suria

Bebytora belum mampu beri zuriat, netizen asyik provok suruh suami kahwin lain... Tak habis-habis bangkit isu saiz badan!

Bebytora dan suami sering ditanya tentang zuriat sejak mendirikan rumah tangga pada tahun 2019.

SEJAK bujang sehinggalah bergelar isteri orang, personaliti media sosial Bebytora bagaikan sudah lali dengan kecaman netizen.

Menurut Bebytora atau Nor Atierah Zulfatie Zulkfili, 26, dia juga sering digasak dengan soalan tentang cahaya mata sehingga perkara itu menjadi satu kebiasaan buatnya.

"Ada masanya saya penat juga orang tanya tentang zuriat. Macam dah putus asa. Kadang-kadang rasa sedih sebab saya sedar kekurangan diri. Tapi sebenarnya benda tu lama-lama dah jadi kebiasaan, saya pun dah lali.

"Apabila orang nasihat suruh kuruskan badan, saya ambil positif teguran itu. Cuma bab hinaan sampai buat akaun Instagram palsu, saya rasa tak perlu kot. Hidup di dunia ini tak lama. Semua ada ujian masing-masing.

bebyotra2

Bebytora dan suami sibuk mencari rezeki buat keluarga.

"Jadi jalanilah hidup kita dengan tenang dan bahagia, tak perlu kacau hidup orang. Apa yang kita cakap akan berbalik kepada diri sendiri suatu hari nanti," ujarnya kepada mStar.

Biarpun belum dikurniakan cahaya mata, Bebytora berkata dia bahagia dengan cara tersendiri dan sibuk bekerja demi mencari wang buat keluarga.

Paling manis, Bebytora dan suaminya, Muhammad Hafis Al Haffus Johari, 31, baru sahaja membeli sebuah kediaman di Sepang, Selangor pada tahun lalu.

Setiap kali saya live dengan isteri, mesti hangpa suruh saya kahwin lain.

MUHAMMAD HAFIS AL HAFFUS JOHARI

Malah, Bebytora dan suami turut meluahkan hasrat membawa keluarga mereka mengerjakan umrah di Tanah Suci pada tahun ini.

Dalam pada itu, suaminya yang senang disapa Apit mengakui dia juga tidak terlepas dengan kecaman netizen, namun menganggap ia sebagai lumrah biasa di media sosial.

Baru-baru ini ada netizen yang turut memberi cadangan agar Apit berkahwin lain kerana masih belum dikurniakan cahaya mata dengan Bebytora.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami Instafamous bengang mulut pedas netizen, sedih lihat Beby Tora-Tora tumpah air mata “Aku akan jaga dia macam nyawa aku”

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa kongsi kisah 5 tahun sabar tunggu zuriat, akhirnya lahir ‘si pipi labuh’ popular macam anak selebriti - “Orang lain geram, kami pun sama”

"Setiap kali saya live dengan isteri, mesti hangpa suruh saya kahwin lain. Walaupun saya tak ada anak, tak ada zuriat, tapi saya bahagia dengan isteri. Walaupun saya tiada keturunan, saya percaya rezeki Allah.

"Walaupun dah empat tahun kami kahwin, belum ada zuriat, belum ada keturunan. Saya memang suka dengan budak-budak, tapi famili saya ramai budak-budak. Kerana saya tak ada rezeki lagi nak main dengan anak sendiri, saya mainlah dengan anak orang.

"Cuma kalau saya main dengan anak orang, malam-malam tak perlu tukar lampin. Rezeki berbagai cara. Ada setengah orang senang beranak, setengah orang anak dua, tiga orang duduk rumah sewa lagi. Macam tu lah," ujar Apit.

bebyitra

Pasangan ini berkahwin pada Mac 2019.

Menurut Apit lagi, dia tidak mampu untuk menutup mulut netizen dan berharap mereka lebih berhati-hati dalam menulis komen di media sosial.

"Soalan macam tu berterusan. Biasa la mulut orang, mana boleh tutup. Tapi tak semua netizen yang jahat. Ada sesetengah je. Bagi saya, kata-kata kesat ni dah jadi asam garam.

"Dulu masa mula-mula kahwin, memang saya rasa sentap. Tapi lama-lama saya sedar, kita dah masuk bidang media sosial, jadi kita kena terima. Saya anggap mereka bergurau saja.

"Cuma kalau nak tegur tu, boleh saja direct message (DM). Saya sentiasa balas. Tapi sebelum nak kata apa-apa tu, bawa-bawa la mengucap dua kalimah syahadah," ujar Apit berseloroh.

Menurut Apit lagi, dia enggan terlalu memikirkan soalan tentang zuriat, sebaliknya mahu fokus membantu isteri dan membangunkan perniagaan sendiri.

bebyota4

Bebytora aktif di media sosial yang menjadi sumber rezeki buat dia dan suami.

"Dulu saya pernah ada kedai ayam Korea. Tapi kedai dah ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sejak setahun lepas, saya usahakan produk sambal. InsyAllah akan ada produk kedua tak lama lagi.

"Saya banyak habiskan masa dengan isteri. Tolong dia ke sana-sini, saya yang tolong drive. Dia bukan saja dapat job di Selangor dan Kuala Lumpur, tapi sampai ke Perak, Terengganu, Kelantan dan banyak lagi.

"Jadi kami fokus hidup kami saja. Yang orang kata macam-macam, kami biarkan. Kami cuma nak cari rezeki," ujar Apit lagi.

Untuk rekod, Apit dan Bebytora mendirikan rumah tangga pada 1 Mac 2019 dan bakal menyambut ulang tahun perkahwinan ke empat pada bulan depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain