suria

Suasana suram wad hospital bertukar meriah, macam rumah terbuka... Suami ‘buat hal’ hidang lauk kenduri konsep buffet!

Suami Nurul datang ke hospital dengan membawa makanan setiap hari.

KISAH seorang suami yang rajin membawa makanan dari rumah untuk isteri di hospital agar dia boleh menikmati nasi berlauk hidangan hospital sekali lagi mencuri tumpuan warga maya.

Masih ingat laporan mStar pada 13 Mac lalu tentang seorang suami yang sanggup memasak lauk pauk untuk isteri tersayang di wad untuk menukar makanan itu dengan hidangan hospital?

Nampaknya kali ini wad yang menempatkan si isteri sudah seperti sebuah majlis perkahwinan dek kerana penangan si suami.

Menurut Raja Nurul Akmal Raja Ahmad, 34, suaminya cuba menunaikan permintaan pesakit lain yang menyatakan hasrat untuk menjamah lauk-lauk kenduri.

“Nak dijadikan cerita, pesakit-pesakit lain dalam wad ni ada minta suami bawakan lauk kenduri untuk mereka. Teringin kata mereka sebab dah lama tak pergi kenduri. Maka terjadilah open wad house tanpa sengaja.

“Menu suami bawa adalah set lauk kenduri macam nasi minyak, ayam masak merah, acar rampai, dalca dan daging rendang tok.

“Suami memang rajin tolong orang, dia tak pernah merungut sebab memang suka buat benda-benda macam ni. Pesakit lain pun senang setiap kali dia datang,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua minggu isteri masuk wad, suami datang bawa makanan sedap-sedap... Rupanya ada agenda! “Dia nak balun nasi hospital”

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu kemas, wangi... suami tertipu, dah kahwin baru tahu isteri cantik pengotor teruk - “Pad berdarah dia, aku ajar cuci bersih”

Untuk rekod Nurul dimasukkan ke sebuah hospital yang enggan dinyatakan lokasi sejak 25 Februari lalu akibat serangan jantung.

Bercerita lanjut tentang aktiviti makan-makan di wad berkenaan, Nurul berkata ia menjadi semakin meriah apabila secara kebetulan para pelawat yang datang menziarahinya pada hari berkenaan turut membawa buah tangan berupa makanan.

Memandangkan terlalu banyak, dia akhirnya berkongsi rezeki dengan rakan-rakan pesakit, pelawat lain serta petugas kesihatan di wad tersebut.

Suami Nurul melawat Nurul setiap hari di hospital.

“Secara kebetulan pula hari kejadian tu saya dikunjungi ramai pelawat. Ada yang buat kejutan untuk datang sejak tahu saya sakit.

“Saudara mara, sahabat handai, keluarga semua datang. Paling nak tergelak sekali, semua yang datang bawa makanan sebagai buah tangan. Tak kan saya nak menolak pula kan. Jadi saya susunlah atas meja tu,” ujarnya.

Jelasnya yang sudah berumah tangga hampir tujuh tahun, perkongsian makanan adalah salah satu cara mereka mengubat kesunyian di hospital.

Saya bersyukur ada suami macam dia... inilah kurniaan yang Allah beri pada saya

RAJA NURUL

Dalam pada itu Nurul turut berbangga kerana dikurniakan seorang suami yang ringan tulang dan suka membantu orang lain.

“Ada satu malam tu, uncle katil sebelah mengadu sakit sebab angin dalam perut. Malam tu dia batuk sampai tak boleh tidur. Lepas kena urut dengan suami terus boleh tidur lena.

Suami Nurul turut membantu pesakit lain yang terkena penyakit angin dalam perut.

“Saya bersyukur ada suami macam dia. Bukan niat saya untuk memuji suami sendiri, tetapi inilah kurniaan yang Allah beri pada saya.

“Suami saya tetap setia menyediakan hidangan setiap hari untuk makan dengan isteri tersayang sejak saya masuk hospital. Sepanjang saya tak ada dekat rumah, hanya ada kucing kami saja teman dia,” kata Nurul.

Dalam pada itu, Nurul memberitahu, dia kini dalam pemantauan hospital akibat penyakit yang dihadapinya dan sedang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan pintasan jantung.

Suami Nurul memasak setiap hari untuk dibawa makan bersamanya di hospital.

Jelasnya lagi, dia turut disarankan untuk melakukan pembedahan di hospital swasta, namun memerlukan kos yang dianggarkan antara RM30,000 hingga RM40,000.

Sehubungan itu, dia mengharapkan sumbangan agar dapat menyegerakan pembedahannya sambil meluahkan keterujaannya untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain