suria

Pengkid cantik bikin mak nyah angau, nak kahwin lepas 5 hari berkenalan... Restoran Arab jadi asbab naluri songsang berubah

Yan (kanan) kelihatan ayu berpakaian wanita.

SETIAP insan berhak untuk merasai kebahagiaan bersama pasangan yang menjadi pilihan hati.

Demikian kisahnya untuk lelaki ini yang mencuri tumpuan di TikTok kerana sifat dan penampilan yang berat ke arah kewanitaan manakala bakal isterinya pula adalah lebih maskulin.

Berkongsi kisah kepada mStar, Adam, 40, atau lebih mesra disapa sebagai Danny mengakui gemar menggayakan pakaian serta aksesori perempuan selain yakin mengenakan solekan di wajah.

Manakala teman wanitanya, Nurazearah Fateha, 22, pula diperhatikan selesa tampil berambut pendek dan berkemeja lengan panjang serta menyarung jaket, persis perwatakan seorang lelaki.

Danny (kiri) dan Nurazearah Fateha (kanan) menemui keserasian dalam masa yang singkat.

Menurut Danny, tanpa dirancang nalurinya yang sebelum ini tertarik kepada kaum sejenis akhirnya kembali kepada fitrah selepas bertemu Nurazearah.

"Kali pertama berjumpa dengan teman wanita saya ni di sebuah restoran Arab. Cantik aturan takdir. Saya sebelum ini tidak pernah bercinta dengan perempuan, lebih cenderung dengan lelaki.

"Teman wanita saya ni senang dengan panggilan Yan, dia yang datang tegur saya. Dia cakap saya ni cantik. Yan sebenarnya terkejut apabila tahu umur saya dah 40 tahun sebab dia ingat saya masih 20an, awet muda begitu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek Kelantan masih berbisa! Main TikTok terus jumpa jodoh pemuda Sabah pandai mengurut... Bahagia sulam cinta beza usia 35 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Kerja di kedai makan, tak sangka jumpa jodoh! Wanita ini bahagia kahwin lelaki beza usia 38 tahun... Siap kongsi tip urus suami tua

"Kami pun cuba berkenalan walaupun jarak umur jauh. Dalam masa lima hari kami berkawan, kami putuskan untuk berkahwin. Hari ni dah masuk 22 hari kami bersama, majlis akad nikah kami pada 2 Julai nanti.

"Persiapan sudah 95 peratus termasuk isi borang nikah dan dokumen lain," kata Danny yang memiliki sebuah salun rambut yang sudah beroperasi selama 21 tahun di Ampang, Selangor.

Keluarga Danny juga memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dan merestui hubungan demi melihat anak lelaki mereka akhirnya mempunyai teman sehidup semati.

Minta doakan supaya dipermudahkan urusan kami untuk kembali ke jalan Allah.

DANNY

"Saya memang tak ada niat untuk bercinta atau berkahwin. Saya pernah dua kali bertunang tapi tak diteruskan atas sebab-sebab peribadi.

"Biasanya keluarga yang arrange untuk saya dijodohkan dengan calon-calon pilihan mereka tapi tak ada rezeki. Alhamdulillah, Yan ialah pasangan pertama pilihan saya sendiri.

"Kadang-kadang kita tak tahu, Allah boleh jentik hati kita untuk menerima seseorang walaupun sudah kecewa dengan cinta. Kali pertama saya bertentang mata dengan Yan, saya terdetik, dalam hati... this is the one.

Pertemuan kali pertama Danny dan teman wanitanya, Yan di sebuah restoran.

"Kalau boleh saya nak segerakan perkahwinan kami, risau kalau tiba-tiba ada aral yang melintang dan hubungan ni tak menjadi, saya tak nak dikecewakan lagi," kata Danny yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan.

Ketika ditanyakan tentang penerimaan keluarga bakal mentuanya, Danny mengatakan pada ketika ini dia hanya menghubungi mereka melalui panggilan video.

"Saya tak sempat lagi nak berjumpa mereka secara bersemuka, tapi keluarga Yan sangat excited dengan hubungan kami. Apabila keluarga dia dapat tahu Yan bercinta dengan lelaki mereka sangat gembira.

Yan sudah siap menempah gaun perkahwinan untuk hari bahagianya bersama Danny.

"Rumah Yan di Gombak, Selangor dan dekat sahaja dengan tempat saya. Pernikahan kami nanti secara bersederhana sahaja, kami akan buat majlis tiga bulan selepas itu," cerita Danny.

Berbicara mengenai soal perancangan selepas bernikah, Danny mengatakan dia menyimpan hasrat untuk membawa Yan berbulan madu di pulau dalam negara.

"Saya ada plan nak pergi bercuti dengan bakal isteri nanti. Saya pun dah ada rumah saya sendiri di Ampang ni, nanti Yan akan duduk sekali dengan saya.

Yan juga pernah putus tunang dan berharap hubungannya dengan Danny akan berkekalan.

"Yan bekerja di kilang memproses makanan sejuk beku. InsyaAllah perkahwinan ini akan membawa kebaikan untuk kami berdua, kami akan menyokong antara satu sama lain ketika susah dan senang," kata Danny.

Mengakui mereka merupakan pasangan istimewa kerana masing-masing berkecelaruan identiti, Danny memasang niat untuk berpimpin tangan dengan isterinya kelak ke jalan yang lebih baik.

"Harapnya perkahwinan saya dan bakal isteri akan sampai ke Jannah. Biar ia jadi satu perkahwinan yang kekal sehingga ke akhir hayat saya. Kami akan cuba perbaiki diri apa yang kurang.

"Saya juga minta doa daripada orang ramai supaya dipermudahkan urusan kami untuk kembali ke jalan Allah ini," kata Danny menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain