suria

Periuk, belanga terabur atas tanah... Laman macam tempat pelupusan sampah! Paling geli jiran kata tuan rumah peniaga makanan

Rumah individu ini berada dalam keadaan yang menjijikkan.

BAGAI pahat dengan penukul.

Begitulah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan mereka yang sering berpeluk tubuh dan hanya bertindak apabila disuruh.

Melalui satu ciapan tular di laman Twitter, Alice Azuria berkongsi pemandangan laman sebuah rumah yang mirip seperti tempat pelupusan sampah di kawasan kejiranannya.

Berdasarkan gambar yang disertakan Alice dalam ciapannya, dapat dilihat banyak perkakas dapur seperti periuk, kuali dan sudip bertaburan bersama timbunan sampah di atas lantai di luar rumah.

Lebih memeranjatkan apabila Alice mendakwa pemilik rumah itu merupakan seorang pengusaha gerai makanan.

Ciapan asal di laman Twitter.

"Tadi pergi jogging, lepas tu nampak rumah ni. Tak silap aku rumah ni orangnya berniaga tapi aku tak tahu dekat mana.

"Boleh ke daripada sisi undang-undang... masak dan beri makan orang awam dengan tempat kotor macam ni?

"Kalau saya jadi pelanggan gerai tu pun akan terus loya apabila tengok keadaan tempat dia masak dan sediakan makanan macam ni," luah Alice melalui ciapannya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tempat viral paling tak best dalam sejarah keluarga” - Famous tapi kotor teruk, staf sombong! Gerai roti canai saranan ‘Google’ tak layak dapat walau 1 bintang

ARTIKEL BERKAITAN: [V] ‘Pemandangan rare’ di restoran! Pelanggan susun rapi pinggan kotor, sisa makanan letak tepi... tinggal tak tolong basuh je

Tambah Alice, sampah yang bertimbun di hadapan rumah terbabit terdiri daripada bekas plastik makanan yang sudah digunakan dan kesemuanya dipenuhi sisa makanan.

"Bekas tu semua mesti dah dicemari bakteria, tak dapat bayangkan kalau waktu malam macam mana, mesti banyak haiwan perosak, lipas dan tikus mesti ada.

"Apabila pagi diorang akan pakai bekas-bekas tu juga untuk letak makanan kita. Jijiknya rasa apabila fikir.

Kawasan rumah dia yang kotor tu memang jadi lubuk lipas.

ALICE AZURIA

"Tak dapat nak bayangkan keadaan dia macam mana, nak muntah," ujar Alice yang mual melihat keadaan rumah itu.

Ketika dihubungi mStar, Alice memberitahu pemilik rumah itu kini sudah mengambil tindakan drastik untuk membersihkan halaman rumahnya selepas ciapan Alice mendapat perhatian ramai.

"Sejak tweet saya viral sampai ke Facebook, ada orang direct message saya beritahu rumah ni dah kecoh dekat dalam group taman perumahan di sini.

"Ada orang dah inform tuan badan dan hari ini apabila saya lalu nak check, dia dah kemas," ujar Alice.

Perbincangan di grup WhatsApp taman perumahan.

Lokasi rumah tersebut tidak didedahkan kerana Alice mengatakan perkara itu akan mengaibkan tuan rumah dan tujuan utama ciapannya adalah hanya untuk memberikan peringatan.

Dakwa Alice lagi, isu kebersihan rumah tersebut sudah berlarutan agak lama namun beberapa hari lalu dia memutuskan untuk menggunakan kuasa viral bagi memberikan teguran kepada tuan rumah tersebut.

"Saya prihatin dengan nasib pelanggan gerai yang diusahakan mereka dan kejiranan setempat, tak sampai hati nak biar. Bayangkan bekas-bekas makanan yang kotor tu dia cuci dan digunakan semula berulang kali, kembang tekak.

"Kawasan rumah dia yang kotor tu memang jadi lubuk lipas, tikus dan lalat. Tak dapat bayangkan macam mana tempat sediakan makanan boleh jadi jijik macam tu.

"Nak tegur depan-depan takut boleh jadi gaduh. Saya tak nak kena tumbuk jadi saya tegur daripada jauh je," kata Alice.

Keadaan rumah peniaga yang meloyakan.

Alice sempat menambah bahawa dalam penyediaan makanan terutamanya untuk pengusaha restoran, aspek kebersihan harus diutamakan.

"Saya terima banyak reply menceritakan pengalaman mereka berjiran dengan peniaga. Rata-rata menceritakan pengalaman yang sama macam apa yang saya kongsikan.

"Maksudnya orang-orang seperti ini bukan seorang tapi masih ramai yang tak sedar kebersihan ketika penyediaan makanan itu perlu dititikberatkan.

"Lagi-lagi kita jaga perut orang lain. Kawan saya pernah beritahu saya, makanan yang halal itu bukan saja tiada khinzir atau tiada alkohol.

"Tapi cara penyediaan juga mestilah bersih, bukankah begitu? Tunjukkan contoh yang baik agar kita dapat sama-sama menjadi masyarakat yang pembersih," kata Alice mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain