suria

Buat apa simpan baju, kasut lama... 6 siswa terkejut jualan ‘car boot sale’ laku keras- “Balik modal sangat, sewa tapak RM40 je”

Enam sekawan ini menyertai car boot sale sebagai satu cara untuk menjana pendapatan sampingan.

KETIKA ini boleh dikatakan ramai anak muda cenderung untuk mencari pendapatan sampingan meskipun masih bergelar pelajar.

Begitu juga dengan siswi yang hanya mahu dikenali sebagai Kistina.

Penuntut tahun akhir di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkongsi pengalamannya menyertai car boot sale bersama beberapa orang rakan untuk pertama kali dan tanpa disangka, perkongsian berkenaan mengundang perhatian warga maya.

"Sama seperti anak-anak muda lain, kami juga sering menghabiskan masa bersama dan pastinya setiap kali 'lepak', kita akan berbelanja. Jadi dari situ kami terfikir, mengapa tidak kita buat sesuatu bersama-sama tapi duit masuk.

"Timbullah idea untuk join car boot sale memandangkan masing-masing mempunyai koleksi baju atau apa sahaja yang sudah tidak lagi dipakai. Kami pun jenis yang suka pergi thrift shop dan pernah pergi car boot sale.

ARTIKEL BERKAITAN: Geng pelajar ‘otak bisnes’ ulang kejayaan zaman matrikulasi, masuk UiTM terus raih jualan RM130,000... baju dijual laku keras

ARTIKEL BERKAITAN: Siswa USIM buat macam-macam kerja cari duit poket, paling untung bisnes kaligrafi... Alang-alang badan cantik siap jadi model!

"Akhirnya idea tersebut berjaya direalisasikan. Ahad minggu lalu, itulah pertama kali kami sertai car boot sale di Kota Damansara," ujar penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) ini.

Tambahnya, dia dan rakan-rakannya sekadar suka-suka mahu mencuba sesuatu yang baharu dan dalam masa yang sama menimba pengalaman, justeru mereka tidak meletakkan sebarang sasaran keuntungan jualan.

"Mula-mula tu memang terfikir, ada ke orang nak beli barang kita? Ada ke orang nak keluar pagi-pagi?. Tapi belum cuba, belum tahu. Alhamdulillah, crowd yang datang pun boleh tahan... masa tengah set-up barang pagi-pagi pun dah ada yang singgah.

cbs 2

Antara barangan yang dijual oleh Kistina dan rakan-rakannya.

"Hari itu, barang kami pun banyak yang terjual. Kami jual pelbagai barangan seperti baju kurung, topi, beg dan kasut. Harga pula serendah RM5. Untuk barang yang limited edition dan baju daripada pereka fesyen, kami letak RM100.

"Memang balik modal sangatlah... sewa tapak baru RM40 untuk dua tapak. Memang seronok dengan sambutan orang ramai walaupun baru kali pertama join.

"Kami cadang nak join car boot sale sekurang-kurangnya sebulan sekali memandangkan kami masing-masing di tahun akhir," kata penuntut berusia 23 tahun ini.

Berkongsi lebih lanjut, Kistina berkata sebelum menyertai car boot sale, dia sendiri sudah berjinak-jinak menjual kek dan biskut untuk mencari pendapatan sampingan.

Memang balik modal sangatlah... sewa tapak baru RM40 untuk dua tapak. Memang seronok dengan sambutan orang ramai walaupun baru kali pertama join.

KISTINA

"Saya jual brownies, kek batik dan cookies secara kecil-kecilan. Bisnes tersebut bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga sekarang cuma saya biasanya ambil tempahan pada hujung minggu atau waktu lapang sekiranya tidak sibuk dengan tugasan sebagai pelajar.

"Malah, kawan-kawan saya pun masing-masing ada side income sendiri contohnya perkhidmatan cuci sneakers dan ada yang jual stoking secara online.

"Car boot sale ini adalah aktiviti kami secara bersama-sama," ujarnya lagi.

Tidak menyangka videonya menyertai car boot sale meraih melebihi 230,000 jumlah tontonan, Kistina berkata dia turut terharu apabila membaca komen-komen warga maya.

"Ramai yang bersemangat nak join juga lepas tengok video tu, dan paling banyak komen adalah pertanyaan macam mana nak daftar untuk join. Saya tak lokek untuk kongsi dan balas komen mereka.

brownies

Kistina juga menjual kek dan brownies sejak PKP.

"Dalam banyak-banyak komen, paling terharu adalah apabila ada yang salute dan puji apabila tengok anak muda berniaga. Iyalah, kadang orang ingat generasi muda ni suka berseronok saja. Tapi orang tak tahu struggle kita di belakang.

"Kepada anak muda dan pelajar, mungkin ada antara anda yang jauh di sudut hati ada rasa nak berniaga tapi segan dan malu. Nasihat terbaik saya, carilah kawan yang selesa untuk cuba perkara ini sama-sama.

"Kalau dengan kawan-kawan yang kita selesa, kita jadi lebih berkeyakinan. Jadi lepas ni jika nampak vendor buka slot murah-murah, join saja. Soal rezeki semua dekat tangan Tuhan," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain