suria

Gerai terbakar, peniaga lari menangis belakang bazar sebab kena gelak! Sendiri padam api guna air longkang, tak ada siapa tolong

Lelaki ini meluahkan kesedihan menerusi video dimuat naik di TikTok.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Tular rakaman video menunjukkan luahan hati seorang lelaki yang bersedih dengan nasib malang menimpa dirinya ketika berniaga di bazar Ramadan Taman Cempaka, Melaka.

Sebagaimana yang dapat dilihat dalam video, lelaki ini mengalirkan air mata sambil menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya pada petang tersebut.

"Hari ini ada sesuatu yang telah berlaku ke atas diri aku. Ya aku tahu aku jahil. Aku tahu banyak dosa dengan Tuhan.

"Tapi di saat aku jatuh kenapa orang sekeliling ketawakan aku. Aku penat s**l. Aku tak kacau orang pun. Aku cuma cari rezeki untuk keluarga yang tak senang. Mak aku kontraktor berjaya. Aku (berniaga) pasar malam.

"Satu saja aku nak ingatkan semua orang dekat luar sana. Anda semua jangan pernah ketawakan orang saat orang sedang jatuh!" begitulah luahan Muhammad Taufik, 30, di TikTok.

Bercerita lanjut, isterinya Nur Shahila, 30, yang bersimpati dengan nasib suami menceritakan semula kisah yang berlaku terhadap lelaki itu di sebalik rakaman tular.

Ketika dihubungi mStar, dia berkata berlaku kebakaran semasa suaminya berniaga bersendirian disebabkan hos gas dapur masakan yang digunakan bocor.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri pelawa ‘janda’ suami jadi pengapit, siap duduk semeja makan beradap... Tapi netizen puji ‘ex’, hairan perempuan cantik kena tinggal

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga yong tau foo OKU nangis ketika cari rezeki, sanggup berniaga jauh dari rumah sebab nak lari daripada pesaing

"Masa api sedang marak, ada seorang peniaga lain datang untuk tolong dia dan cuba padamkan api yang hampir 'menjilat' dirinya dan orang yang tolong tu.

"Suami beranikan diri untuk tarik tong gas ke belakang gerai kami supaya api tu tak terus bakar keseluruhan gerai. Dia menggunakan kain yang ada dekat gerai kami.

"Dia basahkan guna air longkang besar dekat belakang bazar tu untuk palam bahagian terbakar. Dia tak boleh buat apa hanya mampu tunggu sehingga api terpadam sendiri," katanya yang mesra disapa Syela.

Syela dan Taufik sudah mengenali antara satu sama lain sejak 13 tahun lalu sebelum berkahwin.

Akibat kebakaran itu, terdapat beberapa barang-barang perniagaan yang rosak dan suaminya mengalami kerugian kecil.

Jelas Syela, kawan baik suaminya, Amirul datang dan membantu dengan menggantikan peralatan baharu untuk dia meneruskan jualan nasi ayam penyet dan nasi tomato.

"Nasib baik kebakaran tu tak rosakkan semua barang perniagaan kami. Hanya tanda harga, plastik bungkusan, alas meja dua helai banner besar terbakar.

"Selepas kebakaran terpadam sendiri, dalam jam 5.45 petang ada kawan baik suami datang. Dia seorang polis bantuan bahagian Melaka Tengah. Dia kasihan tengok suami petang tu jadi dia cuba tolong kami.

"Amirul cuba cari alat ganti hos dan gas baharu untuk kami walaupun dah petang. Ada sisa lebih kurang sejam saja lagi hari tu untuk kami berniaga. Hampir separuh dari jualan kami tak terjual masa tu sebab kebakaran," imbas Syela yang bersimpati dengan nasib suami.

Kebetulan pula hari kejadian tu tak ada siapa pun tolong melainkan seorang hamba Allah yang kami tak kenal pun dia siapa.

NUR SHAHILA

Dia yang sudah mengenali Taufik lebih 13 tahun mengakui sangat memahami kesedihan yang dialami suami.

Apatah lagi Syela baru sahaja mengalami keguguran anak sulung mereka sekitar empat bulan lalu.

"Taufik sangat sedih dengan apa yang jadi dekat dia pada hari tersebut. Lepas kemalangan terjadi tu suami pun buat video yang dia muat naik di TikTok.

"Kebetulan pula hari kejadian tu tak ada siapa pun tolong melainkan seorang hamba Allah yang kami tak kenal pun dia siapa. Kalau nak ikutkan lepas apa yang jadi hari tu memang sedih sangat tapi dia tetap teruskan berniaga juga.

Pasangan ini berniaga di bazar Ramadan Taman Cempaka, Melaka.

"Lepas habis berniaga baru rasa sedih tu datang bila teringat orang sekeliling yang ketawakan kami. Mereka tak ambil peduli pun tengok keadaan suami kelam kabut masa tu. Saya tak tahu kenapa mereka tergamak tengok kesusahan orang lain macam tu," jelas Syela dengan penuh rasa kecewa.

Susulan hantaran yang dibuat, Syela berharap agar tiada orang lain yang akan mengalami nasib sama seperti suaminya.

Dalam pada itu, dia turut berharap agar semangat suaminya pulih dan boleh berniaga seperti biasa dengan berlapang dada dan tidak putus asa dengan apa yang telah berlaku.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain