suria

Umur 61 tahun baru Hadiah dapat kejutan! Tahu nama sebenar masa cari wang RM100,000 tinggalan arwah datuk

Mak Teh terkejut nama sebenarnya Hapidah, bukan Hadiah.

TIADA seorang pun manusia normal di dunia ini yang tidak mempunyai nama.

Dalam Islam, nama mestilah membawa maksud yang baik dan dalam hal ini ibu bapalah yang memainkan peranan penting.

Baru-baru ini tular sebuah video yang dikongsi oleh seorang guru, Liyana Naurah Ahmad Nor, 25, memaparkan ibu saudaranya yang mempunyai nama unik iaitu Hadiah Abd Rahman.

Dia yang mesra disapa Liyana berkata, walaupun sudah berusia 61 tahun, ibu saudaranya itu hanya mengetahui nama sebenarnya bukanlah Hadiah, tetapi Hapidah pada Khamis.

Menurutnya, ibu saudaranya yang dipanggil Mak Teh itu merupakan anak ketiga daripada tujuh adik-beradik dan sudah menggunakan nama unik tersebut selama 61 tahun, sepanjang dia hidup.

Makcik Liyana menggunakan nama Hadiah selama 61 tahun.

"Waktu tu kami semua kumpul ramai-ramai di rumah arwah atuk di Johor Bahru. Semua ada, Mak Teh pun datang juga. Tiba-tiba Pak Anjang beritahu arwah atuk ada tinggal duit RM100,000 dalam kotak. Lepas dengar tu kami semua carilah.

"Sampailah terjumpa satu beg bimbit dan awalnya kami ingat duit yang ada dalam tu. Tapi bila buka rupanya dokumen-dokumen lama.

"Tengah tengok dokumen tu ibu terjumpa surat beranak Mak Teh. Bila baca surat beranak terkejutlah kami semua sebab rupanya nama Mak Teh selama ni bukan Hadiah tapi Hapidah," katanya ketika dihubungi mStar.

Sebaik terbongkarnya perkara itu, saudara maranya yang lain terus berseloroh memikirkan mungkin selama ini mereka mempunyai adik beradik lain bernama Hapidah.

Liyana berkata, selain mempunyai nama Hadiah dan Hapidah, Mak Teh yang pernah bekerja di sebuah kilang di Tampoi turut dikenali sebagai Salmah di kampungnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita nekad ‘panjat’ JPN buang ‘Muhammad’ di pangkal nama anak, menyesal biar keluarga campur tangan lepas bersalin

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi baru lahir tak boleh bin bapa kandung, ibu pasrah pilih 99 Asmaul Husna... “Bin nama Allah tak jadikan anak tu hina”

Kata Liyana, sewaktu kecil, Mak Teh yang merupakan kakak kepada ibunya itu tidak tinggal bersama dengan keluarga kandung di Johor Bahru.

Sebaliknya dia tinggal bersama dengan keluarga angkat yang merupakan adik-beradik datuknya di Batu Pahat.

"Memang orang tak tahu nama dia Hadiah. Sebab kalau balik kampung kat Johor Bahru, memang orang kampung panggil dia Salmah.

"Kalau kami pergi rumah dia pun, orang kenal dia dengan nama Salmah. Saya pun tak tahu kenapa panggil Salmah," katanya.

Sementara itu, Liyana berkata nama yang ada pada surat beranak Hadiah dan Hapidah ini menunjukkan ia diberikan oleh bapa angkat Mak Teh iaitu Tik Mohamad Dom.

Perkara tersebut diketahui selepas keluarganya meneliti kedua-dua surat beranak yang baru dijumpai.

Hadiah merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik

Liyana mengakui pernah berasa hairan kenapa nama ibu saudaranya itu bermula dengan huruf H sedangkan adik-beradik yang lain bermula dengan huruf R, termasuklah ibunya.

"Bila tengok balik surat beranak lama dengan baharu, bahagian bawah pemberitahu tu tengok-tengok nama atuk saudara. Jadi dialah yang pergi daftar nama Mak Teh di JPN tu.

"Pernah juga saya terfikir kenapa Mak Teh seorang sahaja yang nama Hadiah. Lepas tu nama dia mula dengan huruf H. Sebab nama ibu Rosnita Abd Rahman dan adik-beradik yang lain mula huruf R," katanya.

Bercerita lanjut mengenai video itu, Liyana memberitahu Mak Teh tidak mengetahui ia dimuat naik di TikTok.

Jelasnya, setelah video tersebut tular, Mak Teh terus popular kerana rakan-rakannya tidak berhenti menelefon untuk bertanya hal berkenaan.

"Dia tak tahu saya masukkan dalam TikTok. bangun pagi esok tu baru saya beritahu dia. Dia terkejutlah dan tak sangka pula video tu viral.

"Tapi lepas dia tengok semula video tu, dia pun komen juga. Siap beritahu dialah makcik yang nama Hadiah tu.

Hanya Hadiah bermula huruf H dan adik-beradik lain bermula huruf R

"Kawan-kawan dia tak berhenti call tanya betul ke nama sebenar dia Hadiah. Sebab orang kenal dia dengan nama Salmah dekat kampung," katanya.

Video yang dimuat naik itu meraih lebih 100,000 tontonan dan lebih 10,000 tanda suka.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan video berkenaan dan berseloroh bagaimana ibu saudaranya itu bersabar menggunakan nama Hadiah selama 61 tahun.

"Dah 61 tahun jadi Hadiah. Sekarang jadi Hadiah 'terkejut' pula.

"Terbongkar rahsia nama bukan Hadiah hahaha. Mesti makcik tu dulu pening fikir kenapa nama dia macam tu.

"61 tahun mahu riuh satu kampung hahaha. Macam tak logik. Macam mana boleh jadi jadi begitu?" demikian komen netizen.

Ada netizen yang berkongsi pengalaman sama yang bukan sahaja tersalah nama, malah tersalah tarikh lahir.

"Weh hahaha kes saya pula dari kecil mak saya ingat hari jadi pada 26 Disember. Tiba-tiba masa umur 12 tahun, saya tengok surat beranak... lah hari jadi 18 Disember rupanya.

"Mak saya pun nama Hadiyah. Memang dalam sijil lahir macam tu. Kalau sebut nama mak mesti ramai akan pastikan betul-betul sebab unik," kongsi netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain