SEBAK apabila mengenangkan kehidupan tinggal di rumah kayu yang sempit tiada bilik tidur, tanpa kemudahan elektrik dan air. Namun bagi pasangan suami isteri ini, kesusahan sejak lima tahun lalu bukan menjadi penghalang untuk mereka mengecapi kebahagiaan hidup berumah tangga. Kisah mereka menjadi perhatian apabila si isteri berkongsi video yang menghimpunkan gambar-gambar dari mula mereka berkahwin sehinggalah kehidupan sekarang. Keadaan di rumah kayu yang dihuni Nurul bersama suami dan anak. Berkongsi cerita kepada mStar, Nurul Hamizah Yasmin Alladin berkata, dia dan suami, Jefflin Mandari mendirikan rumah tangga pada 27 November 2018. Berbekalkan baki wang di tangan sebanyak RM200 selepas bernikah, mereka memulakan kehidupan di sebuah rumah pusaka bapanya di Kampung Rampayan Menggatal di Kota Kinabalu, Sabah. "Ia adalah rumah kayu lama yang ditinggalkan. Masa mula-mula tinggal selama kira-kira enam bulan pertama, rumah kami memang tak ada apa-apa. "Hanya pasang lampu LED tanpa elektrik, nak pasang lilin takut terbakar sebab rumah kayu. Nak mandi dan kegunaan air lain seperti memasak sebab ada tong gas, saya akan ambil dari rumah jiran guna baldi," katanya ketika dihubungi. Suami Nurul melakukan dua kerja demi menyara kehidupan keluarga. Lebih mesra disapa Nurul, dia yang berusia 25 tahun memberitahu, kehidupannya tidak mewah dan suaminya ketika itu melakukan dua kerja. "Suami bekerja sebagai pembantu di stesen minyak seawal 7 pagi dan petang dia sambung buat kerja di restoran makanan segera sampai tengah malam. Kekuatan saya kerana ada suami dan anak di sisi. NURUL HAMIZAH YASMIN ALLADIN ISTERI "Tidur dengan keadaan atap yang bocor dengan air masuk dalam rumah setiap kali hujan adalah perkara biasa. "Pernah ada hari hanya makan bubur sekali saja. Suami pula jenis tidak meminta atau mahu menyusahkan orang lain, tapi Alhamdulillah Tuhan kirim orang-orang sekeliling yang baik-baik sudi menghulurkan makanan," katanya. Anak Nurul menghidap asma. Menurut ibu kepada seorang cahaya mata lelaki berusia empat tahun itu, hidup susah termasuk kekurangan makanan bukanlah kerisauan paling utama dalam dirinya. ARTIKEL BERKAITAN: Suami jual motor nak berniaga air balang di bazar, baru mula bisnes dah sakit seminggu... isteri harap dapat balik modal sebelum raya ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes asam pedas tak laku, suami isteri terdesak nak jual Kancil... Jalan akhir sara 5 anak kecil - "Kami lebih risau hilang tempat tinggal" "Apa yang saya paling risau adalah apabila anak sakit, ada penyakit asma. Sebagai ibu bapa, makanan tidak cukup tak penting, tapi lebih fikirkan kos rawatan untuk anak. "Saya kini suri rumah. Kadang-kadang ambil upah bersih rumah-rumah dan kedai-kedai. Dapatlah upah antara RM30 hingga RM50, syukur," katanya sambil menambah suaminya yang juga berusia 25 tahun kini bekerja sepenuh masa di restoran makanan segera. Suami dan anak merupakan kekuatan buat Nurul menjalani kehidupan. Berbekalkan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan kerajaan untuk pengeluaran sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia dan suami menggunakan simpanan itu untuk mengubah suai rumah. "Kekuatan saya kerana ada suami dan anak di sisi. Suami seorang yang penyabar, banyak menolong dalam urusan rumah, tidak kedekut bagi duit walau gaji sikit. "Suami sanggup bersusah payah kerja pagi sampai tengah malam demi keselesaan saya dan anak. Dalam penat bekerja di luar, dia sentiasa cari masa bantu di rumah seperti mengemas dan jaga anak," ujarnya lagi. Rumah yang lebih selesa setelah diubah suai. Bagi Nurul, dia bersyukur dengan kehidupan kini meskipun tidak mewah selepas rumah diubah suai tetapi sekurang-kurangnya ia lebih selesa berbanding sebelum ini. "Sekarang ni ada banyak kes cerai sebab masalah kewangan. Benar, setiap rumah tangga tu ada ujian, sama seperti yang dilalui saya dan suami. "Banyak bersabar walaupun hidup susah. InsyaAllah, ada je rezeki Tuhan bagi nanti. Yang penting suami isteri kena reda kehidupan walau susah macam mana pun," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube