suria

“Rawang ni jauh kalau nak jalan kaki” - Kecoh budak ‘lari’ dari asrama, berjalan sendirian tepi lebuh raya waktu malam... abang tegaskan bukan sebab buli

Seorang kanak-kanak dipercayai 'lari' dari sebuah asrama.

SIAPA yang tidak terkejut apabila terjumpa seorang kanak-kanak lelaki berjalan bersendirian di tepi lebuh raya pada lewat malam.

Begitulah yang terjadi kepada seorang penunggang motosikal yang menemui seorang budak lelaki berusia 12 tahun, dipercayai 'lari' dari sebuah asrama.

Menerusi video yang tular, pemuda itu mendakwa dia menemui kanak-kanak berkenaan berjalan seorang diri di tepi lebuh raya dekat Gombak, Selangor.

"Bahayanya ya Allah, lari asrama pukul 10 malam jalan kaki kat lebuhraya Sri Gombak. Budak umur 12 tahun.

"Harap lepas ni cikgu lebih berjaga-jaga, takut jadi lagi kes macam ni," tulisnya menerusi satu perkongsian video.

Mendekati kanak-kanak itu yang berwajah masam, dia memaklumkan bahawa budak terbabit mendakwa dirinya tidak suka tinggal di asrama.

ma 3

Budak berkenaan ditemui di tepi lebuh raya.

Ditanya sama ada dia dibuli di asrama sehingga dia bertindak melarikan diri, kanak-kanak itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang respons.

Namun kanak-kanak berkenaan menjawab ketika ditanya mengenai lokasi rumahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Alamak, dah habis hati-hati tapi kantoi juga! Ibu buka cerita kenapa anak lari panjat pagar sekolah - "Macam-macam hal la anak dara aku"

ARTIKEL BERKAITAN: Plot 'twist'... Selepas 3 hari pencarian, terbongkar kisah sebenar remaja lorong 'homeschooling' - "Kes tutup!"

"Rawang ni jauh kalau nak jalan kaki. Kalau kena langgar tadi macam mana? Nasib baik abang jumpa," menurut pemuda berkenaan.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok sejak Ahad malam, pemuda berkenaan membuat keputusan untuk membawa kanak-kanak berkenaan ke balai polis untuk tindakan lanjut.

"Akhir sekali aku bawa pergi balai sebab aku tak tahu rumah (kanak-kanak) tu kat mana. Kita takut lain jadi, bawa pergi balai," ujarnya lagi menerusi video yang menunjukkan budak itu dibawa ke Balai Polis Prima Sri Gombak di Batu Caves, Selangor.

Adik saya itu tidak kena buli. Dia baru balik dari cuti puasa, seminggu di rumah.

ABANG

Video yang tular itu bagaimanapun telah dipadamkan pada pagi Isnin, dipercayai atas permintaan ahli keluarga kanak-kanak tersebut.

Menerusi video yang baru dimuat naik pemuda tersebut, dia menegaskan bahawa kanak-kanak itu tidak dibuli atau dikenakan sebarang tindakan di asrama yang menyebabkannya melarikan diri.

Perbualan antara pemuda tersebut dengan individu yang dipercayai abang kepada kanak-kanak itu.

Dalam video sama, dia turut berkongsi tangkap layar mesej yang dipercayai daripada abang kepada kanak-kanak itu.

"Adik saya itu tidak kena buli. Dia baru balik dari cuti puasa, seminggu di rumah.

"Jadi, bila tiba-tiba dia balik asrama, dia jadi lain," menurut mesej itu bagi menjelaskan salah faham susulan video yang tular.

Abang kanak-kanak itu turut memaklumkan adiknya dalam keadaan baik.

"Untuk (nak kata) buli ke apa, memang tiada. Terima kasih juga selamatkan adik saya," katanya lagi.

Sementara itu, jurucakap Balai Polis Prima Sri Gombak ketika dihubungi mStar pada pagi Isnin mengesahkan kanak-kanak lelaki itu telah dibawa ke balai polis berkenaan, pada Ahad malam.

Menurut jurucakap itu lagi, kanak-kanak berkenaan dalam keadaan baik dan telah kembali ke pangkuan keluarganya dengan selamat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain