suria

Tak bagi peluang ‘feeling’ macam bos dalam rumah, bapa buat ‘duty roster’ untuk anak-anak... Bukan semua harapkan ibu!

Kerja rumah bukan tanggungjawab isteri atau ibu semata-mata, sebaliknya perlu dilakukan bersama-sama. Gambar hiasan

RUMAHKU syurgaku.

Ungkapan ini selalu menjadi sebutan ramai, namun hakikatnya tidak semua yang memahami serta berusaha untuk menjadikan rumah itu syurga bersama-sama.

Untuk menjadikan sesebuah rumah sebagai syurga bukanlah tergantung kepada pengisian kerohanian semata-mata, namun nilai-nilai murni sewajarnya perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak mereka kecil.

Contoh yang paling mudah ialah sikap tolong-menolong, bekerjasama serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain di dalam sebuah rumah.

Perkongsian seorang lelaki, Ahmad Affzan Abdullah, mengenai konsep rumahku syurgaku menerusi satu hantaran di Facebook, secara tidak langsung membuka mata ramai mengenai pengertian sebenar ungkapan berkenaan.

"Nampak isteri aku tunjuk artikel di telefon pintar pada anak-anak. Artikel itu dalam bahasa Inggeris, ditulis oleh seorang perempuan mat salih.

"Dia bercerita ketika dia sedang sibuk cuci pinggan di dapur, suaminya dan anak-anak selamba tengok TV. Puas dia panggil semua buat bodoh saja. Akhirnya selepas lama dia bising, suami dia pun cakap pada anak-anak supaya tolong ibu.

DUTY 1

Isteri dan ibu sering kali dibebani dengan segala macam kerja rumah. Gambar hiasan

"Kemudian dia terfikir, kenapa apabila cuci pinggan, kemas rumah itu, dianggap sebagai 'tolong' ibu dan isteri. Seolah-olah itu memang tugas ibu semata-mata, orang lain kalau buat itu sekadar nak tolong saja.

ARTIKEL BERKAITAN: Masa jadi suri rumah dilayan macam hamba, dah kerja terus dapat layanan baik... isteri terguris suami cuma sayang gajinya

ARTIKEL BERKAITAN: Menyesal berhenti kerja jadi suri rumah, wanita ini dipandang rendah tiada duit sendiri... Dihina pula ’tumpang’ harta suami

"Bukankah rumah ini rumah kita bersama? Kita guna tandas bersama. Ruang tamu bersama. Mengapa kita tidak menganggap bahawa ini kerja kita bersama juga?

"Aku mengangguk-angguk sambil membaca artikel itu. Betul, biasanya kita ini ambil mudah. Apabila kerja-kerja di rumah saja, secara automatik kita kaitkan dengan tugas orang perempuan, iaitu ibu kita atau isteri kita. Kenapa mentaliti kita begitu?" tulisnya dalam hantaran berkenaan.

Mahu mempraktikkan dan menerapkan nilai murni dalam diri anak-anak, lelaki berkenaan dan isterinya sepakat untuk membuat jadual tugasan agar setiap isi rumah bertanggungjawab menjaga kebersihan kediaman bersama-sama.

"Maka kami pun buat jadual. Duty roster. Ada tugas harian, ada tugas mingguan. Semua wajib laksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut apa yang ditetapkan.

Kena ada rasa tanggungjawab dalam diri setiap penghuni isi rumah. Barulah bahagia.

NETIZEN

"Untuk apa? Supaya masing-masing ada rasa kebertanggungjawaban. Supaya anak dan suami tahu, rumah ini tanggungjawab bersama untuk pastikan ia bersih, kemas dan sihat untuk didiami.

"Bukan kerja orang perempuan saja. Bukan tugas ibu atau isteri saja.

Kita semua buat sepah, kita semua kena kemas. Bergilir-gilirlah. Masing-masing akan rasa cuci pinggan, sidai baju, cuci tandas, sapu sampah, cabut rumput dan lain-lain.

"Tidak ada ruang untuk anak-anak rasa seperti tuan atau bos. Tidak ada ruang untuk suami atau isteri menyuburkan ego. Barulah kita boleh hargai setiap sudut rumah yang kita diami," tulisnya lagi.

Tambahnya, apabila masing-masing sudah dibiasakan dengan tanggungjawab, secara tidak langsung mereka akan memahami perasaan seorang isteri dan juga ibu.

"Kita akan geram apabila ada ahli keluarga cuba sepahkan barang. Sebab kita tahu betapa lecehnya nak kemas balik.

"Baru kita tahu apa yang ibu dan isteri kita rasa selama ini," ujarnya lagi.

DUTY 2

Antara komen netizen terhadap perkongsian lelaki berkenaan.

Hantaran berkenaan yang dikongsikan di laman Facebook Kisah Dunia meraih lebih daripada 600 shares.

Sementara itu menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut sama bersetuju dengan pandangan berkenaan, malah ada yang berkongsi kisah keluarga masing-masing yang sememangnya turut mempraktikkan cara yang sama.

"Kami adik beradik masa remaja memang ada jadual khususnya waktu bulan puasa, cuci pinggan mangkuk lepas berbuka, kerja lain pun ada bahagian masing-masing.

"Anak-anak aku kecil lagi tapi aku dah ajar letak pinggan dalam sinki lepas makan.

"Kena ada rasa tanggungjawab dalam diri setiap penghuni isi rumah. Barulah bahagia," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain