LELAKI berhidung belang akan sentiasa mencari jalan untuk melampiaskan nafsu. Kaedah yang digunakan ada kalanya tidak tercapai dek akal kerana mereka sememangnya tidak mempunyai batas dalam memperdaya mangsa. Demikianlah kejutan yang diterima seorang kaunselor laktasi bertauliah, Nurun Nadia Masrom, 37, apabila dia mendapat aduan daripada seorang pengikutnya mengenai eksploitasi oleh seorang lelaki yang menyamar menjadi wanita. Ciapan asal di laman Twitter. Melalui satu ciapan tular di Twitter yang dikongsikan Nadia, dapat dilihat tangkap layar perbualan di Telegram di antara mangsa dengan seorang lelaki yang kononnya mahu mengajarnya cara untuk menyusu bayi dengan betul. "Sebagai kaunselor laktasi, saya mahu berkongsikan ilmu kepada ibu-ibu yang mungkin menghadapi kesukaran untuk menyusu bayi mereka. Ada ibu yang tidak tahu mengenai penyusuan bayi dan memerlukan rujukan. ARTIKEL BERKAITAN: Disuruh besarkan payudara sebelum kahwin, gadis ini dedah belang lelaki gila seks... Rupa-rupanya ramai jadi mangsa ‘Azim’! ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dipaksa sebut ‘I love you’ jadi mangsa gangguan seksual... lelaki tak dikenali ugut nak cari di tempat kerja, mujur cubaan sentuh gagal "Sebelum ini saya buat perkongsian secara terbuka di Twitter tetapi dikecam hebat kerana dikatakan perkara ini terlampau sensitif. Jadi saya buat grup Telegram untuk saya berkongsi secara tertutup nota penyusuan bayi kepada para ibu. "Tetapi apabila di grup Telegram ni, saya tak dapat nak tapis dan tengok siapa yang masuk untuk join. Sekali imbas memang nampak semua macam perempuan, tetapi sebenarnya ada lelaki yang berselindung di sebalik identiti wanita. "Dan mereka ini menghayati setiap nota penyusuan bayi yang saya kongsikan dalam grup tu, ini supaya mereka dapat membiasakan diri dengan terms dan lenggok bahasa yang kami gunakan," kata Nadia ketika dihubungi mStar. Kami sebagai kaunselor laktasi tak akan pernah sesekali meminta untuk melihat payudara seorang ibu. NURUN NADIA MASROM Sebagai makluman, kaunselor laktasi bertauliah merujuk kepada mereka yang berkepakaran untuk membimbing dalam bidang penyusuan bayi dan diiktiraf oleh badan kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO). Selain itu menurut Nadia, setelah golongan lelaki berniat serong ini menguasai serba sedikit mengenai selok-belok penyusuan bayi, mereka akan menggunakan ilmu itu untuk memperdaya sasaran mangsa mereka. "Dalam grup Telegram saya ini ada ibu-ibu meluahkan masalah yang dihadapi untuk menyusu bayi. Daripada sinilah lelaki itu akan mempersiapkan modus operandi mereka. "Mereka akan private message wanita yang berkongsikan masalah dalam grup tadi dan memperkenalkan diri mereka sebagai kaunselor laktasi untuk membantu ibu ini secara personal. "Tetapi wanita ini tidak sedar yang mereka sebenarnya bakal dijadikan bahan seksual. Lelaki ini sangat licik sebab mereka berkomunikasi hampir sama macam saya, jadi ibu ini tidak syak apa-apa. "Mereka berasa selesa dan mula mengikut apa yang diminta," jelas Nadia mengenai perbuatan jijik itu. Nadia sebagai kaunselor laktasi bertauliah kecewa kerana bidangnya kerap diseksualkan. Setelah mangsa terjerat ke dalam perangkap, lelaki yang menyamar sebagai wanita itu akan meminta gambar dan video payudara untuk memudahkannya 'mendiagnos' masalah penyusuan. "Mereka minta video dan gambar, ada tu yang sampai berani buat video call. Tujuan dia ialah kononnya untuk melihat cara ibu memerah susu, nak tengok betul ke tak kaedah ibu itu memerah susu. "Dan yang paling hina sekali ada yang minta tengok payudara ibu itu sendiri kerana nak periksa dari segi bentuk ada masalah ke tidak. Semua wanita ini dah terpedaya dan saya berasa kesal. "Grup Telegram ini saya aktifkan pada tahun 2022 dan kejadian seumpama ini pertama kali berlaku. Ada 20 ribu lebih subscribers dalam grup ni dan saya tak tahu berapa ramai yang dah jadi mangsa. "Kami sebagai kaunselor laktasi tak akan pernah sesekali meminta untuk melihat payudara seorang ibu dan saya sentiasa ingatkan hal itu kepada pengikut saya sejak kejadian ini," tegas Nadia. Nadia sempat memaklumkan tanggungjawabnya sebagai kaunselor laktasi juga kerap menjadikannya sebagai mangsa gangguan seksual. Tangkap layar perbualan mangsa dengan lelaki yang menyamar. "Banyak kali saya terima panggilan telefon daripada lelaki yang pada asalnya mahu meminta bantuan penyusuan kononnya untuk isteri tetapi apabila dengar cara mereka bercakap, saya tahu mereka tengah melayan nafsu. "Saya tidak mudah untuk termakan dengan tipu helah lelaki-lelaki ini. Jadi sebab itu mereka mula pergi kepada ibu-ibu dalam grup Telegram saya. "Langkah berjaga-jaga yang saya ambil mulai sekarang adalah dengan sentiasa memberikan peringatan kepada ibu-ibu di dalam grup Telegram saya untuk tidak sewenang-wenangnya berkongsi gambar mereka. "Yang keduanya saya akan more alert dengan ahli grup saya sendiri. Seterusnya saya akan minta ibu-ibu untuk gunakan saluran yang betul iaitu mendapatkan nasihat hanya daripada kaunselor laktasi bertauliah," tegas Nadia. Di kesempatan ini, Nadia menitipkan pesanan kepada lelaki hidung belang yang hidupnya hanya berpaksikan seks. "Cuba ingat kepada mak masing-masing. "Apabila anda melucahkan seorang ibu yang menggunakan payudara untuk menyusu anaknya, sebenarnya anda pada masa yang sama menghina ibu anda sendiri yang pernah menyusukan anda suatu ketika dahulu. "Beringatlah juga kepada adik perempuan dan ahli keluarga wanita anda sendiri, anda pastinya tak mahu perkara yang sama terjadi kepada mereka," kata Nadia mengakhiri bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube