suria

Cukup sekadar ada SPM, remaja perempuan kahwin usia 18 tahun mahu setia di sisi suami... Rela jadi suri rumah sepenuh masa

Zetty dan suaminya Hafiz sudah mengenali antara satu sama lain sejak 2019.

PERKONGSIAN mStar tentang kisah seorang remaja perempuan yang selamat mendirikan rumah tangga sehari selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 15 Mac lalu cukup menarik perhatian ramai.

Rata-rata ingin mengetahui secara terperinci mengenai perjalanan kisah cinta remaja berusia 18 tahun itu hingga bertemu jodoh pada usia muda.

Enggan menghampakan pembaca, mStar akhirnya berjaya menjejaki remaja bernama Nurul Izzati Abdul Aziz yang berasal dari Kelantan itu untuk berkongsi lanjut tentang hari bahagianya.

WhatsApp Image 2023-03-20 at 7.13.14 PM (1)

Pasangan ini bernikah pada 16 Mac lalu.

Cerita Nurul Izzati yang mesra disapa Zetty, pernikahannya bersama Mohd Hafiz Hussin, 22, mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak.

Malah pasangan itu terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada 16 September tahun lalu sebelum selamat disatukan sebagai suami isteri pada 16 Mac baru-baru ini di Kampung Semaloi, Endau, Johor.

"Sejak awal saya dan suami merancang untuk berkahwin sebaik sahaja saya tamatkan SPM dan sebelum Hari Raya Aidilfitri. Kami pun sudah bertunang, jadi tak mahu ikatan tu terlalu lama.

ARTIKEL BERKAITAN: Semalam pakai uniform sekolah, hari ini sarung baju pengantin! Remaja baharu habis SPM kini isteri orang

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak ada A yang penting dapat laki” - Ibu-anak sependapat terus kahwin lepas SPM, ada ijazah pun masuk dapur juga

"Sebenarnya kami pilih tarikh nikah dulu barulah tarikh SPM diumumkan. Nasib baik 'ngam' tarikhnya dengan perancangan kami sebelum ni," ujar Zetty ketika dihubungi mStar.

Pada Isnin mStar menyiarkan berita mengenai pernikahan Zetty selepas foto-foto majlis persandingannya tular di media sosial.

Paling menarik tentunya foto ketika Zetty masih mengenakan uniform sekolah turut diselitkan bersama koleksi gambar perkahwinannya.

Zetty dan suaminya Hafiz segak mengenakan persalinan songket dan moden rona biru untuk majlis persandingan di kedua-dua belah pihak.

WhatsApp Image 2023-03-20 at 7.13.14 PM

Zetty dan Hafiz sudah mengenali antara satu sama lain sejak 2019.

Bercerita lanjut tentang perkenalannya dengan Hafiz, Zetty berkata mereka sudah mengenali antara satu sama lain sejak 2019 menerusi Instagram.

Hubungan sebagai kenalan media sosial akhirnya membawa mereka ke fasa yang lebih serius apabila kedua-duanya memutuskan untuk mengenali lebih rapat antara satu sama lain melalui hubungan cinta.

"Dalam masa enam bulan kami bercinta tu, hubungan menjadi semakin rapat dan kami memilih untuk bertunang.

Berkahwin pada usia muda adalah wajar hanya bagi mereka yang sudah bersedia sebab tanggungjawab sebagai isteri tidaklah mudah.

NURUL IZZATI ABDUL AZIZ

"Sewaktu beritahu keluarga yang saya dan Hafiz nak kahwin, keluarga pun bersetuju saja. Mereka tak terkejut pun sebab sewaktu bercinta, kami selalu bawa jumpa keluarga dan jadi semakin rapat sejak tu," imbas Zetty.

Tatkala diajukan tentang perancangan masa depan, Zetty berkata dia memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi malah enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Jelas anak ketiga daripada lima adik-beradik itu dia memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dengan memberi fokus menjaga keluarga dan suami yang bekerja sebagai mekanik enjin bot.

WhatsApp Image 2023-03-20 at 7.13.12 PM

Zetty memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

"Memang terlalu awal untuk saya katakan ini tapi Alhamdulillah sejak berumah tangga kehidupan saya okey saja.

"Selepas saya tamat belajar, saya tidak ada perancangan lain untuk sambung belajar atau bekerja sebab saya dibawah tanggungan suami sepenuhnya sekarang.

"Buat masa sekarang saya akan fokuskan untuk menjaga suami dan rumah tangga kami. Lagipun saya yang pilih jalan hidup seperti ini.

"Nasihat saya, berkahwin pada usia muda adalah wajar hanya bagi mereka yang sudah bersedia saja sebab tanggungjawab sebagai isteri tidaklah mudah," ujar Zetty lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain