suria

“Dulu lemah, nakal... kini jadi jurutera” - Ibarat ‘mesin masa’, cikgu garang MRSM bangga miliki buku markah usia 2 dekad

Wan Rohani berkongsi buku markah para pelajar yang mempunyai nilai sentimental.

JIKA ketika itu seorang bayi dilahirkan, dia kini sudah dewasa... demikian usia sebuah buku yang disimpan sejak sekian lama.

Bagi kebanyakan orang, ia mungkin sekadar sebuah buku biasa namun seorang guru menganggap nilainya lebih daripada itu.

Ibarat sebahagian daripada nyawa, dia telah menyimpan buku markah para pelajarnya itu sejak dua dekad lalu.

Masih dalam keadaan baik, itulah buku milik seorang guru Fizik di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Taiping, Perak.

buku markah 2

Buku yang disimpan dengan baik selama 20 tahun.

Bercakap kepada mStar, Wan Rohani Harun berkata, dia sendiri tidak menyangka dapat menyimpan buku berkenaan sejak berkhidmat di maktab itu selama 22 tahun.

"Buku ini saya catat segala markah latihan, ujian dan peperiksaan bagi setiap pelajar yang saya ajar. Sebenarnya saya ada dua buku sekarang.

"Buku pertama merekodkan markah bagi kumpulan pelajar dari tahun 2000 hingga 2014, manakala buku kedua pula dari 2015 sehingga kini," katanya ketika dihubungi.

Ini bermakna kali terakhir buku markah yang digunakan guru yang lebih dikenali sebagai Cikgu Wan ini adalah kira-kira lapan tahun lalu!

Antara halaman yang mengandungi markah para pelajar setiap tahun.

Menurut guru berusia 56 tahun itu, buku tersebut bukan sekadar menyimpan markah para pelajarnya tapi ibarat ‘mesin masa’ melihat perkembangan anak didiknya.

"Baru-baru ini saya menghadiri Majlis Makan Malam Reunion MRSM Taiping Batch Bitara 1 di sebuah hotel, yang dihadiri kakitangan termasuk pelajar-pelajar saya 20 tahun lalu.

"Masa jumpa bekas-bekas pelajar ni, ada yang saya tak ingat nama tapi muka ingat. Rasa bersalah pula, tapi saya tak boleh ingat semua nama.

"Setiap tahun pelajar saya bertukar-tukar. Setahun je saya ada ajar empat kelas, kira-kira 100 pelajar... bayangkan 20 tahun," ujarnya yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Ketika Majlis Makan Malam Reunion MRSM Taiping Batch Bitara 1, baru-baru ini.

Namun kata Wan Rohani, buku markah itu menjadi 'penyelamat' buatnya untuk bukan sahaja mengingati nama-nama setiap pelajar, malah karakter masing-masing.

"Dalam 20 tahun, ada pelajar yang bina kerjaya, bina keluarga. Tapi nilai terbesar pada buku ni adalah saya dapat melihat progres mereka.

Setiap kali saya buka buku ni walaupun dah 20 tahun, saya pasti tersenyum tengok pencapaian mereka sekarang.

WAN ROHANI HARUN

"Ada yang dulu lemah sangat dalam subjek Fizik. Tapi sekarang dah jadi jurutera. Ada yang nakal pun dah jadi jurutera, ada syarikat sendiri.

"Berbaloi saya marah budak ni dulu. Ya, saya seorang guru yang garang, tapi garang demi kebaikan pelajar-pelajar," katanya yang menyambut ulang tahun kelahiran pada 25 Januari lalu.

Wan Rohani dirai sempena ulang tahun kelahiran pada 25 Januari lalu.

Antara pencapaian Wan Rohani adalah Anugerah Pendidik Mara 2012, Anugerah Guru Kokurikulum Mara 2017 dan Agilent Teacher Award 2012 ISEF di Pittsburg, Amerika Syarikat.

Wan Rohani yang gemar mengembara dan membaca ini berpendapat setiap guru atau ibu bapa perlu melakukan sesuatu sebagai motivasi anak-anak muda menjadi yang lebih baik.

Mereka yang hadir pada Majlis Makan Malam Reunion MRSM Taiping Batch Bitara 1.

"Kita tak boleh pandang rendah, lemah tak semestinya lemah selama-lamanya. Ada pelajar saya, dulu dia memang sangat lemah, tapi sekarang dah ada PhD (doktor falsafah).

"Pesanan kepada bekas pelajar saya, give back. Bantu dan sumbangkan kepada bangsa, masyarakat dan negara. Yang penting berakhlak mulia dan sentiasa jaga agama.

"Buku markah ini ada nilai sentimental tersendiri buat saya. Setiap kali saya buka buku ni walaupun dah 20 tahun, saya pasti tersenyum tengok pencapaian mereka sekarang," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain