suria

Nak piknik pun tak senang! Tiga gadis dikejar monyet liar, bertempiaran lari bawa periuk... Terpaksa sambung makan dalam kereta

Tiga gadis diganggu sekumpulan monyet ketika berpiknik di tepi pantai.

HASRAT mereka mahu berpiknik dengan gaya estetik sambil menikmati pemandangan indah di tepi pantai, namun lain pula yang terjadi.

Keterujaan tiga gadis untuk berpiknik bertukar cemas apabila mereka diserang sekumpulan monyet.

Video yang merakamkan insiden mereka bertempiaran lari kerana dikejar monyet menjadi tular sehingga mengundang lucu dalam kalangan netizen.

Berkongsi pengalaman, Nur Ain Shahiera Mohamad Shuhaimi berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama dua rakan, Ummi Faqihah Shahrul Nizam dan Nurhannan Shafeeqah Mohd Adnan berpiknik di Pantai Teluk Batik di Manjung, Perak pada 10 Jun lalu.

Lebih mesra disapa Ain, katanya, mereka bertiga tiba di pantai tersebut seawal pukul 8 pagi.

"Sampai je kami tak rancang nak makan dulu, tapi nak merakamkan gambar-gambar secara estetik di tepi pantai serta melihat pemandangan indah selepas matahari terbit.

"Sejam juga kami sibuk bergambar. Baru je duduk elok dan baca doa nak makan di atas tikar, tiba-tiba sekumpulan monyet datang serbu ke arah kami," katanya kepada mStar.

Sebelum kejadian didatangi sekumpulan monyet.

Mengulas lanjut, Ain yang berasal dari Klang, Selangor berkata, makanan yang dibawa mereka adalah jagung rebus, sandwic telur dan beberapa snek makanan ringan.

"Mungkin kerana nampak kami bawa makanan, sekumpulan monyet datang ke arah kami. Monyet pertama yang datang ambil bekas yang berisi jagung rebus.

"Kami sempat selamatkan periuk yang mengandungi sandwic telur. Ingatkan dah okay apabila monyet tu ambil jagung rebus, tapi masih ada yang mengejar kami sebab bawa jajan," ujarnya sambil menambah kesemua mereka berusia 21 tahun.

Tiga rakan karib, dari kiri Ain, Hannan dan Ummi.

Merupakan pelajar Diploma Farmasi daripada Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine (UniKL RCMP) di Ipoh, Perak, Ain memberitahu, situasi paling mencemaskan apabila menyedari terdapat beberapa barang tertinggal ketika insiden itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sorry, tak minat donat! Gadis panik monyet larikan beg tangan ketika berkelah, sedar-sedar duit jatuh dari pokok

ARTIKEL BERKAITAN: Wow gigih! 11 gadis piknik tepi sungai, selamba ‘angkut’ cermin tandas – “Kalau selfie memang tak muat”

"Saya sendiri tertinggal beg, risau juga kalau monyet ambil sebab dalam tu ada dompet dan telefon. Kami cuba halau monyet-monyet tu, tapi haiwan tu tak lari.

"Ada lebih 10 ekor. Itu yang kami berlari selepas dikejar monyet. Kami asyik menjerit saja, nak harapkan orang awam datang tolong tapi semua tengah jaga anak-anak," katanya lagi sambil menambah ketiga-tiga mereka menjalani latihan praktikal di Teluk Intan sejak setahun lalu.

Insiden dikejar sekumpulan monyet.

Menurut Ain, mereka bertiga sudah beberapa kali berkunjung ke pantai tersebut, namun pertama kali mengalami insiden dikacau sekumpulan monyet.

"Niat asal untuk berpiknik sambil bergambar bersama sebab tempoh intern kami akan berakhir pada minggu ini. Jadi saja la nak ada kenangan di kawasan sekitar.

Pada mulanya geram juga sebab jagung tu saya rebus dari malam, tapi apabila difikirkan balik kasihan pula dengan monyet-monyet tu.

NUR AIN SHAHIERA MOHAMAD SHUHAIMI

"Sudahnya selepas tu kami hanya sarapan dalam kereta sebab takut dikacau monyet lagi. Pada mulanya geram juga sebab jagung tu saya rebus dari malam, tapi apabila difikirkan balik kasihan pula dengan monyet-monyet tu.

"Mungkin monyet lapar sebab tak ada makanan, kami halalkan saja. Kami bersyukur juga sebab tak diserang yang atau kena cakar, barang berharga pun selamat," katanya sambil menambah beberapa snek turut diambil haiwan itu.

Tiga gadis ini menganggap kejadian diganggu monyet sebagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Mengakui ia momen yang menakutkan, Ain dan rakan-rakannya menganggap kejadian tersebut sebagai kenangan yang tak akan dapat dilupakan.

"Masih trauma dengan kejadian yang berlaku. Selepas ni kami akan fikir dua tiga kali dahulu sebelum nak pergi piknik di tepi pantai, dan akan lebih berhati-hati," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain