TERPAKSA meminta kerana kesempitan! Itulah yang dilakukan seorang penghidap barah ovari yang memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos perubatannya susulan penyakit itu. Lebih sayu, Adlene Aris terpaksa menebalkan muka memohon bantuan kecemasan daripada orang ramai disebabkan wang simpanan untuk perbelanjaan rawatan penyakit itu kian berkurang. Mendedahkan keperitan ditanggung di Facebook (FB), wanita berusia 39 tahun itu berkata perbelanjaan bagi beg stoma dan peralatan lain yang diperlukannya adalah lebih RM1,000 sebulan. Adlene menjalani rawatan di hospital akibat menghidap kanser ovari. "Disebabkan wang simpanan yang telah diketepikan untuk perbelanjaan rawatan kanser saya makin lama makin kurang, saya merendahkan diri dan menahan malu serta tidak lagi menjaga air muka saya akhirnya. "Sepanjang 39 tahun hidup, saya tidak pernah dengan rendah dirinya memohon bantuan kewangan kecemasan untuk diri saya sendiri mahupun keluarga terdekat," ujarnya sayu, ketika dihubungi mStar. Bercerita lanjut, ibu kepada dua cahaya mata yang masing-masing berusia sembilan dan enam tahun itu berkata perbelanjaan bulanannya tinggi setiap bulan disebabkan dia juga merupakan pengguna lampin pakai buang tegar. ARTIKEL BERKAITAN: Realiti rakyat bantu rakyat! Dana RM9 juta bantu bayi Naail berjaya dikumpul... Ramai terharu Hafiz Mahamad sumbang RM100,000 ARTIKEL BERKAITAN: UNIC Cari Dana RM50,000 Bantu Kanak-Kanak Kanser "Kebersihan sangat penting buat saya sehinggakan saya kerap menukar lampin pakai buang. Setakat ini, saya menggunakan lampin jenama Coloplast seperti dicadangkan pihak hospital. "Memang banyak bantuan untuk pesakit kanser tetapi malangnya saya tidak layak kerana masih tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana (M40). Keluarga sudah banyak mengeluarkan perbelanjaan, tetapi mereka juga ada komitmen masing-masing," tambahnya. Dalam pada itu, Adlene mengakui ada memohon bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi kategori pencen ilat dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pengeluaran seumur hidup. Dokumen yang mengesahkan Adlene menghidap kanser ovari. Bagaimanapun jelasnya, kedua-dua permohonan tersebut sedang dalam proses dan dianggarkan mengambil masa agak lama. "Buat masa ini iaitu sehingga saya mendapat pengesahan daripada Perkeso dan KWSP, saya dengan rendah hati ingin memohon bantuan serta derma seikhlas hati daripada semua. "InsyaAllah sebaik sahaja saya mendapat bantuan yang sepatutnya, saya akan menutup dana ini," katanya sambil menambah dia baru ditamatkan kontrak sebagai pensyarah di sebuah universiti di Cyberjaya, awal Januari lalu. Warga maya mendoakan urusan Adlene dipermudahkan. Bercerita mengenai penyakit itu, Adlene yang kini menetap di rumah ibu bapanya di Bangi menjelaskan dia didiagnos barah ovari oleh Institut Kanser Negara (IKN) sekitar Januari 2022. Menurutnya, IKN mengesan penyakit berbahaya itu selepas dia menjalani enam kitaran kemoterapi dan dua kali pembedahan berikutan barah rahim yang dihidapi sejak Julai 2021. "Mula-mula saya disahkan menghidap kanser rahim selepas menjalani pembedahan pertama untuk membuang kista ovarium di Hospital An-Nur Bangi . Kemudian mereka hantar (sampel) ke makmal sebab kista saya pecah. "Susulan itu, doktor suspek saya ada sel kanser. Bagaimanapun untuk keputusan yang lebih tepat, mereka rujuk saya ke IKN. "Memandangkan saya baru sahaja selesai pembedahan, doktor saran saya buat kemoterapi dulu supaya luka sembuh. Selepas enam kali kitaran kemoterapi dan pembedahan kali kedua baru didiagnos kanser ovari," katanya. Netizen mendoakan kesembuhan Adlene Sementara itu, ramai warganet menitipkan doa buat Adlene supaya urusan pengeluaran wang dan sumbangan dana dipermudahkan selain diberi kekuatan melawan penyakit berkenaan. "Ramai sayang Lene. Ramai yang akan bantu Lene. Lene jangan risau ye...Semoga Allah mudahkan segala urusan dan beri kesembuhan kepada Adlene. "Setiap ujian pasti ada hikmahnya. Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube