USIANYA sudah menjangkau 107 tahun, namun lagaknya cukup lincah seperti orang muda. Manakan tidak, sekali dia buka 'bunga silat', sama sekali tidak menyangka aksi tersebut dilakukan oleh seorang warga emas yang berusia lebih satu abad. Video yang merakamkan gelagatnya itu meraih lebih dua juta tontonan di TikTok yang rata-ratanya kagum dengan tenaganya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Di sebalik wajah yang redup itu, wanita dikenali sebagai Bonda Moksu berkenaan sebenarnya merupakan seorang guru silat ketika zaman mudanya. Berkongsi cerita kepada mStar, anak angkatnya yang mahu dikenali sebagai Habib Ahmad berkata, dia mula berguru dengan Bonda Moksu sejak umurnya 14 tahun. "Saya dan adik lelaki dijadikan anak angkat kepada Bonda Moksu. Sejak itu kami belajar silat dengan Bonda. "Bonda beritahu dia mendalami ilmu persilatan sejak zaman mudanya. Dia sezaman dengan Mat Kilau. "Sekarang, sesekali apabila berkumpul dengan anak-anak muridnya seperti dalam video, dia akan bercerita siap tunjuk pergerakan silat," katanya ketika dihubungi mStar. Bonda Moksu bersama cucu. Habib Ahmad yang berusia 50 tahun berkata, Bonda Moksu begitu disegani di kampung halamannya di Kampung Pulau Gajah dekat Pengkalan Chepa, Kelantan. "Bonda Moksu sangat sporting. Dia tidak seperti sesetengah orang tua yang pandang negatif terhadap orang-orang muda atau beri penekanan terhadap golongan muda secara drastik. "Dia ada kaedah lain yang lebih berhasil dalam mendekati anak-anak muda. Tiada percakapan atau pergaulan yang kasar. Dia akan gunakan pendekatan secara kerohanian," ujarnya yang berasal dari Kuala Terengganu. ARTIKEL BERKAITAN: Kawan-kawan cucu 'masuk air', riuh-rendah datang beraya rumah nenek... Tapi si baju biru paling suka buat perangai! ARTIKEL BERKAITAN: "Tak boleh duduk saja, nanti peluh tak keluar" - Umur 104 tahun, kudrat Tok Pora setanding anak muda... mudah sangat petuanya! Menurut bapa kepada 11 anak itu, Bonda Moksu juga mempunyai kelebihan daripada segi penyampaian dan penceritaannya yang cukup menarik perhatian. "Setiap kali Bonda Moksu bercerita, caranya bercakap macam slide show. Penceritaannya membuatkan semua orang mudah untuk faham. "Kalau ada lidi ada depan mata, benda itupun dia akan jadikannya sebagai sampel untuk beri penerangan," katanya yang merupakan konsultan di sebuah firma perundangan. Bonda Moksu begitu sentiasa mengingatkan, terutama pesanannya adalah tinggalkan yang Tuhan tegah, buat apa yang Tuhan suruh. HABIB AHMAD ANAK ANGKAT Jelas Habib Ahmad lagi, selain pakar dalam persilatan, Bonda Moksu juga berpengalaman sebagai guru agama yang mengajar anak-anak muda belajar membaca al-Quran. "Bonda Moksu juga berpengalaman dalam perubatan tradisional dan hal-hal berkaitan dengan mistik. "Bonda Moksu sentiasa mengingatkan bahawa dia hanya berikhtiar dan kesembuhan daripada Yang Maha Esa," katanya sambil menambah wanita itu menghabiskan masa lapang di rumah dengan membaca al-Quran. Meskipun nampak tegas, Bonda Moksu begitu penyayang. Meskipun meniti usia emas, kudrat Bonda Moksu atau turut dikenali sebagai Zaharah tetap kuat untuk menjaga kebersihan di kediamannya. "Kalau tengok persekitaran rumah dia, orang akan fikir macam ada dua tukang kebun. Susah nak tengok daun kering bersepah di halaman rumah, dia yang sapu semuanya. "Sebagai guru, dia memang garang tapi dia ada naluri keibuannya. Banyak perkara seperti rahsia dan masalah saya dikongsi dengan Bonda Moksu, selesa berkongsi dengannya. "Bonda Moksu begitu mengambil berat dan sentiasa mengingatkan, terutama pesanannya adalah tinggalkan yang Tuhan tegah, buat apa yang Tuhan suruh," kata Habib Ahmad. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube