suria

Si ibu sampai menangis pujuk, anak tetap memilih makanan! Lepas jumpa doktor barulah lega sikit - “Kalau paksa, dia muntahkan balik”

Anak sulung Nora mula memilih untuk makan ketika berusia setahun lebih.

CAHAYA mata merupakan anugerah terindah kurniaan Allah buat setiap pasangan yang bergelar suami isteri.

Terbaharu, seorang wanita dikenali sebagai Nora meraih perhatian ramai apabila dia berkongsi tentang anak sulungya yang terlalu memilih makanan.

"Jangan ajar aku tentang sabar. Dah lima tahun aku layan anak yang very picky eater (memilih makanan). Dia cuma makan cheese pizza, nasi ayam kedai The Chicken Rice Shop (TCRS), sosej dan nugget je. Yang lain no way," tulisnya di TikTok.

nora2

Nora bersama dua anaknya.

Ketika dihubungi mStar, Nora berkata anaknya yang dikenali sebagai Aqeef, 5, mula menunjukkan perubahan ketara dalam pemakanan ketika berusia setahun lebih.

"Ketika dia bayi, umur enam bulan hingga setahun, dia makan normal saja. Apa yang saya bagi dia terima. Sama macam orang lain bagi makanan untuk bayi. Bermula umur setahun lebih, semua benda dia tak nak. Dia lebih kepada susu saja.

"Kalau ikutkan dari umur setahun tu, dia hanya bergantung kepada susu untuk kenyangkan diri. Kemudian dia hanya makan satu atau dua jenis makanan. Sekarang dia makan dalam lima jenis makanan pun saya dah bersyukur sangat.

Orang cakap saya bagi fast food kepada anak. Sedangkan junkfood pun anak saya tak suka.

NORA

"Sebab dulu dia tak nak makan langsung. Sekarang dia minta nak makan. Dulu kalau paksa makan pun, dia muntahkan balik. Dia sanggup tahan lapar," ujar pengusaha bakeri dari rumah yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur itu.

Sebagai ibu, Nora berkata dia sentiasa risau akan keadaan putera sulungnya itu, namun sedikit lega selepas mendapatkan penjelasan doktor ketika membuat pemeriksaan di klinik kesihatan.

"Ketika pemeriksaan di klinik kesihatan, saya ada tanya jururawat dan doktor. Doktor kata yang penting berat dan tinggi dia okay dan dia terima makanan. Jadi saya dah tak risau sangat. Sekarang ni saya dah bersyukur sangat.

ARTIKEL BERKAITAN: Akak stesen minyak serba salah, gurauan lapar dianggap serius! Anak yatim sanggup balik rumah masakkan mi segera

ARTIKEL BERKAITAN: “Anak aku jadi kegilaan awek Turkiye, bapa dia yang seronok lebih” - Suami, bayi dikerumuni gadis siap ikut sampai tren... mujur isteri sporting

"Selain daripada makanan-makanan yang senaraikan di TikTok, ada je lagi benda sampingan lain. Dia juga makan roti canai, roti kosong. Pizza bukan setiap hari dan biasanya pizza saya buat sendiri. Air pun dia memilih. Dia suka air kosong, Milo dan teh O ais.

"Orang cakap saya bagi fast food (makanan segera) kepada anak. Sedangkan junkfood (makanan ringan) pun anak saya tak suka. Aiskrim pun dia suka satu perisa je. Kes anak saya ni, dia juga memilih dari segi kedai dan siapa yang masak. Dia bukan picky (memilih) je, tapi cerewet. Kalau kedai tak bersih, dia tak nak," ujarnya lagi.

Menurut Nora, anak keduanya, Areeq, 4, tidak mengikut jejak langkah abangnya, sebaliknya menerima segala makanan yang diberi sejak kecil lagi.

"Saya risau menurun. Dia dan adiknya jarak umur sangat dekat. Tapi adik dia senang bagi makan, sayur semua dia makan. Adik dia dah berhenti susu, tapi si abang masih minum susu sampai sekarang," ujarnya lagi.

file7qgsvmaiv1srgul84zo

Ada kanak-kanak yang cerewet bab makanan sehingga merisaukan ibu bapa mereka. -Gambar hiasan

Selepas kisah anaknya tular di TikTok, Nora turut menerima pelbagai komen daripada netizen yang memberi nasihat serta berkongsi kisah masing-masing.

Nora juga menitipkan pesan kepada ibu bapa agar terus sabar sekiranya mereka turut berdepan situasi sama dengannya.

"Macam awal-awal dulu saya sangat stres. Selalu nangis ketika pujuk anak makan, sebab saya dah masak tapi dia tak nak makan. Bila kita stres, kita marah.

"Jadi mindset tu kena positif. Jangan fikir sangat apa orang luar cakap. Sebab pengalaman tak sama. Cara orang tak semestinya berkesan kat anak kita. Tapi kita sebagai mak mesti nak yang terbaik," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain