suria

Berkat beri makan anjing liar, pemuda ini mula hidup senang ubah nasib keluarga... Mampu hadiahkan Toyota Yaris untuk ibu

Faiz membalas jasa ibunya dengan memberikan sebuah kereta Toyota Yaris.

SETIAP insan yang bergelar anak pasti mempunyai impian untuk membalas semula jasa baik dan pengorbanan ibu dan bapa mereka.

Begitu juga dengan Muhammad Faiz Basirun, apabila hasratnya untuk menghadiahkan sebuah kereta Toyota Yaris kepada ibunya, Syarrina Mohd Hamzah tercapai sehari sebelum Ramadan iaitu 22 Mac lalu.

Bercerita kepada mStar, pemuda berusia 21 tahun ini berkata kisah keluarganya sendiri menjadi pendorong untuk dia berusaha keras sehingga mampu memberikan kereta jenama import tersebut.

“Sejak daripada sekolah lagi saya dah berazam nak hadiahkan mak sebuah kereta. Alhamdulillah sekarang apabila dah mampu sikit, saya terus belikan kereta ni.

“Proses nak dapatkan kereta pun hanya makan masa sebulan saja selepas saya buat keputusan.

“Dulu mak dan abah membesarkan kami sekeluarga hanya dengan naik motosikal saja. Kami pergi ke mana-mana pun naik motor itu saja,” ujarnya yang mesra dikenali sebagai Faiz.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda anggap anjing jalanan macam kawan, ada duit lebih belanja Pizza Hut, KFC... hari-hari biasa diberi makan ‘dry food’

ARTIKEL BERKAITAN: Selekeh, tak berduit... tapi disayangi kucing, anjing jalanan, “Kalau hujan sanggup tunggu walau basah kuyup”

Imbas Faiz yang berasal dari Langkawi, Kedah, dia tidak dilahirkan dalam sebuah keluarga yang hidup serba mewah.

Namun berkata kerja keras ibu bapa Faiz, mereka berjaya mengumpul duit bagi membeli sebuah kereta Perodua Kancil untuk keselesaan keluarga.

“Mak dan abah mampu beli kereta Kancil lepas kumpul duit. Kami sekeluarga gembira sangat sebab sudah ada kereta masa tu. Tak payah ‘mandi’ hujan lagi dah.

Faiz memberi hadiah sebuah Toyota Yaris kepada ibunya.

“Kereta itulah mak saya gunakan untuk urusan hantar dan ambil kami adik beradik. Sampai sekarang berbakti hantar adik ke sekolah dan kakak ke tempat kerja.

“Sekarang apabila saya ada rezeki lebih sikit, terus saya belikan kereta baharu walaupun tak pernah dipinta. Saya bagi kereta ni pun sebagai tanda terima kasih sebab dah besarkan dan selalu doakan saya sehingga berjaya macam sekarang,” katanya yang merupakan seorang pempengaruh di TikTok.

Faiz yang memiliki tiga adik beradik ini mula menempah nama di platform media sosial apabila video-videonya memberi makan sekumpulan anjing terbiar menjadi tular.

Faiz membeli sebuah kereta jenama Mercedes sekitar dua bulan lalu.

Sejak daripada itu namanya mula dikenali ramai sehingga berjaya menjana pendapatan menerusi reviu dan pengiklanan pelbagai jenis produk.

Hingga kini Faiz memiliki lebih 712,700 pengikut di TikTok.

Namun, hari tidak sentiasa cerah apabila dia turut pernah berdepan pengalaman pahit ketika bekerjasama dengan seorang pengasas produk lokal yang enggan didedahkan identitinya.

“Apabila saya mula dikenali, ramai yang ambil kesempatan. Yang tak pernah berkawan sebelum ni pun mula mengaku jadi kawan.

Dulu mak dan abah mampu beli kereta Kancil lepas kumpul duit.. kami sekeluarga gembira sangat.

MUHAMMAD FAIZ

“Pengalaman paling perit adalah saya pernah kena tipu dengan pengasas produk kosmetik terkenal. Saya dah naikkan nama branding dia tapi dia tak bagi sebarang bayaran pun.

“Sebelum ni produk dia tak dikenali. Tapi apabila semakin maju, banyak masalah terjadi. Bayaran jadi tersangkut dan kontrak saya ditamatkan secara tiba-tiba,” ujarnya.

Namun, perkara itu tidak mematahkan semangatnya apabila pendapatan bulanannya kini cukup untuk menyara keluarga dengan menjadi duta beberapa produk berasaskan makanan.

Faiz kerap memberi makan pada anjing liar.

Berkongsi mengenai kereta mewah jenama Mercedes miliknya sendiri, dia hanya mengambil masa dua bulan untuk membelinya dengan harga sekitar RM200,000.

“Nak dibandingkan hidup zaman dahulu, memang jauh berbeza dengan sekarang. Dulu saya bawa motosikal milik abah tu saja pergi ke mana-mana pun.

“Bagi anjing-anjing liar makan dan COD (cash on delivery) makanan pun saya tunggang motosikal tu. Nak hidupkan motor tu pun kena 'pulas' pakai pisau dulu sebagai kunci.

“Tapi Alhamdulillah berkat usaha dan doa daripada orang sekeliling termasuklah anjing-anjing tu, sekarang saya dah boleh berjaya macam sekarang,” ujar Faiz

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain