suria

Wanita ini buktikan cinta sejati wujud... Setia bantu ‘baby boo’ kurangkan berat badan, tak suka orang tuduh suami montel pemalas

Wanita ini menyayangi suaminya yang berbadan gempal dengan sepenuh hati.

CINTA yang tulus tidak memandang pada rupa mahupun keadaan tubuh pasangan.

Sama juga bagi wanita ini yang kasih sayang terhadap suaminya tiada sempadan meski badan pasangan sedikit montel.

Melalui satu video tular di TikTok, Norfatin Syahwanies Yatiman, 26, dilihat setia berada di sisi suaminya untuk bersama menghadapi ujian yang mendatang.

Bercerita kepada mStar, wanita yang senang disapa Fatin itu mengatakan usia perkahwinan dengan suaminya, Saiful Safrin Sumali, 30, sudah menghampiri dua tahun setengah.

"Saya mula kenal suami pada tahun 2018, waktu tu tengah cuti semester, saya bekerja sambilan di restoran makanan segera dan suami pula kebetulan adalah pengurus di situ.

"Waktu awal saya berkenalan dengan suami, dia adalah seorang yang pemalu. Tiada keyakinan nak dedahkan diri dia di khalayak ramai. Saya sentiasa cuba ubah persepsi suami tentang ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ‘gebu’ gagahkan diri confess dekat crush, penantian berakhir dan persoalan terjawab - “Cuma saya terlambat”

ARTIKEL BERKAITAN: Cerita ustaz masuk gym buat kaum isteri bimbang, kaitkan naluri songsang... Ramai tak setuju ‘pukul rata’ lelaki jaga badan adalah gay!

"Sebab tu saya buat perkongsian di TikTok, untuk bagi semangat supaya dia sedar ada orang yang boleh terima dia seadanya. Ramai netizen yang memberikan kata-kata positif dan membina kepada suami.

"Saya juga sentiasa menyokong suami dalam perjalanannya untuk menurunkan berat badan," kata Fatin yang merupakan graduan jurusan automotif di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Berkongsi perjuangan yang dilalui suaminya untuk mengamalkan pemakanan seimbang, Fatin berkata ia dipenuhi dengan liku-liku yang mencabar.

Kepada mereka yang senasib dengan suami saya, saya harap kalian sentiasa yakin dengan diri.

NORFATIN SYAHWANIES YATIMAN

"Sebelum suami kahwin dengan saya, dia ada cuba diet. Berat dia waktu tu adalah 230 kilogram (kg), dia berjaya turunkan sampai 180 kg apabila nak kahwin dengan saya.

"Tapi pada bulan April 2022, suami kemalangan motosikal yang menyebabkan dia patah tangan. Bermula daripada situ berat badan dia naik mendadak, sampai mencecah 300 kg.

"Apabila dah sampai tahap tu, suami mula sedar yang dia sukar untuk menjalani kehidupan harian seperti biasa. Nak jalan pun susah, duduk tak selesa dan cepat penat.

Fatin membantu suaminya yang patah tangan akibat kemalangan motosikal.

"Selepas timbul kesedaran tu, saya bantu suami untuk kembali diet, seperti kawal pemakanan, ajak buat senaman ringan dalam rumah dan aktiviti berjalan pantas di taman, Alhamdulillah sekarang berat suami dah turun ke 280 kg," kata Fatin.

Berbicara soal penerimaan orang sekeliling akan pilihan hatinya, Fatin akui dia ada menerima sokongan dan juga cemuhan.

"Kalau daripada kawan-kawan, ada yang waktu awal saya kahwin, mereka persoalkan kenapa pilih lelaki yang berbadan gempal. Tapi tak apa, saya tengok pada hati suami, dia ikhlas sayangi saya, itu yang paling penting.

Fatin akan sentiasa mempertahankan suaminya dalam apa jua keadaan.

"Daripada ibu bapa saya pula, mereka terima suami untuk menjadi sebahagian daripada keluarga, tetapi mereka mempunyai mentaliti yang mengatakan orang berbadan besar mesti akan pemalas.

"Ini adalah salah faham, pemalas itu ialah sikap. Apa yang dihadapi oleh orang plus size ini adalah lebih kepada batasan, iaitu kesukaran untuk bergerak, cepat mengantuk dan penat.

"Bukannya semata-mata mahu lepas tangan," ujar Fatin yang menetap di Jenjarom, Selangor.

Membuktikan sebaliknya untuk tanggapan sedemikian, Fatin menceritakan bagaimana suaminya sentiasa bekerja keras untuk menyediakan kehidupan yang selesa buatnya.

Kasih sayang antara Fatin dan suaminya tidak akan goyah walau apa pun kata orang sekeliling.

"Suami saya dulu waktu awal kahwin bekerja sebagai rider kurier menghantar bungkusan, dalam sehari dia boleh hantar antara 200 hingga 300 bungkusan. Nampak kesungguhan dia.

"Tapi selepas dia patah tangan, dia dah susah nak cari kerja dan sampai sekarang dia tak ada kerja. Suami tak putus asa, dia guna cara lain untuk buat pendapatan, dia jual nasi lemak.

"Suami akan masak sambal dan saya akan masak nasi. Waktu pagi kami akan bungkus nasi lemak tu sama-sama dan kemudian suami akan hantar nasi lemak ke kedai makan di kawasan kami.

"Sekali hantar dalam 50 bungkus macam tu sehari, kami juga ada ambil tempahan. Di sini sekali lagi saya tegaskan, suami saya bukan pemalas orangnya," kata Fatin yang bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah kilang automotif.

Fatin sentiasa meraikan kehadiran suami di sisinya.

Tambah Fatin lagi, walaupun dia dan suami cekal menghadapi rintangan, namun ada satu insiden yang meninggalkan trauma mendalam kepada pasangannya itu.

"Ada sekali tu, saya dan suami tengah berjalan di pusat beli-belah. Kemudian saya pergi tandas sekejap, apabila saya balik tu, saya nampak suami digelakkan beramai-ramai oleh satu keluarga ni.

"Mereka cakap tengok badan abang ni, besar gila weh, semenjak dari itu, setiap kali saya ajak dia pergi mana-mana terutamanya mall, dia akan segan nak keluar. Dia lebih selesa menyendiri.

"Kepada mereka yang senasib dengan suami saya, saya harap kalian sentiasa yakin dengan diri, biarkan mulut orang berkata-kata, pendapat mereka tidak penting," ujar Fatin menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan