SEJAK keputusan bagi tawaran kemasukan pelajar ke tingkatan satu dan empat untuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) keluar pada 17 Mac lalu, pelbagai reaksi yang dikongsikan ibu bapa di media sosial. Ada yang kecewa kerana mereka sememangnya meletakkan harapan yang tinggi untuk anak-anak menyambung pelajaran di sekolah tersebut dan berharap agar memperoleh peluang kedua menerusi rayuan. Namun sebahagian yang lain menerima keputusan berkenaan dengan berlapang dada dan lebih senang menganggap 'tiada rezeki'. Memahami gelojak rasa yang dirasai kebanyakan ibu bapa ketika ini, seorang guru yang tidak asing lagi di Facebook, Mohd Fadli Salleh, tampil berkongsi pandangannya memandangkan anak lelakinya juga tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke SBP. Kehidupan di sekolah berasrama menjadikan seseorang pelajar itu lebih berdikari. Gambar sekadar hiasan "SBP ni impian hampir semua ibu bapa dekat Malaysia. Kami pun tak terkecuali. Apa lagi, aku juga merupakan ex-SBP. Memang aku tahu banyak sangat sisi positif dan kebaikan jika anak dapat SBP. "Namun pada aku, sekolah harian biasa tak kurang bagusnya. Ramai je pelajar cemerlang saban tahun datang dari sekolah harian biasa," kongsi Mohd Fadli. Tambah guru ini lagi, dia lebih senang menerima keputusan tersebut dan menganggap perkara tersebut tersembunyi 1,001 hikmah. ARTIKEL BERKAITAN: Alasan anak tolak tawaran masuk kolej buat ibu terkedu! Bimbang nenek terlantar sakit dan 7 adik tiada siapa nak jaga ARTIKEL BERKAITAN: Senang kerja! Warden buat live TikTok ketika spotcheck dorm pelajar, otai hadir dedah port rahsia sorok barang larangan "Aku pula sedikit berat untuk lepaskan anak ke SBP seawal usia 13 tahun. Kalau dapat masuk masa dia tingkatan empat lagi elok. Jika tak pun, terus je di sekolah biasa sampai tamat sekolah menengah. "Lagi pun Arshad okey je sekolah kat mana-mana. Bahkan dia lebih teruja tak dapat SBP sebab nanti katanya nak masuk kelas belajar main drum, gitar dan keyboard," luahnya. Daripada satu sudut, Mohd Fadli berkata anak-anak yang bersekolah di sekolah harian dapat meluangkan masa lebih lama dengan ibu bapa mereka. Belajar di sekolah harian biasa pun boleh cemerlang, nanti ada rezeki tingkatan empat kalau dapat masuk SBP, pergilah. MOHD FADLI SALLEH "Aku pernah menulis artikel bertajuk 'anak cuma rapat dengan kita sehingga umur 12 tahun' beberapa tahun lepas. Sebaik sekolah menengah dan anak dapat sekolah asrama, mereka mula pergi jauh. "Jarang-jarang balik ke rumah. Aku jenis family man. Suka lihat ahli keluarga ada di sekeliling sahaja. Tambah-tambah masa awal remaja mereka seperti usia 13 hingga 15 tahun ni. "Tak apa la Shad tak dapat SBP pun. Ayah tak terkilan pun. Bahkan lebih suka Arshad ada kat rumah je," kongsi guru berkenaan lagi. Justeru ujarnya, mana-mana ibu bapa yang kecewa sekiranya anak mereka tidak berpeluang ke SBP agar tidak menjadikan perkara tersebut sebagai isu besar kerana setiap sekolah mempunyai kelebihan tersendiri. "Belajar di sekolah harian biasa pun boleh cemerlang juga. Nanti ada rezeki tingkatan empat kalau dapat masuk SBP, pergilah. Sebahagian netizen turut sependapat dengan Mohd Fadli. "Apa pun, tahniah kepada semua anak-anak yang dapat SBP dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Semoga terus maju jaya semuanya," akhirnya. Perkongsian berkenaan hingga kini meraih 781 shares di Facebook. Menjengah ruangan komen, rata-ratanya turut sependapat dengan guru berkenaan. "Kalau MRSM tak dapat, SBP pun tak dapat maknanya perancangan Allah SWT nak anak tu dekat dengan mak ayah. Perancangan Allah adalah yang terbaik. "Betul cakap cikgu... belajar sekolah harian pun tiada kurangnya. Dulu ada kawan cemerlang result dapat masuk SBP, sekejap saja masuk SBP kemudian keluar masuk balik sekolah harian. "Yakin dengan ketentuan Allah SWT, hati jadi tenang," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube