suria

Anak nak bertunang, bapa menjiwai watak wedding planner... rehearsal santai jadi serius - “Abah kata saya jalan macam pontianak”

Seorang bapa mengajar cara anaknya berjalan dengan betul sempena majlis pertunangan.

MAJLIS pertunangan atau perkahwinan merupakan detik bahagia buat pasangan bercinta yang mana ia biasanya hanya berlaku sekali sahaja dalam hidup.

Maka tidak hairanlah jika ibu bapa mahukan yang terbaik untuk majlis tersebut sehingga sanggup mengeluarkan perbelanjaan dan mencurahkan tenaga demi meraikan anak tersayang.

Begitulah yang cuba dilakukan seorang bapa yang mana rakaman mencuit hati menunjukkan gelagatnya mengajar anak perempuan berjalan dengan sopan menjadi tular.

Ketika dihubungi mStar, Fifi Izzati, 27, menceritakan mengenai kesibukan bapanya pada malam sebelum majlis pertunangan yang berlangsung pada 18 Mac baru-baru ini.

“Malam tu saya tengah panik dan nervous walaupun majlis bertunang je. Jadi abah ajak practice rehearsal bersahaja untuk kelancaran majlis nanti,” katanya.

Fifi berkata, bapanya nampak 'geram' dan beremosi apabila melihat dia sukar untuk berjalan dengan lemah lembut ke arah pelamin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin sangkut banjir! Bapa saudara ambil tugas arwah ayah, dukung wanita redah air macam anak sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Misi berjaya, mak ayah akhirnya naik pelamin! Majlis kecil bertukar kenduri kahwin, pengantin tergamam ratusan mata memandang saat masuk dewan

Digambarkan sebagai seorang lelaki yang tegas, Fifi terharu apabila bapanya sanggup mengajar dia berjalan sambil menunjukkan 'demo' kepadanya.

“Nak dijadikan cerita, abah pula seorang pegawai polis yang amat mementingkan protokol dan disiplin. Jadi kami adik beradik memang dah biasa dari kecil dengan cara abah yang tegas tapi penyayang dan sangat mengambil berat tentang anak-anak.

“Jadi bila tiba majlis anak sendiri, walaupun hanya majlis tunang, dia nak semuanya berjalan lancar sebolehnya. Jadi itulah apa yang berlaku malam tu.

Fifi (tengah) bersama ibu dan bapanya.

“Kami nak practice santai-santai saja tapi abah yang menjiwai watak, melihat pula saya yang jalan laju ‘bersepah’ sebab nak cepat habis, tiba-tiba rehearsal jadi serius. Abah kata saya berjalan serupa pontianak,” ujarnya lagi.

Bukan setakat menyuruh anaknya melakukan berulang kali apa yang diajar, bapanya yang menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang sangat serius turut menyarung selendang semata-mata untuk memberi contoh kepada anak tersayang.

Bercerita mengenai bapanya, Fifi berkata, dalam menjalankan tugas sebagai pegawai polis, bapanya memang sudah terbiasa biasa mengendalikan dan mengatur pelbagai jenis majlis.

Selagi tak kena di mata dia selagi itulah kami ulang, sampai saya sendiri ‘emosi’ sama-sama dengan dia malam tu.

FIFI IZZATI

Malah, menurut Fifi, bapanya juga mempunyai jiwa seorang perancang majlis (event planner) sehingga dia sebelum ini ada menguruskan majlis perkahwinan anak-anak anggota polis lain.

“Jadi beberapa kali kami berlatih jalan dengan tempo yang abah tetapkan. Selagi tak kena di mata dia selagi itulah kami ulang, sampai saya sendiri ‘emosi’ sama-sama dengan dia malam tu.

“Tapi disebabkan perwatakan abah yang juga kelakar, kami pun bertekak dalam ketawa malam tu. Abah siap ambil veil saya untuk tunjuk contoh dan berpesan jangan sampai veil jadi punca saya meracau tak selesa di atas pelamin sebab asyik nak betulkan,” ujarnya.

Berkat tunjuk ajar semasa sesi rehearsal tersebut, Fifi mengakui hasilnya berbaloi kerana dia dapat melakukannya dengan baik ketika majlis berlangsung.

Fifi selamat bertunang pada 18 Mac lalu.

Menurut Fifi yang merupakan seorang peguam hartanah, bapanya amat tegas dan mementingkan disiplin tetapi kasih sayang serta tanggungjawab terhadap dia dan dua lagi adiknya memang tiada tandingan.

“Selepas selesai jalan turun tangga pada hari pertunangan, abah hanya tersenyum sebak melihat saya disarung cincin oleh bakal ibu mentua. Abah sentiasa bangga dengan apa juga pencapaian anak-anak dia.

“Sebelum ni, abah selalu tegur cara saya jalan atau buat kerja sebab selalu kelam kabut dan laju, hentak barang. Seandainya pergerakan saya ke pelamin pada hari majlis tak mencapai standard abah, saya percaya dia tetap bangga dengan saya.

Fifi bersama ahli keluarganya sekitar majlis.

“Saya rasa sangat terharu dan bersyukur sebab abah tak pernah gagal dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang bapa. Tak pernah sekali pun abah menidakkan kemahuan saya, selagi perkara yang dimahukan itu munasabah,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyifatkan tindakan bapa Fifi sebagai satu perbuatan yang comel dan supportive.

Mana tidaknya, jarang sekali kita melihat orang lelaki ambil bahagian dalam persiapan majlis anak masing-masing sebelum ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain