suria

Kafe hanya terima cash, duit tak cukup nak bayar makanan anak... Orang baik muncul ‘on time’ - “Segan, dia cuma bungkus kuih”

Kisah yang dikongsikan Ria ketika menikmati sarapan di sebuah kafe menjadi tular.

KETIKA ini, kebanyakan premis menyediakan pelbagai kaedah pembayaran bertujuan untuk menggalakkan transaksi tanpa tunai (cashless).

Boleh dikatakan ramai yang gemar menggunakan kaedah pembayaran secara cashless dalam kebanyakan transaksi yang ingin dilakukan kerana lebih mudah

Bagaimanapun tanpa disangka, kejadian yang berlaku di sebuah kafe pada Jumaat lalu benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat diri seorang wanita.

Berkongsi cerita, dia yang ingin dikenali sebagai Ria Rasyida Haniza berkata pagi hari tersebut, dia berkunjung ke sebuah kafe untuk bersarapan bersama anak sulungnya.

"Saya memang dah biasa berkunjung ke kafe tersebut. Pagi itu selepas menghantar anak bongsu ke rumah pengasuh, saya bersama anak sulung, Riyadh, yang berusia tiga tahun singgah bersarapan di kafe itu.

baby

Ria menganggap apa yang berlaku adalah rezeki untuk anak sulungnya, Riyadh.

"Anak saya minta nak makan ayam goreng. Selepas ambil makanan dan memesan minuman, saya ke kaunter untuk bayar. Sebelum ini memang biasa bayar menerusi QR Pay.

"Tapi rupanya mereka dah tak guna QR Pay. Saya minta untuk buat pembayaran secara online transfer, tapi hari itu bayaran secara online tidak diterima.

"Wang tunai yang ada dalam dompet ketika itu tak cukup untuk bayar harga makanan sebanyak RM14. Saya macam dah cuak juga... takkan nak letak balik nasi. Anak pula dah lapar," kongsi wanita yang menetap di Sungai Petani, Kedah ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Belanja aku RM18, lauk dia baru RM5” - Pemuda ‘musykil’ tengok penjaga kebun suka bayar orang makan, dapat jawapan selepas cuba tiru amalannya

ARTIKEL BERKAITAN: Mulanya tak layan ‘lelaki sihat’ minta belanja di Pavilion, pemuda ini terus kejar selepas sedar sesuatu - “Dia nak nasi dan sayur je”

Dia yang senang disapa sebagai Ria berkata, dia hanya terfikir untuk meminta kebenaran membayar makanan selepas mengeluarkan wang ataupun mahu meminjam daripada juruwang tersebut terlebih dahulu.

"Tak sempat lagi saya bertanya juruwang, datang seorang wanita muda dari belakang. Dia kata mahu bayarkan makanan saya. Saya segan sebab dia bungkus kuih muih saja, takut makanan saya lebih mahal daripadanya.

"Saya minta nak transfer kepadanya untuk bayar balik tapi dia tetap menolak. Dia beritahu nak bersedekah... kebetulan hari Jumaat.

Apa yang terjadi membuatkan saya yakin bahawa masih ramai rupanya hamba Allah yang baik hati dan pemurah.

RIA RASYIDA HANIZA

"Saya terharu sangat sebab tiba-tiba orang yang tak dikenali datang hulur bantuan di saat seperti itu. Saya anggap ia rezeki anak saya, kebetulan hari jadinya jatuh sehari sebelum itu," kata wanita berusia 31 tahun ini.

Ujar Ria lagi, dia bagaimanapun ralat kerana tidak sempat mengambil nombor telefon wanita muda berkenaan selepas mengucapkan terima kasih.

"Kejadian berlaku dengan pantas... terlupa langsung nak minta nombor telefon sebab ada pelanggan lain beratur nak bayar. Saya fikir kalau ada nombornya, di lain masa saya pula nak belanja dia.

"Sebab itu saya buat posting di Facebook untuk menghargai kebaikan hati adik ini selain mahu berkongsi kisah tersebut sebagai iktibar kita bersama.

"Ini kali pertama berlaku kepada saya. Apa yang terjadi membuatkan saya yakin bahawa masih ramai rupanya hamba Allah yang baik hati dan pemurah.

sedekah 2

Ria berkongsi kisah di laman Facebook sebagai menghargai kebaikan wanita berkenaan di samping mahu menyebarkan mesej positif kepada orang ramai.

"Semoga adik itu dimurahkan rezeki, dipermudah apa jua urusan dan diangkat darjat, dijauhi dari segala kesusahan dan semoga dia senantiasa dalam lindungan-Nya," ujarnya.

Dalam pada itu tambah wanita ini lagi, kejadian tersebut membuatkan dia lebih berhati-hati pada masa depan supaya membawa wang tunai sebagai persediaan jika berlaku hal tidak diduga.

"Tapi ada juga salah faham ingat saya tak ada duit untuk makan. Sebenarnya saya cuma tiada wang tunai ketika itu. Terima kasih kepada netizen yang prihatin bertanya," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain