NIAT seorang wanita untuk merasai pengalaman baharu menaiki kereta api di Kelantan akhirnya bertukar menjadi satu mimpi ngeri. Manakan tidak, dia teruk dikecam netizen gara-gara berkongsi video menaiki kenderaan awam Electric Train Service (ETS) daripada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan membawa seekor kucing! Melalui satu ciapan yang tular di Twitter, wanita bernama Eliza Diana itu diherdik kerana didakwa sengaja melanggar peraturan yang melarang membawa haiwan menaiki kenderaan awam berkenaan. Ciapan asal di laman Twitter. "Ciri-ciri orang bodoh sombong, lagi dia tahu benda tak boleh buat, lagi dia nak tunjuk. Apabila orang kecam dia menjawab pusing arah lain dan salahkan orang pula," kata warga maya itu. Bercakap kepada mStar, wanita itu yang senang disapa sebagai Eliza berkata dia sama sekali tidak mempunyai niat untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. "Saya mengaku salah sebab saya tak sedia maklum dengan peraturan yang melarang bawa haiwan dalam kereta api. Cerita dia macam ni, saya ada kebun di Sri Mahligai, Kelantan yang dekat dengan landasan kereta api. ARTIKEL BERKAITAN: Menangis di stesen KTM, penuntut lega temui semula dompet hilang... dah 8 bulan baru tahu pemuda India yang bantu - “Baik buruk tak ada kaitan bangsa” ARTIKEL BERKAITAN: [V] Naik motor dari JB ke KL untuk temuduga, pemuda ‘lepas’ semua ujian sepanjang perjalanan berkat santuni mak ayah "Kebun saya ni memang dalam kawasan kampung yang hulu. Setiap kali datang ke kebun, saya selalu nampak kereta api lalu-lalang dekat tepi. Saya teringin nak naik. "Pada hari terakhir dekat kebun sebelum saya pulang ke rumah saya di Kajang, Selangor, saya decide nak cuba naik kereta api tu pergi ke Gua Musang," kata Eliza yang bekerja sendiri. Eliza memaklumkan dia mempunyai seekor kucing bernama Marisa yang sememangnya menjadi peneman setianya ketika melancong ke serata tempat. Saya bukannya enjoy kesalahan yang saya buat. Saya sedar apa yang saya buat salah. ELIZA DIANA "Saya ada tiga ekor kucing dan Marisa sahaja yang boleh travel. Ia behave dan terlatih untuk tak berak dan kencing merata-rata. "Jadi untuk mengembara naik kereta api tu, saya ingat tak ada masalah nak bawa Marisa sekali. Saya ada tanya orang-orang kampung boleh ke nak bawa kucing naik kereta api tu. "Saya juga borak dengan pakcik yang berniaga gerai makan berdekatan stesen kereta api tu, dia kata boleh je. Dia cakap orang tempatan siap ada bawa ayam naik kereta api tu. "Biasanya budak-budak guna kereta api tu untuk pergi ke sekolah di pekan. Jadi saya pun ingat boleh la nak teruskan dengan rancangan bawa kucing sekali," ujar Eliza. Stesen kereta api Sri Mahligai, Kelantan terletak di kawasan perkampungan. Eliza berkata dia bertambah yakin untuk membawa kucing ke dalam kereta api apabila melihat keadaan stesen yang biasa dan ringkas. "Stesen kereta api tu sebenarnya macam pondok je, tak ada siapa pun yang jaga. Pagar pun tak ada. Kalau nak naik kereta api, orang akan tunggu dekat situ macam bus stop. Pukul 7:30 pagi mula tunggu, pukul 7:40 pagi kereta api sampai. "Untuk tambang, orang kampung cakap ada konduktor kereta api yang kutip di dalam gerabak nanti. "Apabila tengok keadaan macam tu, saya pun ingat akan naik kereta api old school macam dekat Thailand tu. Macam open air punya train. Mesti feeling ada angin masuk. "Lagipun waktu saya duduk dekat kebun, saya selalu tengok macam-macam jenis kereta api yang lalu, kereta api lama, baharu dan kargo semua ada," kata Eliza cuba menjelaskan situasi. Namun jangkaan Eliza ternyata meleset apabila kereta api yang tiba untuk mengambilnya adalah kereta api moden yang lengkap dengan pendingin hawa. Kereta api moden yang datang menjemput Eliza menyebabkan dia risau. "Apabila nampak kereta api canggih yang sampai, saya dengan anak dah mula risau. Apabila masuk dalam gerabak, nampak tak ada orang, jadi lega sikit. "Saya tengok dekat dinding nampak notis haiwan peliharaan tak dibenarkan dalam kereta api. Saya fikir kalau ada kakitangan KTM tegur tentang kucing saya, saya bersedia untuk tinggalkan kereta api di stesen yang seterusnya. "Tetapi saya bersyukur kakitangan KTM yang datang tu memahami. Dia tanya ada apa dalam sangkar tu dan saya jujur jawab kucing. Dia cakap baik-baik tak boleh sebenarnya. Dia minta saya letak dekat bahagian luggage. Saya akur. "Saya tak dihalau daripada kereta api dan dibenarkan teruskan perjalanan sampai ke Gua Musang. Kami masing-masing beri kerjasama dan tak ada ketegangan yang berlaku. Saya belajar daripada kesilapan," kata Eliza. Eliza dan dua orang anaknya bersiar-siar bersama Marisa. Mengulas mengenai videonya memegang Marisa sambil tersenyum-senyum, Eliza berkata dia sebenarnya sedang risau kerana menyedari sudah melanggar peraturan. "Ada orang cakap saya tengah gembira sebab langgar peraturan tanpa rasa bersalah, tapi dalam video itu sebetulnya saya tengah risau. "Saya gelisah fikir apa nasib saya dengan Marisa. Saya bukannya enjoy kesalahan yang saya buat. Saya sedar apa yang saya buat salah. "Video tu adalah untuk beritahu yang memang tak boleh bawa kucing masuk dalam kereta api. Saya belajar dan tak akan ulangi kesilapan yang sama," ujar Eliza mengakhiri perkongsian. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube