suria

Teruja nak scan 5 dimensi, ibu akhirnya berendam air mata... Soalan jururawat buat hati tersentak - “Dapat rasa sesuatu yang buruk”

Noah membesar dengan sihat walaupun dilahirkan tanpa tapak tangan dan jari.

SETIAP ibu yang sedang hamil pastinya mendoakan bayi dalam kandungan mereka dapat dilahirkan dengan sihat dan selamat.

Namun bagi Siti Munirah Mukhizan, 28, dia reda apabila bayi dalam kandungannya disahkan mengalami kekurangan fizikal.

Menerusi video tular, wanita itu mengimbas semula kisah anak keduanya, Muhammad Noah Malique yang dilahirkan tanpa jari pada tarikh 8 Julai 2021.

noah3

Noah kini membesar sebagai kanak-kanak yang ceria dan sihat.

"Masa awal kandungan, bayi dalam keadaan baik. Saya dah buat imbasan dua dimensi (2D). Kemudian masa kandungan nak masuk tujuh bulan, saya tempah untuk buat imbasan USG lima dimensi (5D) di klinik swasta untuk tengok wajah bayi.

"Masa tu, jururawat check di tempat sama berulang kali, macam nak memastikan sesuatu. Dia tanya, ada tak saya makan apa-apa ubat atau suplemen selain ubat dari Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA)?

"Saya cakap tak ada. Dalam hati saya dapat rasa sesuatu yang buruk. Jururawat kata anak saya tiada jari dan tapak tangan. Saya hanya mampu menangis seolah-olah saya gagal jaga kandungan. Saya keluar klinik dengan perasaan sedih," imbasnya ketika dihubungi mStar.

Sekarang umur Noah dah setahun 11 bulan, dia nampak bijak dan cerdik... jenis cepat belajar.

SITI MUNIRAH MUKHIZAN

Menurut wanita yang mesra disapa Munirah itu, dia bagaimanapun cuba berfikiran positif dan enggan mempercayai 100 peratus hasil imbasan daripada klinik berkenaan.

Namun, igauannya itu bertukar realiti selepas dia selamat melahirkan anak keduanya dan si cilik itu disahkan tidak mempunyai jari pada tangan kanannya.

"Sampai hari bersalin, saya selalu berdoa mengharapkan keajaiban. Masa lahir, saya tengok dia tetap tak ada jari. Mula-mula memang sedih. Dalam pantang pun saya sedih memikirkan nasib dia pada masa akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tak kongsi foto anak bermata unik baru lahir, ramai minta nak tengok! Dah tunjuk, bayi disamakan alien, jadi bahan lawak

ARTIKEL BERKAITAN: 8 tahun tunggu, bapa terharu anak akhirnya boleh menapak! Selama ini cuma jawab ‘dia istimewa’ jika ada yang tanya

"Tapi saya reda dan terima segala ketentuannya. Masa lahir tu juga, saya dapat tahu anak saya ada masalah jantung berlubang. Tapi Alhamdulillah, lubang pada jantung dah tertutup dan dia sihat walafiat.

"Sekarang umur anak kedua saya dah setahun 11 bulan. Dia nampak bijak dan cerdik. Jenis cepat belajar," cerita suri rumah yang menetap di Puchong, Selangor itu.

Dalam pada itu, Munirah turut berterima kasih kepada netizen yang menitipkan doa serta kata-kata semangat buatnya menerusi laman TikTok.

noah2

Munirah bersama suami dan dua anaknya.

Sehingga kini, video yang dikongsinya menerima hampir sejuta tontonan.

"Terlalu banyak komen positif. Saya nak ucap terima kasih banyak-banyak atas segala doa dan kata-kata semangat yang diberikan, tak terbalas segala komen yang ada.

"Semoga Allah dapat balas segala kebaikan kalian," ujar wanita itu lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain