-kawan kerana banyak menolong sepanjang di sana.

"InsyaAllah, jika ada rezeki, saya nak bawa ibu pergi umrah lagi sekali," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain