SEBARANG unsur pembulian di tempat kerja harus dihentikan memandangkan ia boleh memberi impak buruk kepada mangsa. Baru-baru ini, seorang individu tampil menceritakan pengalaman pahitnya bekerja di sebuah syarikat pada 2019. Menurut Josh Awang Jirawat, 50, selepas tiga tahun berhenti kerja di syarikat tersebut, kesannya masih kekal sehingga hari ini. "Pengalaman saya bermula sebelum negara dilanda Covid-19, di mana saya bekerja di sebuah syarikat senarai awam. "Walaupun pegang jawatan yang sangat tinggi tapi masih ada dua orang bos masa tu. ketua department (jabatan) dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) jadi saya lapor kepada mereka. Tangkap layar video Awang yang tular di TikTok. "Satu pengalaman yang memang sangat-sangat pahitlah sebab saya dibuli saban hari. Tekanan darah naik mendadak sehingga bacaan 180 (atas). Yang bawah tu naik lebih kurang 130," katanya dalam video yang dikongsi. Bercerita lanjut, Awang berkata dia pada mulanya tidak sedar bahawa dirinya sedang dibuli. Sebaliknya dia lebih menyalahkan diri sendiri dengan beranggapan dirinya memang layak menerima kritikan daripada pihak atasan. "Saya yang patut 'kena' (buli) dan umur saya pada masa tu 46. Jadi bayangkan pada umur tu saya kena marah, dimaki dan 'pijak-pijak' sampai tak ada nilai diri. "Saya menangis di khalayak (rakan sekerja) lebih kurang lima kali. Saya menangis teresak-esak, memang teruklah," dakwanya lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar intern trauma turun site! Pengurus kata pegang paha tanda terima kasih, bukan gangguan seksual - “Pekerja asing lebih hormat saya” ARTIKEL BERKAITAN: Selalu merungut penat kerja, nak cuti... sekali dapat ‘rehat panjang’! Wanita anggap 2 kali kemalangan ada hikmah Tekanan demi tekanan yang diterima membuatkan lelaki ini memutuskan untuk berjumpa doktor kerana mula berasa pening yang melampau. Setelah berjumpa doktor, barulah dia sedar bahawa dirinya menjadi mangsa buli majikan sendiri sehingga berlakunya tekanan. Doktor kemudian membuat dua catatan ringkas pada kertas sebelum diserahkan kepada Awang. Kata Awang, doktor juga meminta dia membuat pemeriksaan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) serta merta. Satu lagi perkara tak disangka, doktor mencadangkan supaya dia berhenti bekerja di syarikat tersebut. Jadi bayangkan pada umur tu saya kena marah, dimaki dan 'pijak-pijak' sampai tak ada nilai diri. JOSH AWANG "Saya tanya doktor kenapa cakap macam tu. Dia cakap bos awak tu, kita (doktor) jumpa dia lebih kurang tiga bulan sekali kalau dia sakit. "Kita (doktor) kena layan dia 15 minit dan dalam masa tu tak ada sesiapa dalam klinik ni boleh tahan dengan dia (perangai). "Saya tak faham macam mana awak boleh kerja, dengan terpaksa kena 'lanyak' setiap hari. Jadi secara peribadi saya cadangkan kalau boleh berhentilah untuk keselamatan nyawa anda," dia mengimbas kata-kata doktor. Setelah empat tahun berhenti kerja di syarikat itu, masih terdapat kesan-kesan trauma lampau di tempat kerja lamanya. Dia yang kini bekerja dalam bidang sosial media, sering berasa panik dan takut untuk mengecewakan pelanggannya. "Saya rasa seperti tengah buat satu dosa yang teramat sangat sampai rasa nak putus asa bila kecewakan pelanggan. "Baru ni rakan sekerja saya tegur cakap saya over react, lepas tu stres gila. Saya rasa macam orang tengah lemas. Ramai yang mengalami tekanan akibat dibuli majikan di tempat kerja. -Gambar hiasan "Nasib rakan kongsi saya faham bila tengok cara saya kelam kabut uruskan kerja," katanya lagi. Pada akhir video, Awang berkongsi kaedah dilakukan untuk mengawal dan mengatasi perasaannya. "Saya kena atasi perasaan takut yang tidak rasional tu. Bila boleh kawal perasaan semua tu baru boleh cabar perasaan kalut dan panik. "Bagi mereka yang pernah dibuli di tempat kerja atau hubungan rumah tangga, dapatkan rawatan daripada psikiatri atau khidmat kaunseling," jelasnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube