suria

‘Simpan’ sejak lahir, mak ayah sayu korbankan ‘rambut cantik’ anak nak masuk sekolah... tiada lagi alasan tangguh potong

Darris memotong rambutnya kerana bakal memulakan persekolahan pada Ahad.

SEORANG kanak-kanak meraih perhatian netizen selepas dia memotong rambutnya yang disimpan panjang sebelum melangkah ke alam persekolahan.

Menurut Ilah Abd Rahman, 40, anaknya Muhammad Darris, 7, dibawa ke sebuah kedai gunting rambut pada Khamis memandangkan dia akan mula bersekolah pada Ahad.

"Rambut Darris tidak pernah dipotong sejak kecil. Dulu masa masuk tadika, pernah trim sikit. Tapi tak pernah potong sampai macam ni. Dia tadika swasta, boleh simpan rambut panjang.

"Kami menetap di Kedah, jadi sesi persekolahan bermula pada Ahad. Berbeza dengan kebanyakan negeri lain yang akan memulakan sesi persekolahan pada Isnin.

"Persiapan lain semua saya dah selesaikan. Gunting rambut ni merupakan persiapan terakhir kami untuk Darris," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurut Ilah, Darris teruja untuk memotong rambut pendek, malah si bongsu itu sudah lama memendam hasrat untuk menukar imej seperti dua abangnya.

Sayu masa potong. Kalau ikutkan tak mahu potong, tapi sekolah ada undang-undang.

ILAH ABD RAHMAN

"Dia seronok dapat potong rambut. Sebelum ini Darris selalu ikut dua abangnya pergi gunting rambut. Dia kata teringin nak buat rambut macam abang.

"Tapi saya kata nanti-nantilah. Tunggu masuk sekolah baru potong. Dia memang tak sabar-sabar, dia menanti hari untuk dibawa ke barber untuk gunting rambut.

"Selepas potong, dia asyik bawa sikat rambut je. Keluar pun bawa sikat. Sebelum ini saya tak bagi dia sikat, takut habis curl tu," ujar Ilah berseloroh.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam nak berperang! Ibu guna sellotape untuk gunting rambut anak ketika sedang tidur- “Mungkin dia belum biasa dengan keadaan begitu”

ARTIKEL BERKAITAN: Potong rambut murid sampai tobek, ibu minta guru disiplin kembalikan semangat dan maruah anaknya sebagai pengawas dihormati

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia dan suaminya Mohd Faizul Abu Bakar, 41, berasa sayu melihat transformasi imej anak mereka setelah sekian lama Darris berambut panjang.

Jelas Ilah lagi, dia dan suami tidak pernah memotong pendek rambut Darris kerana mereka berdua masih mengharapkan kehadiran cahaya mata perempuan dalam keluarga.

"Sayu masa potong. Kalau ikutkan tak mahu potong, tapi sekolah ada undang-undang. Kami simpan rambut Darris sebab teringin anak perempuan. Anak saya tiga orang semuanya lelaki.

darish3

Darris merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

"Saya jaga biasa-biasa je, tapi daddy Darris yang teliti bab jaga rambut anak, daddy memang sayangkan rambut Darris. Selain syampu dan perapi, kami juga letakkan krim pelembut pada rambut Darris," cerita Ila.

Dalam pada itu, video ketika Darris memotong rambut di sebuah barber di Bukit Mertajam, Pulau Pinang turut meraih perhatian netizen.

Selain bertanya tentang petua penjagaan rambut kanak-kanak, ramai netizen turut memuji transformasi imej Darris dan mendoakan agar dia menjadi insan yang hebat suatu hari nanti.

darrish4

Foto Darris bersama sekeluarga.

"Handsome dik. Dah macam Gambit Saifullah dik.

"Ha tu dia handsome boy. Moga berjaya dunia akhirat dik.

"Ramai la peminat dekat sekolah nanti," tulis beberapa netizen.

darris3

Imej baharu si cilik ini raih pujian netizen.

Menurut Ila, dia terkejut apabila video berkenaan tular di media sosial, namun berterima kasih atas segala komen positif daripada netizen.

"Saya suka kongsi video di TikTok, nak simpan sebagai kenangan. Tak sangka pula viral. Selain itu, ramai juga yang tanya petua penjagaan rambut Darris.

"Biasanya kami pakai syampu dewasa saja. Selain itu, dia juga pakai perapi setiap kali syampu rambut," cerita Ila lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain