suria

Hanya guna iPhone, pemuda tawar khidmat video kahwin dengan harga RM200 je... Jadual ’shoot’ pengantin penuh sampai Mei tahun depan!

Wan mendapat sambutan luar biasa kerana menawarkan khidmat video pada harga murah.

BERBEKALKAN dua buah telefon pintar berjenama Apple, seorang pemuda meraih pendapatan lumayan selepas dia menawarkan khidmat videografi perkahwinan sejak tahun lalu.

Sungguhpun kelengkapan yang digunakan bukanlah dianggap profesional namun sentuhan dan kreativitinya cukup memuaskan.

Menurut Mohamad Azwan Jamaluddin, 27, dia pada awalnya sekadar menghasilkan video untuk ahli keluarga sebelum hasil kerjanya meraih perhatian, sekali gus membawa ramai pelanggan baharu buatnya.

LIVE

Pemuda ini berniaga baju secara live dan hanya menghasilkan video pada hujung minggu.

"Saya baru bermula dalam bidang videografi pada tahun lepas. Awalnya saya buat video secara percuma untuk adik-beradik dan sepupu. Apabila saya kongsi di TikTok, tiba-tiba dapat ramai permintaan daripada orang luar.

"Saya hanya buat video menggunakan iPhone 11 dan iPhone 13 Pro Max. Lagi senang rakam dan edit menggunakan telefon. Saya sebenarnya tiada pengalaman, cuma belajar sendiri dan tonton tutorial di YouTube dan TikTok," ujarnya kepada mStar.

Senang disapa Wan, dia yang menetap di Kepala Batas, Pulau Pinang berkata khidmat kreatifnya menjadi 'buruan' dek kerana harga yang ditawarkan berpatutan.

Jadual saya sentiasa penuh. Sampai bulan Mei tahun depan dah full, orang dah bayar deposit sebab takut full.

MOHAMAD AZWAN JAMALUDDIN

"Pakej saya berharga RM200 sahaja. Video majlis indoor RM200, majlis outdoor pun RM200. Kalau ambil dua-dua, harganya jadi RM350 sahaja. Alhamdulillah, rasa seronok dapat bantu realisasikan impian pengantin baharu.

"Setakat ini tiada siapa marah saya letak harga murah. Sebab market untuk telefon memang harganya paras itu saja. Kalau guna kamera, harganya lain pula. Apa yang saya beri, kualitinya kena dengan harga. Boleh bantu mereka yang tiada bajet tinggi," ujar Wan lagi.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata itu, dia juga tak menang tangan menerima tawaran kerja sehingga jadualnya penuh sepanjang tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Minat sinematografi, superhero... Pelajar UUM berangan jadi Syamsul Yusof! Banyak hasilkan video gempak, kreatif

ARTIKEL BERKAITAN: Rajin kongsi video masakan edisi pelajar, ramai yang suka! Tapi resipi masak lemak tumis bawang kena kritik - “Ini cara saya”

"Saya buat dua kerja. Hari Isnin hingga Khamis saya berniaga baju menerusi siaran langsung (live) di TikTok. Video pula saya hanya buat pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Tiga hari seminggu sahaja.

"Tapi Alhamdulillah, jadual saya sentiasa penuh. Sampai bulan Mei tahun depan dah full, orang dah bayar deposit sebab takut full. Memang tak pernah terfikir rezeki saya datang dengan cara ini," ujar Wan lagi.

Di sebalik pujian pelanggan dan pengikut TikTok, Wan juga mendedahkan dia dipandang rendah segelintir individu hanya kerana menghasilkan video menggunakan telefon.

wan3

Wan mula menghasilkan video perkahwinan sejak tahun lepas.

"Ada orang kata malu pakai phone, tak profesional. Mereka suruh saya upgrade. Tapi saya kekal guna telefon untuk kekalkan harga yang saya tawarkan. Kalau saya upgarde guna kamera, harganya lain pula. Takut pelanggan dah tak dapat harga murah.

"Saya tak ambil hati dengan teguran. Saya boleh terima je. Selain itu, ada juga yang nasihat suruh perbaiki kualiti video. Bukan mengkritik, tapi lebih kepada ajar saya untuk perbaiki lagi. Saya hargai mereka yang beri tunjuk ajar kepada saya," ujarnya lagi.

Di aplikasi TikTok, ramai netizen turut memuji hasil video Wan dan menganggap kualiti sesebuah karya itu tidak semestinya bergantung kepada kamera yang mahal sahaja.

wan2

Jadual Wan penuh sehingga tahun depan.

"Video atau gambar yang cantik ni tak tertakluk kepada kamera atau phone. Tapi ia tertakluk pada orang yang memegang kamera atau telefon itu.

"Pakai la kamera mahal sekali pun, kalau tiada kemahiran tak menjadi juga. Kemahiran tu yang mahal, bukan kamera.

"Kalau orang berseni, guna apa pun hasil terbaik," tulis beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain