suria

Tak cukup tunjal kepala, wanita saksi abang baju merah lempang pekerja restoran - “Dia lempar makanan, tampar staf berkali-kali”

Wanita ini berkongsi kejadian yang berlaku di sebuah restoran steamboat di Cameron Highland.

TOPIK ‘abang baju merah’ semakin hangat diperkatakan apabila seorang wanita tampil berkongsi cerita mendakwa menjadi saksi tentang perilaku kasar individu sama di sebuah restoran steamboat di Cameron Highland baru-baru ini.

Menerusi beberapa siri video pendedahan di TikTok, wanita berkenaan mendakwa individu tersebut bertindak menampar pekerja di restoran berkenaan berkali-kali, dipercayai kerana makanan yang dipesannya lambat tiba.

Pendedahan itu ternyata mengejutkan warga maya.

Berkongsi cerita, wanita itu berkata kejadian tersebut berlaku pada 4 Jun lalu ketika dia sedang menjamu selera bersama keluarganya di restoran sama.

Wanita ini mendedahkan kejadian berkaitan abang baju merah berkenaan.

Wanita ini mendedahkan kejadian berkaitan abang baju merah berkenaan.

“Dia dah tampar sekali, kami macam malas nak ambil port (ambil tahu) kerana mungkin ada apa-apa masalah.

“Semasa dia nak pergi bayar, dia cakap-cakap dan lempar makanan... kemudian tampar staf berkali-kali,” dakwanya mengimbas kembali kejadian.

Tindakan ganas itu membuatkan salah seorang ahli keluarga wanita tersebut bersuara agar kekecohan tersebut dapat dihentikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Samseng habis! Lelaki main ‘tunjal-tunjal’ kepala pemandu wanita, marah potong di selekoh - “Pecah muka kau kejap lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: Saksi tampil pertahan abang baju merah, dakwa kereta nyaris terjun gaung, pemandu wanita potong ‘tak lepas’

“Kalau lambat satu jam pun kena sabar... kalau tak boleh sabar, angkat kaki dan pergi. Kita nak ambil mood nak makan, ni kat tempat awam.

“Apabila saya cakap nak hubungi polis dan kemudian dia datang ke meja saya dan berkata supaya jangan masuk campur," katanya lagi.

Tidak berhenti begitu saja, dia terus memarahi wanita ini yang menyebabkan salah seorang ahli keluarganya bangun untuk meredakan pertengkaran.

Pun begitu, dia tidak berundur sehinggalah isterinya datang menarik tangan.

Terima kasih kepada keluarga akak ni sebab stand up untuk saya dan staf lain.

KAKITANGAN RESTORAN

Menjengah ke ruangan komen, kakitangan restoran berkenaan yang didakwa menjadi mangsa keganasan lelaki tersebut tampil bersuara.

"Terima kasih kepada keluarga akak ni sebab stand up untuk saya dan staf lain," katanya ringkas.

Dalam pada itu rata-rata warga maya mula tertanya-tanya tentang personaliti ‘abang baju merah’ berkenaan.

“Daripada cerita adik ni... kita dah tahu abang baju merah tu perwatakannya macam mana.

"Kalau bukan seorang penyabar jangan pergi Cameron Highland masa cuti. Memang kena sabar hadap trafik sesak dan di kedai makan.

“Suami aku pun panas baran, kalau sebelum menikah tu lagi teruk. Sekarang kalau nak lindung jaga aku pun, tak ada la sampai macam tu,” ujar beberapa warga maya.

Abang baju merah (kanan) ditahan reman sehingga Jumaat.

Abang baju merah (kanan) ditahan reman sehingga Jumaat.

Kisah 'abang baju merah' kecoh selepas dia bertindak memarah dan menunjal kepala seorang wanita pemandu Perodua Myvi gara-gara didakwa memandu secara berbahaya sewaktu perjalanan dari Cameron Highlands.

Tidak lama selepas itu, lelaki yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang, Selangor tersebut ditahan polis dan direman selama tiga hari bermula Rabu.

Perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap suspek berusia 29 tahun itu dikeluarkan Majistret Siti Hanum Mohmad Shah di Mahkamah Majistret Tapah, Perak.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 dan 509 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah dan perbuatan mengaibkan kehormatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain