suria

Tak berhati perut! Konon pencinta haiwan tapi kurung kucing sampai mati, tuan rumah jumpa 2 bangkai reput tinggal tengkorak

Keadaan rumah yang ditinggalkan penyewa tidak bertanggungjawab.

PERIHAL rumah yang ditinggalkan penyewa dengan longgokan sampah sarap dan bau busuk bukanlah perkara baharu.

Namun jika seluruh rumah yang disewakan dipenuhi dengan najis binatang, pastinya tidak dapat digambarkan betapa kotor dan busuk suasana di dalamnya.

Begitulah yang dilalui seorang ejen hartanah yang meninjau sebuah rumah milik pelanggannya selepas ditinggalkan oleh penyewa yang tidak bertanggungjawab.

rumah penuh najis 6

Kesan cakar kucing pada sofa di ruang tamu.

Berkongsi cerita kepada mStar, Amri Najmin berkata, rumah teres dua tingkat terletak di Shah Alam, Selangor itu disewakan pelanggannya kepada sebuah keluarga.

Menerusi video kompilasi foto keadaan rumah yang dimuat naik di TikTok miliknya, ramai menyangka ia merupakan kesan kotoran akibat banjir.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengah syok rakam video, tiba-tiba jatuh lubang! Ejen hartanah istighfar panjang, rupanya terpijak papan reput tutup kolam renang

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak boleh fikir dah, geli" - Ejen hartanah trauma nampak patung seks di rumah untuk dijual, ngeri imbas kelakuan bekas suami klien

"Bukan sebab banjir, tapi satu rumah dari tingkat bawah ke tingkat atas dipenuhi dengan najis kucing. Baunya tak tahu nak cakap macam mana, busuk sangat.

"Kalau rumah sewa yang penuh sampah buat orang tak tahan, yang penuh najis ni lagi teruk," katanya ketika dihubungi mStar.

rumah penuh najis 3

Najis kucing di bahagian tangga.

Tambah Amri yang berusia 38 tahun itu lagi, dia difahamkan penyewa tersebut membeli kucing dan turut menyediakan perkhidmatan penginapan atau hotel bagi haiwan peliharaan itu.

"Mereka menyewa sejak 2018, mula-mula okay. Tapi selepas itu ada sebulan atau dua bulan lambat bayar dan ia berlarutan sehingga ke PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

Kepada penyewa, jika kita terima rumah tu dalam keadaan baik, jagalah sebaiknya.

AMRI NAJMIN

"Habis PKP tahun lepas, pemilik dah tak tahan sangat sebab empat bulan tak bayar sewa dan bil elektrik ada tunggakan RM8,000. Apabila dia pergi tengok, rumah tu berkunci.

"Tanya jiran-jiran, mereka kata dah lama tak ada orang duduk situ sejak dari awal tahun," ujarnya yang berpengalaman sebagai ejen hartanah selama 10 tahun.

rumah penuh najis 4

Kotoran di tandas dan ruang makan.

Menurut ejen yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu lagi, mereka juga mendapat maklumat daripada jiran-jiran yang sering terdengar kucing-kucing meraung kerana kelaparan.

"Masa tu kucing masih banyak di dalam rumah. Jiran nak hantar bagi makanan tak dapat sebab pintu rumah berkunci. Sedangkan pemilik telefon penyewa pun tak berjawab.

"Keadaan di dalam rumah teruk sangat terutama sofa ada banyak kesan cakar kucing. Semua lantai dari ruang tamu ke dapur, bilik tidur dipenuhi dengan najis kucing," katanya sambil menambah pemilik baru saja membaik pulih rumah berkenaan, awal tahun ini.

rumah penuh najis 2

Bangkai kucing (bulatan) yang hanya tinggal tengkorak dan tulang.

Namun apa yang mengejutkan Amri adalah penemuan dua bangkai kucing di tingkat atas, yang hanya tinggal serpihan dan tengkorak.

"Penyewa yang selama ini merupakan pencinta kucing boleh jadi tak berperikemanusian. Sangat kejam mereka sanggup biarkan bangkai kucing atas lantai dan blah macam tu je.

"Kerosakan teruk di lantai, dengan bahagian bawah kena cuci dan polish, manakala bahagian atas kena ganti baharu. Kerja-kerja mencuci dan membaik pulih selama tiga minggu membabitkan kos kira-kira RM30,000," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

rumah penuh najis 5

Lantai di dua bilik turut dilumuri najis.

Berdasarkan pengalaman yang sukar untuk dilupakan itu, Amri menasihati setiap pemilik rumah agar sentiasa memperbaharui perjanjian sewa rumah bagi memastikan penyewa bertanggungjawab.

"Pemilik ini mula-mula ada perjanjian, tapi selepas itu tak renew kontrak. Saya juga menasihatkan agar pemilik rumah menyemak latar belakang penyewa dan sentiasa berhubung dari semasa ke semasa, terutama apabila ada tunggakan bayaran.

"Kepada penyewa, jika kita terima rumah tu dalam keadaan baik, jagalah dengan baik. Jika tidak, ia akan memberi kesan dari segi emosi dan kewangan kepada orang lain, Jadilah penyewa yang bertanggungjawab," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain