suria

Anak istimewa buat ‘prank’ humban kek ke lantai, kelam-kabut sekeluarga! Pakat kepung macam jaga gawang gol

Insiden lucu ketika sambutan ulang tahun kelahiran Don, baru-baru ini.

SUDAH menjadi kelaziman setiap tahun, tanggal 5 Jun menjadi tarikh penting bagi keluarga ini meraikan hari ulang tahun kelahiran anak bongsu mereka.

Namun sambutan pada kali ini bertukar menjadi insiden haru biru bercampur lucu gara-gara 'birthday boy' cuba menghumban kek hari jadi sendiri ke lantai.

Bagaimanapun, kepantasan tiga ahli keluarganya bertindak berjaya menyelamatkan kek tersebut daripada terjatuh.

Video momen lucu berkenaan yang dikongsikan si ibu di aplikasi TikTok sehingga kini meraih lebih daripada 2.4 juta jumlah tontonan!

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Diana berkata, ketika itu seluruh ahli keluarga besarnya hadir untuk meraikan ulang tahun kelahiran anak bongsunya yang ke-11.

ARTIKEL BERKAITAN: Periksa selalu gagal tapi pemuda autisme ini tak putus asa, tetap mahu bergelar doktor... paling utama nak cari penawar penyakitnya !

ARTIKEL BERKAITAN: Usia cecah 21 tahun, 2 Lidiya buatkan Najmi mudah dijaga... kini si ibu berdepan dugaan, mahu kuat demi keluarga - “Terpaksa buang payudara"

"Anak bongsu saya, Don Zayyad Amzar adalah kanak-kanak istimewa. Dia didiagnos dengan Autism Spectrum Disorder (ASD) ketika berusia setahun setengah.

"Bagi mereka yang ada anak atau anggota keluarga autisme pasti tahu golongan ini kadang-kadang tingkah laku mereka agak random dan tak dijangka.

"Sama seperti Don. Dia happy apabila ramai sepupu-sepupu dan makciknya datang celebrate birthday. Tapi tak semena-mena dia tolak meja yang ada kek.

DON 3

Don cenderung menunjukkan minat melukis.

"Mujurlah babah dan dua sepupunya pantas selamatkan kek sampai comot jari masing-masing. Dia bukan tantrum pun. Tapi random act... selepas itu dia gelak saja," cerita wanita berusia 41 tahun ini.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata ini lagi, setiap ahli keluarganya sememangnya sudah memahami karakter serta tingkah laku Don dan mereka sentiasa peka apabila kanak-kanak tersebut ada bersama.

"Sepupu serta ibu bapa saudaranya memang akan extra berjaga-jaga kalau ada Don. Contohnya, kalau di rumah, mereka pastikan gril pintu ditutup serta apa-apa yang boleh membahayakan Don.

"Sebabnya, individu ASD ini tidak memahami erti bahaya lebih-lebih lagi Don pula autisme non-verbal," katanya yang menetap di Setapak.

DON 1

Diana dan suami sering melibatkan diri dalam program seni untuk menyokong Don.

Berkongsi pula serba sedikit mengenai anak bongsunya itu, Diana berkata Don dianugerahkan dengan kemahiran seni di mana dia cenderung untuk melukis.

"Sejak kecil saya dan suami hantar pergi terapi, dan sekarang ini dia bersekolah di sekolah khas National Autism Society di Gombak. Dekat sekolah, kanak-kanak autism tak diajar macam silibus sekolah lain.

"Don menunjukkan dia cenderung ke arah seni dan cikgunya pun memberi galakan sesuai dengan minatnya. Kami sebagai ibu bapa juga support Don dengan belikannya peralatan melukis dan board besar untuk dia berkarya.

Bawa keluar bukan saja untuk perkembangan Don serta hilangkan stres, tapi sebenarnya untuk beri pendedahan kepada masyarakat.

DIANA

IBU

"Ketika ini, Don suka sangat lukis logo. Dia akan tengok YouTube dan kemudian lukis. Waktu cuti sekolah, selain beriadah, Don pergi bengkel seni. Kami sekeluarga pun turut ikut join," ujarnya sambil menambah, anak bongsunya juga menggemari pantai.

Tidak menafikan cabaran untuk menjaga serta membesarkan anak autism bukan calang-calang, namun Diana berkata, dia dan suami melayani Don sama seperti seorang yang normal.

"Kita tak boleh kurung di rumah saja. Kami bawa saja Don keluar makan, beriadah, jalan-jalan. Cuma perlu guna harness untuk tujuan keselamatan.

DON 2

Diana (dua, kiri) bersama suami serta dua cahaya mata.

"Alhamdulillah, semakin besar, tantrum Don juga semakin berkurang. Bawa keluar bukan saja untuk perkembangan Don serta hilangkan stres, tapi sebenarnya untuk beri pendedahan kepada masyarakat.

"Sebab masih ada segelintir yang tahap kefahaman dan penerimaan mengenai autism begitu rendah. Jadi kalau nampak individu autism di luar, jika tak tahu nak bantu, senyum pun dah cukup.

"Janganlah tengok dia macam pelik sangat. Austism bukan penyakit. Masyarakat kita seharusnya mempunyai kefahaman agar dapat menerima individu autism dalam komuniti," akhirnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain