suria

Gugup akad nikah terbawa sampai makan beradab! Pengantin gelabah nama kena petik, suruh baca doa dia baca surah pula

Gelagat pengantin lelaki membacakan doa sewaktu makan beradab.

PERASAAN gemuruh pengantin lelaki belum sempat hilang selepas selesai akad nikah, tiba-tiba disuruh pula membaca doa makan di hadapan orang ramai.

Situasi itulah yang terpaksa dihadapi seorang pemuda yang tidak menyangka dirinya begitu gugup pada majlis persandingannya.

Menerusi video yang tular di media sosial, pengantin lelaki itu dilihat membaca surah Al-Fatihah ketika hendak makan beradab.

"Doa makan, doa makan," kedengaran suara beberapa individu 'membantunya' sebelum dia kembali tenang dan membacakan doa makan sambil diperhatikan si isteri yang berada di sisi.

Mengimbas kembali kejadian itu, pemuda itu berkata video yang tular itu dirakam ketika kenduri kahwin sebelah keluarga perempuan di Seremban, Negeri Sembilan pada 2 Julai lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Afiq Ajwad, jelasnya, majlis berlangsung sehari selepas akad nikah yang mana dia bersama gadis pilihan sah bergelar suami isteri dengan dua kali lafaz.

"Sebenarnya perasaan gemuruh saya adalah pada hari akad nikah. Saya berulang kali juga ke tandas untuk hilang gementar.

"Alhamdulillah saya tak gugup masa akad nikah kecuali tertinggal part 'nya' sewaktu menyebut 'mas kahwinnya', menyebabkan saya perlu lafaz sekali lagi," katanya kepada mStar.

Afiq (kiri) dan isteri bernikah pada 1 Julai 2023.

Menjelaskan situasi sebenar, pemuda berusia 27 tahun itu berkata dia sama sekali tidak mengetahui perlu membaca doa makan pada majlis persandingannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Makan beradab pun tak kenyang! Pengantin lelaki berdebar buat kejutan untuk isteri, mujur Aizat Amdan 'sporting' kasi jadi

ARTIKEL BERKAITAN: Saksi tepuk dahi, tetamu berdekah-dekah ketawa... Pengantin lelaki 'confident' nak bagi mas kahwin RM500 juta, gugup sampai 3 kali lafaz

Afiq menegaskan bahawa dirinya bukan tidak tahu membaca doa makan, tetapi mengakui dirinya sejak kecil mempunyai darah gemuruh terutama sekali apabila menjadi tumpuan ramai.

"Saya memang nervous kalau kena berucap atau bercakap di hadapan orang ramai, lebih-lebih lagi jika mereka memandang saya.

Saya nervous kalau kena berucap atau bercakap di hadapan orang ramai, lebih-lebih lagi jika mereka memandang saya.

AFIQ AJWAD

"Pengacara majlis pula tiba-tiba petik nama saya untuk bacakan doa makan. Bayangkanlah masa tu saya baru je duduk di meja.

"Bila dah nervous sangat, benda yang selalu ingat pun boleh jadi lupa. Terkedu sekejap apabila jadi tumpuan ramai ketika itu," ujarnya yang berasal dari Kulim, Kedah.

Aksi romantik pasangan ini ketika makan beradab.

Tidak mengambil masa lama, anak sulung daripada empat beradik itu tenang seketika sebelum berjaya membaca doa makan.

"Selesai baca doa makan, rasa memang lega. Dua-dua nervous yang berbeza, masa akad nikah sebab bakal bergelar suami orang, doa makan ni sebab depan orang ramai," katanya.

Pada masa sama, Afiq juga tidak menyangka perasaan gementarnya 'bersuara' di hadapan orang ramai dalam majlis atau perhimpunan besar kembali muncul selepas satu dekad.

Afiq bersyukur disatukan bersama gadis pilihannya.

Menurut jurutera projek itu, kali terakhir dia perlu berucap adalah sewaktu perhimpunan pengakap di sekolah kira-kira 10 tahun lalu.

"Saya sebenarnya ada perasaan segan bercakap di hadapan orang ramai walaupun pernah menjadi komander yang memberi arahan ketika kawad kaki.

"Tapi itu sekadar arahan saja, bukannya perlu berucap atau membaca. Jadi, tak sangka pula selepas 10 tahun perasaan gugup tu datang balik di majlis kahwin.

"Bila tengok semula rakaman tu rasa kelakar. Saya anggap ia sebahagian daripada momen dan kenangan saya sebagai pengantin," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain