suria

Lampu van jenazah menyala sendiri jam 1.30 pagi, dah tutup ‘dibuka’ balik - “Nampak macam suis ditekan”

Masrul berdepan gangguan di hadapan kediamannya pada 3 Mac lalu.

RAKAMAN memaparkan lampu signal sebuah van jenazah yang menyala sendiri pada pukul 1.30 pagi meraih lebih sejuta tontonan di media sosial.

Dalam video itu, gangguan itu dilihat berlaku beberapa kali meskipun pemiliknya telah mematikan lampu van tersebut.

"Lepas hantar jenazah terus balik rumah ke bro? Ada yang ikut balik tu.

"Jenazah dah dihantar tapi tuannya masih di situ.

"Aku tengok video ni pun meremang.

"Sedangkan hantu pandai bagi signal. Manusia masuk simpang pun tak bagi signal," tulis beberapa netizen di aplikasi TikTok.

Selama bawa van jenazah ni, dah tiga tahun, hampir 800 jenazah dengan pelbagai jenis kejadian. Ini kali pertama saya kena gangguan.

MASRUL GUDING

Menurut Pengasas Persatuan Amal Dan Jariah Sabah, Masrul Guding, 33, van miliknya itu tidak mempunyai sebarang masalah, sekali gus membuatkan dia hairan memikirkan tentang gangguan aneh pada 3 Mac lalu.

"Pada hari kejadian, adik saya pergi hantar jenazah di Ranau. Dia balik pukul 10 malam dan letakkan van itu depan rumah saya.

"Dalam pukul 1.30 pagi, jiran telefon, dia maklumkan lampu van jenazah menyala. Saya keluar, tengok lampu signal menyala. Jadi saya matikan lampu tu, kemudian ia menyala balik.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dari awal naik van jenazah saya tengok dia risau” - Bapa hulur RM5 sempurnakan perjalanan terakhir anak OKU, dua kali menangis

ARTIKEL BERKAITAN: Reviu van jenazah raih hampir setengah juta views, ramai puji ayat ‘power’ jurujual wanita Cina ini! - “Mungkin kali ini Tuhan nak belanja saya”

"Tak lama kemudian, bila saya periksa dalam van, saya nampak macam suis ditekan. Terus saya buat video. Selepas dimatikan, ia menyala lagi. Ia berlarutan sampai tiga kali," ujarnya yang menetap di Ranau.

Menurut ahli perniagaan yang turut berkhidmat sebagai pemandu van jenazah itu, kejadian tersebut merupakan pertama kali dialaminya sepanjang penglibatannya dalam dunia kebajikan.

"Selama bawa van jenazah ni, dah tiga tahun, hampir 800 jenazah dengan pelbagai jenis kejadian. Ini kali pertama saya kena gangguan. Punca terjadi pun tak pasti.

m3

Masrul hairan dengan kejadian yang berlaku pada 3 Mac lalu.

"Sebelum ni ada juga keranda berbunyi. Itu normal la sebab van bergoyang ketika dipandu. Saya hanya bersangka baik, enggan fikir bukan-bukan.

"Setakat ini belum pernah lagi ada 'benda' pelik-pelik muncul depan-depan," ujarnya berseloroh.

Masrul berkata dia juga tidak kisah sekiranya ada individu yang menganggapnya mereka-reka cerita memandangkan hanya dirinya yang ada di tempat kejadian.

"Selama ini ada juga perkara pelik terjadi, tapi masih boleh dikaitkan dengan sains dan teknikal. Tapi kali ini bab tekan suis tu yang tak boleh fikir habis.

m1

Video yang dikongsi tular di TikTok.

"Terpulang pada individu mahu percaya atau tidak. Saya sekadar berkongsi pengalaman membawa van jenazah saja," ujar Masrul.

Mengenai dirinya, Masrul berkata dia sudah mengasaskan persatuan yang menjalankan kerja-kerja kebajikan itu sejak Oktober 2020.

Setakat ini, Persatuan Amal Dan Jariah Sabah mempunyai empat van jenazah yang boleh digunakan secara percuma oleh rakyat negeri itu.

"Pertamanya saya buat khidmat van jenazah percuma. Kemudian saya juga ada buat khidmat pengurusan jenazah percuma. Selain itu, saya juga ada buat khidmat ambulans untuk ambil pesakit secara percuma dari rumah.

"Selain persatuan ini, saya juga ada buat bisnes penghantaran kereta dari Sabah Sarawak ke Semenanjung," ujar Masrul lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain