suria

Gadis cantik agama Hindu rupanya hafal surah al-Quran sejak kecil, siap baca terjemahan - “Bagi saya hidayah adalah milik Tuhan”

Divya meraih perhatian selepas membaca surah daripada al-Quran ketika live di TikTok.

AL-Quran merupakan mukjizat yang paling agung, dan mempelajarinya merupakan satu kewajipan bagi umat Islam.

Baru-baru ini tular rakaman seorang gadis beragama Hindu yang membaca beberapa surah daripada kitab suci al-Quran menerusi live di TikTok.

Gadis yang bernama Divya Darshini sekelip mata menjadi perhatian ramai apabila dia membaca surah An-Nas, termasuk sebahagian ayat Kursi secara live.

Bercakap kepada mStar, gadis yang lebih mesra disapa Divya mengakui dia sudah menghafal beberapa surah al-Quran sejak usianya seawal lima tahun.

"Saya boleh hafal beberapa surah seperti Al-Fatihah, Al-Ikhlas, An-Nas dan Yasin. Saya juga boleh baca doa makan.

"Kalau alif, ba, ta tu boleh ingat sikit-sikit. Tapi kalau saya tengok huruf (jawi) tu saya boleh kenal dan sebut satu-satu," katanya ketika dihubungi mStar.

Divya ketika live di TikTok.

Divya yang kini berusia 27 tahun itu memberitahu, dia mendalaminya ketika dijaga oleh pengasuh beragama Islam di Kuala Lumpur sehingga umurnya 16 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: "Selepas masjid, dia mimpi jumpa lelaki berjubah putih” - Doktor dedah suami mualaf alami dua mimpi aneh sebelum mengucap syahadah

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap tahun wanita India ini tak pernah 'missed' datang surau, "Dia sedekah, hantar borang minta buat tahlil..."

"Pengasuh saya orang Islam, dia selalu ajar anak-anak orang yang dijaganya iaitu Iqra dan baca al-Quran. Kesemua mereka beragama Islam.

"Pada mulanya, saya hanya dengar mereka belajar. Lama-kelamaan saya tertarik dan ikut belajar. Pengasuh tak pernah paksa, saya sendiri yang sukarela," ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Selain membaca surah-surah al-Quran, Divya yang kini menetap di Rawang, Selangor turut mengikuti terjemahannya bagi mengetahui maksud bacaan.

Divya dijaga oleh pengasuh beragama Islam sejak kecil.

Menurut anak sulung daripada tujuh beradik itu, dia bagaimanapun tidak menyangka masih mengingati surah-surah tersebut kerana lebih sedekad tidak membacanya.

"Saya hanya belajar dan baca di rumah pengasuh, kadang-kadang berada di sana selama lapan hingga 10 jam atau seminggu jika ibu bapa saya outstation.

"Dah lebih 10 tahun, saya pun tak tahu macam mana masih boleh hafal sehingga ke hari ini. Sebenarnya, saya ini seorang yang pelupa.

Hidayah adalah milik Tuhan dan biarlah Tuhan yang menentukan.

DIVYA DARSHINI

"Kadang-kadang selalu tertinggal atau tercicir barang, dan ibu atau adik-adik kena ingatkan. Mungkin kerana surah-surah ini too deep (terlalu mendalam) buat saya," tambahnya.

Sepanjang dijaga pengasuh yang mesra dipanggil Kak Ida dan dianggapnya seperti ibu, Divya turut diperdengarkan dengan kisah nabi-nabi dan berpuasa di bulan Ramadan.

"Anak-anak lain puasa, saya pun ikut belajar. Saya pernah puasa sebulan, tapi kena gastrik selepas itu. Tahun-tahun berikutnya masih berpuasa tapi tak penuh," katanya yang gemar menyanyi, berlakon dan melancong.

Divya juga pernah berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan.

Berlainan agama, Divya yang bertugas sebagai pembantu perubatan berkata, dia hanya mempelajari bacaan a-Quran dan berpuasa kerana tertarik.

"Bagi saya, mana-mana agama ada Tuhan yang satu. Sebelum saya belajar (al-Quran), saya kena belajar agama saya dahulu iaitu Hindu.

"Kita kena menghormati agama dan kepercayaan masing-masing. Apabila kita hormat, bukannya kita kena sembah Tuhan lain.

"Terima kasih kepada mereka yang mendoakan saya semoga mendapat hidayah. Bagi saya, hidayah adalah milik Tuhan dan biarlah Tuhan yang menentukan," katanya.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini mengulas mengenai hukum orang bukan Islam membaca al-Quran.

Dalam meneliti isu ini, terdapat beberapa sisi pandang:

Pertama, orang bukan Islam yang membaca al-Quran dengan niat menghina (istihza') atau bermain-main (sukhriyyah). Isu ini disepakati oleh para ulama sebagai haram, dan wajib dihalang.

Kedua, orang bukan Islam yang membaca al-Quran dengan tujuan mencari kebenaran (ihtida') dan petunjuk. Oleh itu, hukum bagi seseorang yang kafir yang membaca al-Quran dalam mencari kebenaran atau ihtida' adalah harus.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain