"SAYA murung dan fikir adakah saya akan mati?" Demikian kata seorang gadis ketika berkongsi detik ngeri yang dialaminya apabila dia tertelan sebatang jarum peniti ketika membetulkan tudung. Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada 17 Mac lalu, Nur Dhaniyah Aleeya Ramzi berkata ketika itu dia mengambil kesempatan waktu rehat (break) untuk membetulkan tudungnya. "Sambil melilit tudung, saya gigit sebatang jarum peniti. Memang tabiat itu menjadi kebiasaan. Tapi mungkin kali ini benda nak jadi. "Nak dijadikan cerita, saya tak sedar tengah gigit jarum. Tiba-tiba masa melilit, saya tertelan jarum tu dan barulah teringat yang saya ada gigit jarum. "Memang panik masa tu... terus menjerit 'tolong'. Kawan-kawan sekerja datang dan tanya kenapa. Saya cerita apa yang berlaku dan mereka terus bawa ke sebuah hospital terdekat," cerita gadis berusia 22 tahun ini kepada mStar. Setiap hari Dhaniyah perlu menjalani prosedur x-ray untuk melihat kedudukan jarum dalam tubuhnya. Senang disapa sebagai Dhaniyah, gadis ini berkata dia terus dikejarkan ke jabatan kecemasan. "Namun saya kemudian dipindahkan ke hospital kerajaan. Malam hari yang sama juga, doktor buat prosedur endoscopy. Waktu itu prosedur tersebut dilakukan dalam keadaan saya sedar. Memang sakit sangat dan doktor kata esok buat semula dalam keadaan bius penuh. "Pukul 9 pagi keesokannnya, sekali lagi doktor buat prosedur endoscopy tapi saya dibius sepenuhnya. Bagaimanapun prosedur ini tak berjaya sebab jarum dah jatuh dekat usus besar. ARTIKEL BERKAITAN: Suka letak celah bibir, gadis serik 2 kali tertelan jarum masa pakai tudung! Rupanya di hospital dah jadi kes biasa ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 3 klinik reject, wanita dirujuk ke hospital keluarkan bihun dalam jari... lucu tapi azab! "Doktor sebolehnya nak elak buat operation. Sebab kalau buat operation, usus saya akan dibelah dan terdapat dua kemungkinan risiko yang akan saya hadapi nanti. "Jadi, setiap hari doktor bagi ubat buang air besar. Setiap hari selepas buang air besar, doktor akan buat x-ray untuk melihat sama ada jarum tersebut sudah keluar atau masih ada," cerita Dhaniyah yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik pergigian. Bagaimanapun ujar gadis ini, jarum tersebut sering berubah kedudukan sekali gus menyukarkan ia keluar ketika proses membuang air besar. Rakan-rakan yang menceriakan Dhaniyah ketika dia ditahan di wad selama lapan hari. Cerita Dhaniyah, sepanjang tempoh itu, dia terpaksa ditahan di wad dan ia merupakan waktu yang sangat sukar buat dirinya. "Setiap kali x-ray, jarum masih ada... memang saya murung dan jadi overthinking. Saya terfikir mati dan sebagainya. Sebab kadang kala saya rasa ia mencucuk-cucuk sampai saya pernah tak lena tidur. "Akhirnya, pada 25 Mac, selepas buang air besar dan buat x-ray, alangkah bersyukurnya saya apabila jarum tersebut dah tak ada. Bermakna ia keluar sewaktu proses buang air besar. "Tak tergambar rasanya betapa saya bersyukur. Akhirnya penantian berakhir dengan berita gembira," ujar gadis ini lagi. Dhaniyah berkata dia dibenarkan keluar hospital pada 26 Mac lalu dan kesihatannya semakin pulih. Saya akui agak trauma, tengok jarum pun rasa takut. Apa yang berlaku membuatkan saya lebih berhati-hati. NUR DHANIYAH ALEEYA RAMZI "Sebelum ini saya tak boleh telan makanan dan minuman akibat tekak saya sakit sangat kesan daripada endoscopy... namun kini beransur sembuh," ujarnya. Memuat naik video di laman TikTok, Dhaniyah berkata dia mahu berkongsi pengalaman sendiri untuk menyebarkan kesedaran dan dijadikan iktibar kepada orang lain. "Saya akui agak trauma, tengok jarum pun rasa takut. Apa yang berlaku membuatkan saya lebih berhati-hati. Ada kalangan warga maya turut berkongsi kisah hampir sama seperti Dhaniyah. "Nasihat saya, tolonglah jangan sesekali gigit jarum atau biar di merata tempat. Kes saya bukan kes pertama atau kedua tapi dah lebih 10 kes, menurut doktor di hospital tempat saya dirawat. "Bukan setakat perempuan, lelaki pun ada tertelan jarum sebab korek sisa makanan dekat gigi guna jarum. Jadi janganlah ulangi kecuaian sama seperti saya," akhirinya. Sehingga kini, video yang dikongsikan Dhaniyah meraih lebih 518,000 jumlah tontonan di TikTok. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube