suria

Abang gym pilihan wanita Cina, manis berhijab di hari bahagia... Video momen salam restu dua keluarga beza agama buat ramai sebak

Hairul dan Camelia melangsungkan perkahwinan pada 10 Jun lalu.

CINTA antara dua jiwa yang disemai sejak mula berkenalan lapan tahun lalu terus bersemi hingga membawa ke jenjang pelamin.

Walaupun berbeza bangsa dan agama, namun ia bukan halangan buat Hairul Azuan Mohd Yusof, 34 dan pasangannya, Hong Khar Mun atau nama Islamnya Camelia Hong Khar Mun, 33, untuk disatukan pada 10 Jun lalu.

Ketika dihubungi mStar, Hairil yang merupakan seorang jurulatih kecergasan di sebuah gim terkenal berkongsi perjalanan kisah percintaannya dengan isteri tersayang.

“Kami mula berkenalan semasa saya bekerja sebagai trainer dekat gim. Camelia merupakan client (pelanggan) saya pada ketika itu.

“Walaupun sudah mengenali lama tapi dua tahun kebelakangan ini barulah kami ambil keputusan untuk berkahwin. Masa tu isteri saya belum peluk agama Islam lagi.

“Pada tahun kelapan bercinta barulah kami beritahu keluarga yang kami berdua nak melangsungkan perkahwinan,” ujarnya kepada mStar.

Pasangan ini sudah mengenali satu sama lain sejak lapan tahun lalu.

Perkahwinan pasangan ini mendapat perhatian ramai selepas pengacara majlis, Hafizal Razali, berkongsi momen di sekitar hari bahagia mereka di TikTok.

Rata-rata kagum dan tersentuh hati apabila melihat keluarga pengantin kedua-dua belah pihak mengalirkan air mata.

Bercerita lanjut Hairul yang berasal dari Johor berkata isterinya baru sahaja memeluk agama Islam sejak dua bulan lalu.

Tambah Hairul yang merupakan anak sulung dalam keluarga, dia bersedia menggalas tanggungjawab sebagai suami dan menyedari mempunyai tanggungjawab besar dalam memimpin isterinya menjadi umat Islam yang baik.

Meskipun pada mulanya keputusan untuk berkahwin dengan Camelia tidak dipersetujui atas jurang perbezaan agama, keluarga akhirnya berlembut hati demi memikirkan kebahagian Hairul.

ARTIKEL BERKAITAN: Mula kahwin, sendawa pun jadi isu! Wanita ini tak impi nikah lelaki asing, segalanya berubah saat bertemu famili jejaka Iran - “Kalau sebab rupa, saya tak suggest”

ARTIKEL BERKAITAN: Rombongan pakai sari iringi pengantin lelaki, rupa-rupanya ada kaitan darah campur... pemuda ini kongsi kisah di suatu pagi ke masjid cari tok imam

“Isteri memang dah minat dengan agama Islam sebab rakan-rakan sekeliling dia kebanyakannya muslim.

“Kemudian, dia pun minat dengan cara saya menghormati keluarga. Katanya nampak macam Islam ni mendahulukan keluarga.

“Sebelum kami berkahwin pun dia dah mula pandai baca (hafal) doa-doa ringkas dan zikir. Doa makan, tidur dan surah al-Fatihah pun boleh baca. Sekarang saya perlahan-lahan ajar dia solat,” ujarnya lagi.

Keluarga besar Hairul dan Camelia.

Untuk rekod majlis akad nikah dan persandingan Hairul dan Camelia yang berlangsung di ruang acara Okad, Bukit Jelutong di Selangor lebih unik apabila menggunakan khidmat dua pengacara majlis yang petah berbahasa Melayu dan Mandarin.

“Dalam video tu mak Camelia menangis sebab dia jenis cepat tersentuh bukan sebab tak rela. Ikatan anak beranak antara mereka berdua memang kuat. Kalau dia tak rela atau berat hati mesti dia tak akan datang.

Jalan kami ambil ini bukanlah satu keputusan mudah.... banyak pengorbanan terpaksa dilakukan.

HAIRUL AZUAN

SUAMI

“Saya gunakan dua emcee untuk majlis tu sebagai tanda menghormati keluarga kedua-dua belah pihak. Nenek isteri memang kurang fasih berbahasa Melayu jadi apabila buat dwibahasa mereka faham tentang perjalanan majlis,” jelasnya.

Tambah Hairul dia terharu apabila ramai yang memuji dan mendoakan kebahagiaannya dan pasangan.

Dalam pada itu, dia turut menitipkan pesanan bagi insan di luar sana yang terinspirasi atau mahu mengikut jejak langkahnya untuk berkahwin campur.

Hairul dan pasangannya mengadakan majlis perkahwinan di ruang acara Okad di Bukit Jelutong.

“Saya ada baca banyak komen pada video tu. Terima kasih pada yang puji dan mendoakan kami. Terima kasih juga pada keyboard warrior yang mengecam kami. Saya tak ambil hati cuma terhibur baca.

“Pesanan daripada saya dan Camelia, jalan kami ambil ini bukanlah satu keputusan mudah. Banyak pengorbanan kami terpaksa lakukan.

“Memang kena banyak sangat tolak ansur dan bersabar. Kena pastikan pasangan kita ini faham agama betul-betul dan bukannya berkahwin atas dasar pasangan saja tetapi sebab agama dulu,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain