KEHADIRAN bulan Ramadan sememangnya dimanfaatkan oleh kebanyakan orang untuk mencari rezeki bagi menambah pendapatan. Ramai yang mengambil peluang untuk berniaga aneka juadah di bazar Ramadan, namun ada juga yang menjual barangan lain secara dalam talian asalkan dapat menjana pendapatan. Begitu juga dengan seorang wanita ini yang kisahnya dikongsikan oleh seorang guru, Mohd Fadli Salleh, di laman Facebook. Dalam hantaran yang dikongsikannya, Mohd Fadli berkata wanita yang dikenali sebagai Kak Azizah meminta bantuannya untuk mempromosikan cendawan atau kulat sisir yang dijualnya bagi mencari pendapatan tambahan untuk menyara adiknya. "Assalamualaikum. Cikgu, saya nak minta sedikit pertolongan dari cikgu boleh? Boleh saya nak minta tolong dari cikgu untuk promote cendawan sisir kering yang saya jual? Satu pek RM6. Nota yang dikirim wanita berkenan bersama cendawan sisir. "Hasil jualan untuk menampung apa yang tak cukup cikgu. Saya ambil alih pantau adik lelaki yang ada masalah mental lepas kematian arwah ayah dan arwah mak. Adik lelaki dapat bantuan Baitulmal RM300 sebulan. "Cikgu, RM1 dari setiap pek cendawan sisir kering yang terjual, cikgu ambil. Kalau ada yang nak beli lagi, WhatsApp saya," demikian nota yang ditulis dengan pensil oleh wanita itu kepada Mohd Fadli yang dikirim bersama cendawan sisir jualannya. ARTIKEL BERKAITAN: Sengaja buat spot check, guru terkejut lihat rumah 3 beranak asnaf yang pernah dibantunya! - “Dulu tinggal di stor kecil sempit bertiga” ARTIKEL BERKAITAN: Gadis bebas neraka dunia kirim mesej meruntun hati buat Cikgu Fadli, tak lupa detik bertemu heronya! - “Anak ni aku selamatkan, elak jadi mangsa nafsu ayah tirinya” Dalam hantarannya juga, Mohd Fadli turut menyertakan link WhatsApp bagi memudahkan pengikutnya membeli cendawan sisir yang dijual oleh wanita tersebut. Malah tambah guru berkenaan, dia mahu membantu wanita tersebut seikhlas hati walaupun ditawarkan 'komisyen' kerana mempromosikan barangan yang dijualnya. "Saya takkan ambil RM1 bagi setiap pek yang terjual tu ya. Semua dikembalikan pada Kak Azizah. "Tak jadi kaya saya dapat RM1 pek walau terjual 1000 pek sekali pun. Cukuplah saya bantu ikhlas sahaja," kata guru itu lagi. Saya takkan ambil RM1 bagi setiap pek yang terjual tu ya. Semua dikembalikan pada Kak Azizah. MOHD FADLI SALLEH Perkongsian tersebut mengundang perhatian warga maya yang rata-ratanya meluahkan hasrat mahu membantu wanita berkenaan dengan membeli cendawan sisir yang dijualnya. Malah mereka juga memuji wanita berkenaan yang berusaha mencari rezeki demi meraih pendapatan halal untuk keluarga. "Walaupun susah tapi masih mampu memberi. Semoga murah rezeki. "Sedapnya cendawan sisir masak lemak. Semoga maju jaya kak. "Jom kita WhatsApp akak ni. Sedap cendawan sisir goreng kunyit atau masak lemak," demikian antara komen netizen. Mohd Fadli (duduk) aktif terlibat dengan aktiviti kebajikan masyarakat. Sehingga kini posting Mohd Fadli meraih 102 shares di Facebook. Untuk rekod, Mohd Fadli yang juga seorang guru di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur sememangnya dikenali ramai khususnya warga Facebook kerana aktif menjalankan aktiviti kebajikan masyarakat. Guru berkenaan pada mulanya berkecimpung dalam bidang kebajikan secara persendirian namun dek sambutan serta sokongan ramai, beliau mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) yang secara rasminya ditubuhkan pada April 2019. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube