suria

Sangat positif! Hidup gelap selepas kemalangan, wanita tabah kongsi perkara best selepas buta - “Kita kurang menilai orang”

Wanita ini tabah menceritakan pengalaman menjadi seorang buta selepas terbabit kemalangan.

SAYA tak tahu ni siang ke malam ke jadi saya kena belajar sesuaikan dirilah.”

Siapa sangka, retak di bahagian tempurung kepala ketika terbabit kemalangan memberi impak besar kepada wanita ini dan dia kini buta selamanya.

Begitulah nasib wanita ini yang dikenali sebagai Mashy dan paling menyentuh emosi apabila dia tabah menceritakan tentang diri dan kehidupannya selepas ditimpa kemalangan kira-kira dua bulan lalu.

Menerusi video menyayat hati namun dalam masa sama memberikan inspirasi itu, rata-rata warga maya terkesan dengan perkongsiannya kerana dia dilihat begitu positif meneruskan hidup selepas reda dengan ketentuan takdir.

“Yang paling besar sekali berlaku selepas kemalangan adalah saya hilang deria penglihatan. Bahasa lembutnya saya tidak lagi boleh melihat, bahasa kasarnya Alhamdulillah saya telah direzekikan merasai pengalaman menjadi seorang orang kelainan upaya (OKU), buta.



Mashy rindu untuk menatap wajah suaminya. -Gambar hiasan

“Apa yang boleh saya kongsikan, menariknya menjadi seorang buta adalah saya tidak lagi takut gelap. Kalau dulu nak masuk bilik gelap saya akan hulur tangan buka lampu dulu baru berani masuk. Sekarang saya masuk dulu walaupun tak buka lampu. Itu antara perkara best jadi orang buta. Saya dah tak takut gelap.

“Menjadi seorang yang tidak mempunyai deria penglihatan ini, menjadikan deria yang lain lebih sensitif. Kalau ada yang mengumpat beberapa batu, masih boleh mendengar. Hidung masih belum ada deria bau disebabkan kecederaan dan terpaksa menjalani pembedahan implan. Pecah hari tu masa kemalangan,” katanya ceria.

Walaupun berat ujian ditempuhi, Mashy atau nama sebenarnya Masitah Mohd Affandy sentiasa berfikiran positif dengan bersangka baik terhadap Allah.

Malah, Mashy kini cuba membiasakan diri dengan menulis catatan dalam diari dalam keadaan 'gelap'.

“Bila kita tak nampak kita kurang menilai orang. Saya bertanya kepada Allah, ‘adakah kerana ujian penglihatan ini adalah untuk saya masuk syurga, kalau ya saya reda'.

ARTIKEL BERKAITAN: Dari kecil fikir tak ada lelaki nak, pensyarah buta sebelah mata tak sangka temu jodoh - “Saya elak jalan sekali, tak nak dia malu”

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa derita terkena sihir cucuk mata ikan, 14 tahun jadi orang buta! Anak perempuan buka cerita gara-gara video pimpin ke masjid tular

“Tapi saya rasa seronok apabila saya tidak merasakan pantasnya waktu berlalu. Saya tak tahu siang atau malam,” ujarnya dalam video tersebut.

Dalam pada dirinya pasrah dengan apa terjadi, Mashy turut meluahkan perkara paling sedih apabila hilang deria penglihatan iaitu dia tidak lagi dapat melihat wajah-wajah insan tersayang'

“Apa yang saya paling rindui bila saya dah tak dapat melihat lagi adalah saya paling rindu nak tengok wajah suami saya. Sebab setiap pagi sebelum ini... saya buka mata dan saya mencari-cari muka suami saya tapi sekarang tak ada peluang itu lagi untuk tengok.

“Tapi saya percaya, suatu hari nanti saya akan dapat tengok balik wajah suami saya dengan izin Allah. Kalau bukan dekat ‘sini’, dekat sana (akhirat) nanti insyaAllah.

Tapi saya percaya, suatu hari nanti saya akan dapat tengok balik wajah suami saya dengan izin Allah.

MASHY

“Saya juga rindu nak tengok muka mak, saya rindu nak tengok muka team saya, saya rindu nak menatap mata mereka. Saya juga rindu nak tengok hasil kerja saya dan kreativiti saya dalam pemasaran digital. Saya rindu nak tengok hasil kerja sejak empat tahun lepas apabila dihantar, saya orang pertama yang akan melihat dan memberi respons,” katanya.

Walaupun tidak mengalirkan air mata dan tak lokek dengan senyuman dalam video tersebut, namun jauh di sudut hatinya tak siapa yang tahu.

Bagaimanapun, menurut Mashy yang menerima dugaan sebesar ini, dia berharap agar perkongsiannya dijadikan satu inspirasi serta manfaat kepada orang ramai.

Mashy kini tidak lagi takut untuk berada dalam bilik gelap. -Gambar HIasan

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang mengikuti saya dan banyak ambil tahu fasal saya sebelum ni. Saya dalam keadaan baik dan tak sabar nak bangkit semula. Healing process takes time.

“Pesanan saya kepada semua, jangan rasa cabaran yang berlaku dalam kehidupan kita ini adalah sebuah noktah. Pada saya ia adalah satu permulaan baharu.

“Saya berjanji, walaupun deria penglihatan dah berkurang namun itu tidak akan mengurangkan manfaat yang saya akan berikan kepada orang lain,” ujarnya menutupi kisah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain