suria

Baru dalam bidang hartanah, pertama kali post iklan kelam kabut jadinya! Ejen kata foto gegar tanda rumah urgent nak jual

Foto bergegar dimuat naik yang diiklankan oleh Ferdaus di Facebook.

"BETUL-BETUL urgent (segera) ni."

Demikian antara komen mencuit hati netizen setelah melihat beberapa foto rumah untuk dijual yang kualitinya kurang jelas kerana bergegar, mungkin diambil dalam keadaan kelam kabut.

Menurut Muhammad Ferdaus Afifie Johari, 30, dia sendiri tidak menyangka hantaran yang dibuat untuk tujuan marketing (pemasaran) ini menjadi!

"Saya post gambar bergegar macam tu sebenarnya sekadar nak bergurau saja. Tapi tak sangka boleh viral pula posting tu sampai macam tu sekali," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Jelasnya yang senang disapa Ferdaus, ini merupakan percubaan kali pertamanya membuat hantaran demi mencari kelainan kerana dia baru berjinak-jinak sebagai ejen hartanah.

Foto asal sebelum disunting supaya kelihatan bergegar.

Ferdaus mendapat ilham untuk memuat naik gambar-gambar yang diambil dalam keadaan kelam kabut sebagai 'mesej' kepada orang ramai bahawa rumah tersebut perlu dijual segera.

"Saya buat macam tu sebab jualan rumah ni ‘urgent’, itu yang saya post gambar bergegar-gegar dengan sengaja. Memang ada beberapa keping gambar yang dirakam kurang menjadi sebab rushing masa pergi tengok rumah tu sebelum ni.

"Jadi daripada share listing macam biasa orang lain buat, saya cari kelainan supaya lebih ramai yang tengok dan komen dekat posting tu.

"Ada beberapa keping foto tu saya edit (sunting) bagi nampak 'gempak'. Gambar asal yang lain memang kualitinya nampak bergegar," ujarnya lagi.

Kata Ferdaus, dia baru sahaja menceburi bidang hartanah sebagai ejen selepas berhijrah dari negeri asalnya di Tanah Merah, Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lama duduk free, owner ‘ghaib’... Pemuda fikir cara nak jual rumah disewanya! Selepas dikecam terus beri hujah dari segi hukum, perundangan

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah flat berlumut dijual murah, siap boleh ‘nego’ jadi perhatian - “OK je kalau jenis pergi kerja balik terus tidur”

Dia juga bertindak sebegitu bagi mencipta personal branding (penjenamaan peribadi) yang dipelajari daripada mentornya.

"Dulu saya buka kedai runcit dan jual vape di kampung. Tapi lepas kawan saya (pemilik syarikat hartanah) ajak kerja bawah team agensi dia, saya berhijrah ke Kuala Lumpur.

"Sebelum ni mentor ada beritahu yang saya kena cipta personal branding sendiri supaya orang kenal. Jadi saya pun cuba kelainan post macam tu dengan kebenaran owner grup Facebook untuk share listing macam tu.

"Idea tu datang selepas saya fikir bagaimana nak orang nampak dan perasan apa yang saya iklankan, jadi saya pun buat macam tu untuk mencari kelainan," jelasnya yang sudah berumahtangga selama enam tahun.

Bagaimanapun, menurut bapa kepada dua cahaya mata ini, pemilik rumah masih belum sedar tentang cara rumahnya diiklankan oleh Ferdaus.

Idea tu datang selepas saya nak orang nampak dan perasan apa yang saya iklankan.

MUHAMMAD FERDAUS

Tegas Ferdaus, walaupun terselit elemen jenaka dalam hantaran tersebut, dia tetap berharap tujuan asalnya untuk menjual rumah pertamanya ini berjaya.

Dalam pada itu, Ferdaus turut menyatakan bahawa agensinya hanya memberi fokus jualan rumah di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang buat masa sekarang.

"Bos (mentor) saya tahu mengenai idea sebelum buat posting tu. Tuan rumah pun tahu saya tengah iklankan rumah dia cuma dia tak tahu kediaman dia tengah viral sekarang.

"Lepas viral tu memang ramai yang mesej bertanyakan mengenai rumah tu. Saya senang hati apabila trick (taktik) dibuat tu menjadi. Tapi belum ada rezeki lagi sebab rumah belum terjual," jelasnya lagi.

Hantaran tersebut menerima lebih 500 tanda suka dan hampir 300 komen di grup Property For Sale/Rent in Selangor and KL di Facebook.

Ferdaus merupakan seorang bapa kepada dua cahaya mata.

Rata-ratanya terhibur apabila melihat posting kelakar dibuat Ferdaus.

"Saya boleh jangka rumah ni akan dijual dengan cepat sebab rumah dia ni tengah 'lari'. Banyak orang tengah kejar dia ni.

"Salam bang, kawasan sana ada gempa bumi skala magnitud 9.0 ke,” demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain