suria

Tutor bahasa Mandarin tak putus asa, bersungguh nak menghadap Tunku Azizah... Ucapan guna 2 kaligrafi dah siap bingkai

Muhd Rizq menghasilkan kaligrafi buat Tunku Azizah.

TIGA tahun lalu pemuda ini menghadiahkan sebuah sajak khas buat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi laman YouTube.

Kali ini sempena ulang tahun bagi Hari Keputeraan ke-63 Tunku Azizah pada Sabtu, Muhd Rizq Abdul Aziz yang merupakan pelatih bahasa ketiga menghasilkan video ucapan bersama para pelajarnya menggunakan bahasa Mandarin.

“Memandangkan tahun ini merupakan tahun terakhir Tuanku kesayangan kita memegang takhta sebagai ketua negara, jadi terlintas untuk memberi satu ucapan istimewa.

“Dan memandangkan saya pelatih bahasa Mandarin, jadi dapat idea ini untuk memberi ucapan yang unik iaitu ucapan dalam bahasa Mandarin bersama para pelajar saya,” katanya kepada mStar.

Muhd Rizq (tengah) bersama para pelajarnya bagi kelas bahasa Mandarin.

Bagi pemuda berusia 36 tahun itu, dia mahu Raja Permaisuri Agong tahu rakyat Malaysia pasti akan merindui Tuanku serta Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Terlalu banyak kenangan manis dan gelagat comel Tuanku, sememangnya one of a kind. Dengan rendah dirinya, penyayang dan mesra dengan rakyat.

“Saya berharap sifat-sifat ini bukan sahaja dikekalkan Tuanku meskipun tidak lagi menjadi Raja Permaisuri Agong, serta dicontohi oleh para pembesar dan pemerintah lain,” katanya.

Kisah mengenai sajak buat Tunku Azizah disiarkan pada Hari Keputeraan ke-60 Raja Permaisuri Agong.

Untuk rekod, kisah Muhd Rizq pernah disiarkan di mStar pada 5 Ogos 2020 sempena Hari Keputeraan ke-60 Tunku Azizah.

Ketika itu dia dikenali selepas menulis sajak yang didedikasikan khas buat Raja Permaisuri Agong dalam bahasa Mandarin, manakala pantun dalam bahasa Melayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam umum tarikh raya... pelajar PhD guna 2 kaligrafi persembahkan ucapan buat Tunku Azizah – “Jika diperkenan sanggup baca sajak, pantun live”

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki pagi raya! Comel Permaisuri Agong berlari-lari anak nampak rakyat Malaysia di Makkah, bertuah dapat ‘selfie’ bersama

Sajak dan pantun itu menggunakan dua kaligrafi dengan maksud yang sama iaitu Cina dan Jawi.

Ia bermaksud: “Permaisuri Agong dilimpahi Rahmat, Kewibawaan dan kedaulatan disanjung tinggi, Cinta dan kasih Tuanku didambakan rakyat, Patik doakan perjuangan Tuanku tetap diabadi.”

Tangkap layar video ucapan dalam bentuk sajak dan pantan buat Tunku Azizah.

Boleh bertutur dalam empat bahasa termasuk Mandarin dan Arab, Muhd Rizq berkata dia masih menyimpan sajak dan pantun berkenaan.

Namun kata pemuda yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan itu, dia bagaimanapun masih belum berkesempatan menyampaikan sajak berkenaan kepada Tunku Azizah.

Permaisuri Agong dilimpahi Rahmat, Kewibawaan dan kedaulatan disanjung tinggi, Cinta dan kasih Tuanku didambakan rakyat, Patik doakan perjuangan Tuanku tetap diabadi.

MUHD RIZQ ABDUL AZIZ

“Sebelum ini saya ada terima panggilan telefon daripada pihak Istana Negara, tapi mungkin sebab waktu tu tengah musim Covid-19, jadi proses untuk menyerahkan sajak itu tertangguh.

“Jadi, saya berharap masih diberi kesempatan untuk menyerahkan sajak tersebut kepada Raja Permaisuri Agong pada tahun ini, insyaAllah,” jelas Muhd Rizq lagi.

Muhd Rizq bersedia untuk menyerahkan kaligrafi Cina dan Jawi kepada Tunku Azizah jika diberi peluang.

Tegasnya, karya sajak itu merupakan simbol perpaduan iaitu keharmonian bahasa dan bangsa antara rakyat Malaysia, selari dengan perjuangan Tunku Azizah yang amat bermakna buat seluruh rakyat.

“Besar harapan saya sekiranya Tuanku sudi menerima hadiah ini. Jika diberi peluang untuk menghadap, saya sedia mendeklamasikan sajak tersebut dalam kedua-dua bahasa dan seterusnya menyampaikannya kaligrafi ini yang telahpun dibingkaikan cantik kepada Tuanku,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain