suria

Nasi lemak RM1 untuk orang miskin dan kaya, tak berduit boleh ambil free! Penjualnya OKU anak 13, pernah derma hati

Ahmad Khariri menjual nasi lemak RM1 di Shah Alam, Selangor.

SEORANG peniaga nasi lemak RM1 di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor menjadi perhatian netizen kerana berani meninggalkan gerainya tanpa sebarang pengawasan.

Ketika dihubungi mStar, peniaga dikenali sebagai Ahmad Khariri Al-Hadi, 46, itu berkata dia terpaksa meninggalkan gerai tepi jalan itu bagi menghantar anak-anaknya ke sekolah berdekatan.

"Saya buka gerai seawal pukul 6.45 pagi. Dalam pukul 7.20, saya perlu hantar anak-anak ke sekolah. Jadi, saya akan tinggalkan gerai dalam 15 ke 20 minit dan hanya tinggalkan memo untuk pelanggan. Mereka boleh bayar tunai dengan meletakkan wang dalam tabung atau imbas kod QR.

WhatsApp Image 2023-09-09 at 1.42.05 PM

Memo yang ditinggalkan peniaga itu setiap kali dia meninggalkan gerai untuk menghantar anak ke sekolah.

"Dulu anak bantu jaga gerai, sekarang dia dah sambung belajar. Saya tak boleh letak kamera litar tertutup (CCTV), saya juga masih tak mampu nak upah pekerja. Saya hanya bergantung kepada Allah 100 peratus.

"Saya mohon Allah lindungi gerai dan pendapatan saya. Pada memo itu, saya juga nyatakan, sesiapa yang tak mampu beli, boleh ambil percuma," ujarnya.

Tambah Ahmad Khariri, dia biasanya menjual 300 bungkus nasi lemak RM1 pada hari biasa dan jumlah itu meningkat kepada 400 bungkus pada hujung minggu.

Niat saya berniaga adalah untuk orang susah membeli dan untuk orang kaya bersedekah.

AHMAD KHARIRI AL-HADI

Menurut peniaga itu lagi, dia pada awalnya agak ragu-ragu untuk memulakan perniagaan nasi lemak RM1, namun hasrat tersebut diteruskan selepas mendapat nasihat daripada seorang rakan yang mempunyai ilmu perniagaan.

Dia juga bersyukur melihat perniagaanya masih bertahan, malah ramai yang turut singgah ke gerainya untuk bersedekah dan melakukan infaq, khususnya pada hari Jumaat.

"Mula-mula fikir juga, mampu ke jana keuntungan dengan jual RM1? Jadi saya minta tolong sahabat yang pandai berniaga. Dia kata boleh jual RM1, tapi kena jual dengan volume besar. Saya pula tak pernah berniaga nasi lemak sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Termenung tunggu pelanggan di kaki lima... Nasib peniaga Penang berubah selepas viral, nasi lemak RM1 tiba-tiba laris sampai Sarawak

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat jual telur mata tertiarap ke tanah! Berlinang air mata peniaga nasi lemak... Gerai baru buka, pelanggan beratur panjang

"Saya juga dengar, orang yang jual RM4 sebungkus pun tak untung. Tapi kawan suruh saya cuba dua bulan dulu. Kalau dua bulan ada untung bersih, dia kata okay dan boleh teruskan. Lagipun kami berniaga tepi jalan. Alhamdulillah, ramai yang nak hantar anak pergi sekolah beli nasi lemak saya.

"Sekarang dah masuk bulan kelima saya berniaga. Saya jual dua jenis iaitu nasi lemak biasa dan nasi lemak royal. Dua jenis nasi lemak ini harganya RM1. Niat saya berniaga adalah untuk orang susah membeli dan untuk orang kaya bersedekah. Biasanya hari Jumaat, ramai yang datang sedekah dan nak infaq nasi lemak," ujarnya.

WhatsApp Image 2023-09-09 at 12.51.22 PM

Dua jenis nasi lemak dijual pada harga RM1 sebungkus.

Bercerita mengenai dirinya, Ahmad Khariri yang beristeri dua mempunyai 13 cahaya mata dan tiga daripada mereka kini sedang melanjutkan pengajian di Mesir, Jordan dan Turkiye.

Ahmad Khariri yang pernah menjadi penderma hati kepada seorang kanak-kanak pada tahun 2004 mengalami kemalangan di tempat kerja pada 2013 dan disahkan cacat kekal pada tahun berikutnya akibat kecederaan pada tulang belakang.

WhatsApp Image 2023-09-09 at 12.51.23 PM

Gerai ini dibuka seawal 6.45 pagi.

"Saya dulu pernah derma hati kepada kanak-kanak yang bengkak hati, Selepas derma, dia meninggal. Jadi di situ saya belajar untuk letak tawakal kepada Allah. Begitulah juga saya tawakal setiap kali tinggalkan gerai untuk hantar anak sekolah.

"Saya juga Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak tahun 2014 selepas kemalangan di tempat kerja pada 2013. Saya dah beristeri dua sebelum kemalangan. Kini anak paling sulung berusia 23 tahun dan paling bongsu berusia setahun lebih," ceritanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain