suria

Nak masuk syurga tak mudah, bertimpa-timpa rintangan berat... Ini peringatan Ustaz Soberi sebelum meninggal dunia, kata terakhirnya sebut nama Allah

Kata terkahir yang diungkapkan Dr Mohd Soberi Awang sebelum meninggal dunia adalah kalimah Allah SWT.

KEMATIAN dalam kedaan husnul khatimah yang membawa maksud pengakhiran hidup yang baik pastinya menjadi buruan ramai umat Islam walaupun seseorang itu banyak berbuat dosa dalam kehidupannya.

Kematian Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Isma (Muis), Dr Mohd Soberi Awang yang meninggal dunia ketika menyampaikan kuliah Subuh pada Ahad lalu yang turut disaksikan secara live di Facebook bukan sahaja mengejutkan ramai pihak malah turut mengundang sebak.

Dalam kejadian di Surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor itu, Ustaz Soberi ketika dalam kuliahnya memaklumkan sudah mengalami sakit dada selama lima hari. Dia dilihat sempat meneguk air semasa menyampaikan kuliah sebelum akhirnya rebah.

Ustaz Soberi secara tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika sedang menyampaikan kuliah Subuh.

Lebih mencuri tumpuan ialah intipati kuliah Subuhnya yang menyentuh mengenai kesukaran hari kiamat sebelum beliau dijemput Ilahi.

Dalam ucapan kira-kira 20 minit yang benar-benar membangkitkan kesedaran itu, beliau mengingatkan bahawa bumi ini sudah uzur dan menasihati semua jemaah agar tidak berlengah lagi dalam mencari keredaan Allah.

"Kita sentiasa ingat selepas mati, kita akan terus ke syurga, itu yang kita nak tapi hakikatnya perjalanan nak ke sana (syurga) jauh sekali. Dan apa yang kita perlu tempuhi dalam perjalanan itu tidak semuanya mudah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Soberi dijemput Ilahi ketika sampaikan kuliah Subuh - “Baba pergi dalam keadaan semua cakap baik”

ARTIKEL BERKAITAN: Sepotong ayat al-Quran berlegar di minda sebulan sebelum bapa ‘pergi’, anak Ustaz Soberi sedar rupanya persediaan hilang insan tersayang

"Bertimpa-timpa rintangan berat yang kita harus lalui sebelum kita nak sampai ke syurga Allah SWT. Apabila tiba harinya untuk amal kita dihitung nanti, Allah akan menukar langit dan bumi yang kita kenal sekarang.

"Pada ketika itu, kita semua akan keluar untuk berhimpun dalam dunia baru yang Allah dah cipta, inilah dia dunia Mahsyar di mana kita akan menghadap pencipta kita," ujar Ustaz Soberi.

Demikian adalah antara kata-kata akhir Allahyarham sebelum beliau dilihat mengalami kesukaran untuk bercakap dan seterusnya tidak sedarkan diri sehingga terpaksa dibantu jemaah surau.

Kata terakhirnya sebelum dia berangkat ke kampung abadi adalah kalimah Allah subhanahu wa ta'ala.

WARGA MAYA

Ustaz Soberi juga diperhatikan mengalami ketidakselesaan pada dadanya dan cuba meneguk air dari cawan di hadapannya untuk melegakan kesakitan.

"Saya minta maaf tuan-tuan, Allah uji sakit dada, dah mula rasa macam ni sejak lima hari lepas. Mungkin silap saya sendiri juga, sebentar ya.

"Tadi tentang perubahan saya kata, Allah subhanahu wa ta'ala (SWT)..." katanya sejurus badannya menjadi tidak bermaya.

Jemaah yang menghadiri kuliah meluru menghampiri Ustaz Soberi untuk memeriksa keadaannya dan ada juga yang cuba mengusap dadanya.

Sebahagian komen warga maya.

Dalam satu hantaran di media sosial yang turut menyertakan potongan rakaman video kuliah Subuh tersebut, seorang pelayar mengatakan hatinya tersentuh apabila mendengar ungkapan terakhir yang keluar daripada mulut Allahyarham.

"Kata terakhirnya sebelum dia berangkat ke kampung abadi adalah kalimah Allah subhanahu wa ta'ala. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.

"Dr Mohd Soberi Awang berpendidikan Sarjana Muda (B.A) dalam bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar dan Master dari Universiti Yarmouk di Jordan.

"Beliau menyempurnakan tesis PhD beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2016 di bawah seliaan Datuk Dr Mohamad Sabri Haron yang kini merupakan Mufti Terengganu.

"Tajuk tesisnya adalah Pengislahan dan Pengembangan Asnaf Zakat Masa Kini - Kajian Kes di Negeri Terengganu," jelas pelayar tersebut.

Kematian Allahyarham adalah asbab yang telah ditakdirkan Allah namun, nasihatnya ketika menyampaikan kuliah Subuh itu seharusnya perlu diambil iktibar oleh seluruh umat Islam dalam mentaati perintah Allah.

Setiap orang inginkan syurga dan dalam masa sama takut akan siksaan api neraka namun sejauh manakah manusia itu berusaha untuk mendapatkan syurga Allah kerana perjalanan bagi mendapatkannya tidak semudah difikirkan, itulah makna pengisian tazkirah beliau.

Sama-samalah kita hadiahkan al-Fatihah kepada roh Allahyarham.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain