suria

Nak test binaan kukuh ke tidak, hidup berubah selepas jatuh koridor... akur doktor tak jamin akan kembali normal

Fad lumpuh selepas dia terjatuh dari koridor pada Mac 2021.

BERUBAH sepenuhnya!

Begitulah gambaran kisah seorang lelaki berusia 30-an yang kini bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) selepas dia terlibat dalam kemalangan di rumahnya, dua tahun lalu.

Dalam kejadian pada Mac 2021, Fad Mohamad, terjatuh dari koridor tingkat satu kediamannya, menyebabkan dia mengalami Spinal Cord Injury (SCI) Level L3.

"Kejadian berlaku secara spontan di mana saya bersandar pada koridor yang terletak di luar rumah. Waktu itu baru lepas renovate. Keadaan tak kukuh, tapi saya hanya nak pastikan ia kukuh, jadi saya bersandar dengan kuat.

"Waktu itu, saya terus terjatuh. Kejadian berlaku dalam masa beberapa saat saja. Tiada sesiapa ada di situ. Tapi kebetulan ada jiran datang bantu, mereka nampak saya panggil orang meminta pertolongan.

Ketika tahun pertama saya lumpuh, seri hari raya tu memang tak ada. Nak pakai baju raya pun, saya hanya terbaring.

FAD MOHAMAD

"Akibatnya, pinggang saya sampai ke bawah dah tak boleh bergerak. Saya terlantar di hospital selama sebulan. Kemudian lagi tiga bulan di rumah. Total empat bulan terlantar," imbasnya kepada mStar.

Menurut Fad yang menetap di Selangor, dia pada waktu itu merasakan masa depannya suram, namun keadaan mula berubah sedikit demi sedikit selepas dirinya ditempatkan di sebuah pusat pemulihan di Melaka.

"Berlaku perubahan yang sangat drastik, membuatkan saya down. Saya terus resign lepas tahu saya lumpuh. Pada waktu itu, saya dah tak ada life. Saya tak nampak future. Sepanjang empat bulan saya tak fikir kerja, saya fikir untuk pulih saja.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami lumpuh, ibu 2 anak lega dapat kaki baharu Ramadan ini

ARTIKEL BERKAITAN: Sekelip mata jadi OKU, pemuda tak keluar bilik 2 tahun akibat kemurungan sebelum bangkit demi ibu... kini dah kerja bank, ada isteri!

"Saya dinasihatkan oleh doktor pakar yang operate saya, mereka tak beri kata putus yang saya akan kembali normal. Cuma mereka kata, kalau usaha dan doa, mungkin boleh berdikari dan uruskan diri sendiri. Tapi untuk kembali normal, memang tiada jawapan.

"Saya telah dipanggil untuk masuk ke sebuah rehab di Melaka atas nasihat doktor. Di sana saya menjalani pemulihan dari segi mental dan fizikal. Di sana, saya ada tenaga pengajar, doktor, jururawat serta kawan senasib yang membuatkan saya lebih bersemangat.

"Ketika dalam rehab, saya lihat ada progress atas diri saya. Saya belajar uruskan diri sendiri sehingga boleh berjalan sedikit demi sedikit. Tapi saya masih guna kerusi roda," ujarnya yang sebelum ini bekerja di sektor swasta.

fad3

Kata Fad, hidupnya banyak berubah sejak kejadian itu.

Meskipun keadaannya bertambah baik, Fad berkata dia kehilangan banyak perkara dalam hidupnya, termasuklah detik meraikan Hari Raya Aidilfitri yang penuh suram sejak kejadian tersebut.

"Dulu saya suka travel. Bila jadi macam ni, saya terbatas. Ketika tahun pertama saya lumpuh, seri hari raya tu memang tak ada. Nak pakai baju raya pun, saya hanya terbaring. Raya tahun kedua, saya dah mampu pakai baju raya, cuma nak berdiri tu susah.

"Saya tak rasa keseronokan bila berbaju Melayu ketika raya. Saya tak boleh ke sana-sini dan tak yakin nak jumpa orang. Tapi tahun ini, InsyaAllah saya yakin nak jumpa orang. Kalau saudara-mara, kawan-kawan nak bawa keluar, saya tak ada masalah," ujarnya.

fad2

Meskipun masih menggunakan kerusi roda, Fad kini lebih bersemangat untuk menjalani kehidupan seperti insan yang lain.

Kisah Fad mendapat perhatian ramai selepas dia berkongsi perjalanannya menerusi bingkisan video di aplikasi TikTok sehingga meraih ratusan ribu tontonan.

Mengulas hal itu, Fad berkata dia sekadar mahu berkongsi semangat positif, khususnya buat mereka yang senasib dengannya.

Namun kata Fad, dia juga tidak terlepas menerima komen tidak sensitif daripada segelintir individu menerusi media sosial itu.

fad4

Fad berkongsi kisah hidupnya menerusi TikTok untuk memberi aura positif buat mereka yang senasib dengannya.

"Pada mulanya saya dah tahu dah, sekali saya post, mesti akan ada komen tak menyedapkan hati. Ada yang bertanya, awak ni dah cacat ke? Kenapa jadi macam ni? Kenapa tak berhati-hati?

"Benda tu pada saya tak perlu tanya. Kalau nak jadi, dalam keadaan apa pun boleh terjadi. Saya tak rasa orang yang komen macam tu orang yang matang. Tapi saya pun tak adalah anggap benda tu terlalu serius.

"Kebanyakannya positif, mereka doakan saya sembuh dan sihat. Niat saya cuma nak kongsi benda yang positif dengan orang di luar sana," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain