suria

Laju-laju PBT sampai! Rupanya usahawan kosmetik pasang pagar depan kedai tanpa permit, tergamak suruh OKU guna laluan lain

MBPG mengambil tindakan terhadap premis berkenaan susulan isu yang tular.

KECOH di media sosial mengenai sebuah kedai yang memasang pagar di kaki lima premis hingga menghalang laluan.

Tindakan pemilik kedai membuat binaan itu menerima kecaman netizen kerana ia menyusahkan orang ramai memandangkan kaki lima adalah kemudahan untuk orang awam.

Ia sekali gus membataskan pergerakan orang ramai terutama orang kelainan upaya (OKU).

Namun, apa yang lebih membangkitkan kemarahan netizen adalah sikap pemilik premis dipercayai seorang usahawan kosmetik yang didakwa memberi justifikasi secara angkuh berhubung tindakannya memasang pagar di hadapan kedai.

pasang pagar depan kedai 3

Penjelasan daripada usahawan kosmetik berhubung pemasangan pagar di hadapan kedainya.

Menurut usahawan kosmetik itu, dia memasang pagar tersebut dengan tujuan keselamatan bagi mengelakkan kejadian individu yang tidak bertanggungjawab menaiki motosikal di hadapan kedainya.

Dakwa usahawan itu wujud insiden penunggang motosikal nyaris melanggar pintu premis dan pelanggannya hingga memaksa dia memasang binaan itu.

"Habis hak aku sebagai owner kedai yang terancam keselamatan diri dan harta benda tu macam mana? Tak ada hak?

"Ke aku boleh tuntut hak kerugian aku kat orang yang hanya reti viral dan komen je?" katanya tanpa rasa bersalah.

Difahamkan, lokasi premis tersebut dipercayai terletak di Pasir Gudang, Johor.

pasang pagar depan kedai 9

MBPG mengambil tindakan terhadap premis berkenaan. foto FB Majlis Bandaraya Pasir Gudang

Dalam pada itu, turut menambahkan lagi kemarahan orang ramai adalah komen membabitkan OKU yang didakwa dilontarkan oleh peniaga berkenaan.

Salah seorang netizen bertanyakan bagaimana OKU yang berkerusi roda mahu melalui siar kaki di hadapan kedainya.

Usahawan kosmetik itu sekali lagi tanpa rasa bersalah memberikan maklum balas yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.

Sebagai orang bisnes, sepatutnya kena bijak apabila berbicara.

NETIZEN

"Lalu la jalan lain. Bukan tak ada jalan lain lagi kat sini. Petak parking khas orang cacat pun ada. Kalau kau datang sini ramai je nak tolong dukung kau.

"Datang je sini jangan sibuk semak komen sekali dengan orang yang tak tahu apa-apa," katanya lagi.

Tidak dipastikan sama ada komen tersebut dikeluarkan oleh usahawan itu atau sekadar komen daripada akaun palsu, namun netizen menganggap penjelasan tersebut sebagai biadab.

"Biadab sungguh komen owner.

"Sebagai orang bisnes, sepatutnya kena bijak apabila berbicara," kata netizen.

pasang pagar depan kedai 4

Komen yang didakwa dikeluarkan oleh usahawan berkenaan.

Susulan isu yang tular, PBT berkenaan iaitu Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada Selasa mengambil tindakan dengan membuka struktur binaan kekal (pagar) di kawasan kaki lima premis perniagaan itu kerana tanpa permit atau kebenaran daripada pihak PBT.

MBPG dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengeluarkan dua kali notis lawatan sebelum tindakan penguatkuasaan tersebut diambil kepada pemilik premis yang terlibat.

"Hasil pemantauan dan pemeriksaan susulan yang diadakan mendapati bahawa pemilik premis tersebut masih gagal mematuhi notis lawatan yang telah dikeluarkan.

"Pihak MBPG telah memberikan tempoh yang sewajarnya untuk pemilik premis berkenaan membuka sendiri struktur berkenaan, tetapi malangnya ia masih lagi tidak dilaksanakan.

"Oleh itu, tindakan penguatkuasaan dengan membuka struktur binaan (pagar) dan sitaan telah dilaksanakan selaras dengan prosedur kerja yang ditetapkan," katanya menerusi hantaran di laman rasmi Facebook MBPG, petang Selasa.

pasang pagar depan kedai 6

MBPG menyita pagar tersebut. foto FB Majlis Bandaraya Pasir Gudang

Menurut MBPG, pihaknya sentiasa akan membantu para peniaga di bandar raya Pasir Gudang untuk melaksanakan aktiviti perniagaan.

"Namun sokongan daripada para peniaga untuk mematuhi peraturan dan saluran yang ditetapkan amatlah diperlukan dalam usaha untuk memastikan bandar raya Pasir Gudang ini kekal bersih, tersusun dan dinamik," menurut kenyataan itu lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain