suria

Kaki senget, jari kontot... siswa UiTM dah biasa diejek sejak kecil - “Ada jari ke nak pakai cincin?”

Syaa cekal meneruskan hidup meskipun pernah diejek disebabkan kekurangan pada dirinya.

JANGAN jadikan kecacatan sebagai penghalang untuk meneruskan kehidupan!

Begitulah pegangan gadis berusia 19 tahun ini yang cekal menjalani kehidupan biarpun dirinya mempunyai kekurangan fizikal.

Nooraisyah Uman Ali dari Slim River, Perak turut mencuri perhatian ramai selepas dia berkongsi kisahnya di media sosial, baru-baru ini.

sya01

Syaa merupakan penuntut UiTM Tapah, Perak.

"Lahir-lahir dah cacat. Hi korang, nama aku Syaa. Aku dilahirkan dalam keadaan kaki yang senget dan jari tak berapa nak ada, kontot-kontot, pendek-pendek.

"Orang kata tangan aku ni ada masalah amniotic band syndrome, tapi bila aku jumpa doktor, tak ada pun doktor sebut benda tu," ujarnya menerusi video di TikTok.

Ketika dihubungi mStar, Syaa yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik berkata, dia menjalani hidup normal dan tidak pernah terkesan dengan kekurangan itu.

Walaupun lahir keadaan macam ni, saya jalani hidup normal. Boleh lari-lari, melompat.

NOORAISYAH UMAN ALI

"Sejak lahir dah macam ni. Kaki kanan saya senget. Satu jari saya terpaksa dibuang masa kecil dulu sebab saiznya tak normal.

"Walaupun lahir keadaan macam ni, saya jalani hidup normal. Boleh lari-lari, melompat. Saya juga sertai sukan macam lompat tinggi dan kawad. Tiada kekangan," ujarnya.

Menurut Syaa, dia juga tidak terlepas menerima pandangan serong serta kata-kata negatif, namun tidak pernah berkecil hati dengan perkara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekelip mata jadi OKU, pemuda tak keluar bilik 2 tahun akibat kemurungan sebelum bangkit demi ibu... kini dah kerja bank, ada isteri!

ARTIKEL BERKAITAN: [V] TikToker buat prank biadab! Ibu bawa anak OKU nampak sedih lap cermin mata, tudung dipenuhi kek hancur

"Kalau orang ejek atau cakap apa-apa, benda tu dah saya anggap sebagai normal dalam hidup saya. Sejak kecil saya dah terbiasa dengan orang yang bergurau kasar.

"Contohnya waktu sekolah rendah, saya minta ayah belanja cincin, Kemudian ayah cakap, kamu ada jari ke nak pakai? Saya dah terbiasa gurauan macam ni sejak kecil. Jadi tiada masalah kalau diejek.

"Biasanya budak-budak kecil takut tengok tangan saya. Tapi saya tak terasa hati. Dah mental diajar supaya tak terasa, kita dengan keluarga dah terbiasa," ujarnya lagi.

Mengenai dirinya, Syaa berkata dia diserahkan kepada ibu saudaranya sejak kecil lagi, namun tidak pernah terputus hubungan dengan keluarga kandung.

syaa1

Syaa menjadi perhatian selepas dia berkongsi kisah hidupnya menerusi TikTok.

"Saya duduk dengan makcik sejak lahir. Makcik saya tiada anak. Dah buat perjanjian bahawa saya akan diberikan kepada makcik selepas dilahirkan.

"Masa lahir, mak tak boleh nak bagi sebab saya ada kekurangan. Tapi makcik tetap nak juga, dia boleh terima kekurangan saya. Sebabnya dia dah tunggu sejak saya dalam kandungan lagi.

"Tapi saya masih berhubungan dengan keluarga kandung. Masih contact dan jumpa dengan mereka semua," ujar Syaa yang mempunyai lebih 180,000 pengikut di TikTok.

Bercerita tentang perkembangan terbaharunya, Sya berkata dia merupakan pelajar semester dua bidang Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah, Perak.

Antara video yang dikongsi oleh Syaa menerusi aplikasi TikTok.

Tambah Syaa secara berseloroh, dia juga memasang angan-angan untuk bergelar selebriti suatu hari nanti.

"Saya akan masuk semester dua pada 18 Mac ini. Ketika cuti semester, saya balik ke rumah keluarga kandung dan akan balik juga ke rumah makcik yang juga ibu angkat saya.

"Saya ni banyak buat video sebab sejak dari kecil berangan nak jadi pelakon. Dulu malu-malu juga nak post video, tapi saya tengok ada orang yang keadaannya lebih teruk daripada saya, tapi mereka ada keyakinan diri. Saya pun jadi yakin.

"Ramai yang berikan sokongan di TikTok. Saya rasa gembira dengan reaksi positif ini. Sebab biasanya dekat luar orang akan pandang saya pelik dari atas ke bawah. Di TikTok ramai yang positif," ujarnya lagi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain